Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

2025 Tahun Ketiga Paling Panas Dalam Rekod

Sofea
2025 tahun ketiga paling panas
Kredit: AFP

2025 Tahun Ketiga Paling Panas Dalam Rekod

Bumi mencatatkan tahun ketiga paling panas dalam rekod pada 2025, meneruskan siri haba luar biasa tanpa sebarang petanda kelegaan pada 2026, menurut penyelidik Amerika Syarikat dan pemantau iklim Kesatuan Eropah (EU) pada Rabu.

Memetik laporan AFP, 11 tahun terakhir kini merupakan yang paling panas pernah direkodkan, dengan 2024 menduduki tempat teratas dan 2023 di tempat kedua.

Laporan tahunan itu telah dikeluarkan oleh sebuah organisasi penyelidikan bukan berasaskan keuntungan yang berpangkalan di California, Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus EU dan Berkeley Earth.

Menurut laporan, suhu global melebihi 1.5 darjah Celcius buat pertama kali berbanding zaman pra-industri secara purata sepanjang tiga tahun yang lalu.

“Peningkatan pemanasan yang diperhatikan dari 2023-2025 adalah ekstrem dan menunjukkan pecutan dalam kadar pemanasan Bumi,” kata Berkeley Earth dalam laporan berasingan.

Kira-kira 770 juta penduduk dunia mengalami suhu tahunan paling panas dalam rekod di kawasan masing-masing, manakala tiada satu pun rekod purata suhu tahunan paling sejuk dicatatkan di mana-mana.

Antartika merekodkan tahun paling panas pernah dicatatkan, manakala Artik pula mengalami tahun kedua paling panas.

Analisis AFP terhadap data Copernicus bulan lalu mendapati Asia Tengah, rantau Sahel dan Eropah Utara mengalami tahun paling panas dalam rekod pada 2025.

Berkeley Earth dan Copernicus sama-sama memberi amaran bahawa trend ini dijangka berterusan pada 2026.

BACA: 2024 Tahun Paling Panas Direkodkan – WMO

“Jika fenomena cuaca El Nino muncul tahun ini, ia boleh menjadikan 2026 satu lagi tahun pemecah rekod,” kata Pengarah Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus, Carlo Buontempo, kepada AFP.

Perjanjian Paris 2015 mengikat dunia untuk mengehadkan pemanasan kepada jauh di bawah 2 darjah Celcius dan meneruskan usaha untuk mengekalkannya pada 1.5 darjah Celcius. Ia merupakan sasaran jangka panjang yang dikatakan oleh saintis akan membantu mengelakkan impak terburuk perubahan iklim.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres, memberi amaran pada Oktober lalu bahawa pelanggaran ambang 1.5 darjah Celsius adalah tidak dapat dielakkan, namun dunia masih boleh mengehadkan tempoh lebihan itu dengan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau secepat mungkin.

Copernicus berkata had 1.5 darjah Celsius berkemungkinan dicapai menjelang akhir dekad ini, sedekad lebih awal daripada jangkaan asal.

Sumber: AFP