Kira-kira 1,800 orang berganding bahu di utara Jepun pada hujung minggu lalu untuk menarik sebuah kubu istana seberat 360 tan sejauh lebih dua meter ke arah lokasi asalnya, sebagai sebahagian daripada kerja-kerja pemulihan yang sedang dijalankan, lapor The Guardian.
1,800 orang berganding bahu tarik kubu istana
Kubu berkenaan, iaitu menara pertahanan dalam kompleks istana, terpaksa dialihkan bagi membolehkan kerja pembaikan dijalankan terhadap tembok yang rosak akibat gempa bumi besar.
Secara bergilir-gilir, kumpulan seramai 80 orang menarik tali sepanjang 30 meter sambil kubu Istana Hirosaki di wilayah Aomori yang diletakkan di atas landasan bergerak perlahan menuju lokasi ditetapkan.
Pada Sabtu, peserta berjaya mengalihkannya sejauh 1.13 meter sebelum ia digerakkan lagi 1.09 meter pada Ahad.
Ketua Bahagian Taman dan Ruang Hijau Bandar Hirosaki, Kensuke Hayasaka, berkata pihaknya menerima kira-kira 8,000 permohonan bagi 1,800 slot penyertaan sepanjang dua hari berkenaan, dengan jumlah permohonan kira-kira empat kali ganda melebihi kapasiti.
Beliau berkata penyertaan bukan sahaja datang daripada penduduk tempatan, malah dari seluruh Jepun serta luar negara termasuk Asia Tenggara, Eropah dan Amerika Utara.
Bagi memastikan struktur bersejarah itu kekal terpelihara, teknik tradisional dikenali sebagai hikiya digunakan, iaitu kaedah mengalihkan bangunan menggunakan penggelek tanpa perlu merungkainya.
Pada 2015, pihak berkuasa bandar membuka peluang kepada orang ramai untuk terlibat secara langsung dalam proses berkenaan, sekali gus menjadikannya hikiya pertama yang digerakkan oleh masyarakat dan kali pertama kaedah itu digunakan untuk mengalihkan sebuah istana dalam tempoh kira-kira 100 tahun.
“Disebabkan kubu ini merupakan aset kebudayaan penting yang ditetapkan di peringkat kebangsaan, kami tidak merungkainya. Sebaliknya, kami menggunakan hikiya, kaedah pemindahan bangunan yang telah wujud di Jepun sejak zaman dahulu,” kata Hayasaka.
Kerja pemuliharaan istana itu telah dijalankan sejak beberapa tahun lalu, manakala kerja membaiki tembok berkenaan siap pada Disember 2024 selepas kesemua 2,185 batu disusun semula mengikut kedudukan asal.
Selepas kerja berkenaan selesai, pihak berkuasa pada tahun ini sekali lagi meminta bantuan orang ramai untuk menarik kubu tersebut kembali ke kedudukan asalnya.
Motoharu Nakata, 61, sanggup melakukan perjalanan dari Hiroshima yang terletak di bahagian lain Jepun untuk menyertai usaha berkenaan.
“Saya turut menariknya 11 tahun lalu. Sangat bermakna dapat menyertai sekali lagi. Tiada peluang lain untuk menarik sebuah istana dengan tangan sendiri, jadi ia memang hebat,” katanya kepada Sankei Shimbun.
Kerja menarik kubu itu secara manual akan diteruskan sehingga akhir Ogos, dengan kira-kira 4,100 orang dijadualkan mengambil bahagian untuk mengalihkannya sejauh lima meter secara keseluruhan.
Usaha itu bukan sekadar sebahagian daripada kerja pemuliharaan, malah menjadi simbol semangat kerjasama masyarakat.
Baki kira-kira 73 meter akan dialihkan menggunakan jentera dan dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.
Kubu Istana Hirosaki merupakan salah satu daripada hanya 12 struktur seumpamanya yang masih wujud di Jepun dan satu-satunya yang terletak di wilayah Tohoku, timur laut negara itu.
Istana tersebut merupakan pusat pemerintahan puak Tsugaru dan siap dibina pada 1611. Namun, kubu asalnya musnah selepas disambar petir yang mencetuskan kebakaran di sebuah tempat penyimpanan serbuk bedil pada 1627.
Struktur yang ada ketika ini dibina semula pada 1810 dan kompleks istana itu kini menjadi tarikan utama sebuah taman yang menerima kira-kira dua juta pengunjung setiap tahun ketika musim bunga sakura.
Kerja pemuliharaan besar-besaran menyebabkan kubu berkenaan tidak dapat dikunjungi pelancong untuk beberapa tahun akan datang.
“Setelah ia kembali ke tapak asal, kerja pemuliharaan terhadap kubu akan dimulakan dan keseluruhan struktur akan ditutup. Buat masa ini, kami menjangkakan ia akan dibuka semula kepada pengunjung pada 2033,” kata Hayasaka.

