Kebakaran yang melanda sebuah pasar di wilayah paling timur Indonesia, Papua pada Isnin mengorbankan 11 orang termasuk enam kanak-kanak, lapor AFP.
Menurut jurucakap polis tempatan, Henry J. Manurung, kebakaran itu mula dikesan di bandar Paniai, wilayah Papua Tengah sejurus selepas tengah malam sebelum api merebak dengan pantas ke beberapa rumah kedai.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, anggota menemukan 11 mangsa yang meninggal dunia akibat kecederaan terbakar. Daripada jumlah itu, lima merupakan orang dewasa manakala enam lagi kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Henry, kanak-kanak yang terkorban berusia antara dua hingga sembilan tahun.
Kebakaran pasar di Papua
Kebakaran yang berlarutan lebih tiga jam itu turut memusnahkan sekurang-kurangnya 40 buah kiosk dan rumah walaupun jentera bomba serta meriam air dikerahkan ke lokasi.
Sementara itu, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran.
“Keadaan api yang sangat marak serta kedudukan rumah dan gerai yang dibina rapat antara satu sama lain menyebabkan proses pemadaman mengambil masa agak lama,” katanya.
Kebakaran yang meragut nyawa bukan sesuatu yang jarang berlaku di Indonesia.
Pada Disember lalu, seramai 22 orang maut selepas kebakaran melanda sebuah bangunan pejabat tujuh tingkat di Jakarta Pusat.
Polis berkata, bateri dron yang meletup di tingkat bawah dipercayai menjadi punca kejadian itu.
Dalam kejadian berasingan pada 2023, satu letupan di sebuah kilang pemprosesan nikel di bahagian timur negara itu mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang.
