Lebih dua dekad berlalu, kenangan lama bersama mendiang vokalis Linkin Park, Chester Bennington, masih tersimpan kemas dan kembali menjadi perhatian selepas satu surat yang ditulisnya ditemukan semula.
Surat tersebut bukan sekadar catatan biasa kerana ia mempunyai kaitan dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza serta topi yang pernah diberikan Chester kepada penyanyi berkenaan sekitar 21 tahun lalu.
Menariknya, surat yang ditujukan khas kepada Siti itu turut mengandungi permintaan ringkas daripada Chester supaya topi tersebut dipakai ketika Siti membuat persembahan di atas pentas.
Surat ditemukan semula selepas 21 tahun
Surat berkenaan ditemukan semula oleh bekas pengurus Siti, Rozi Abd Razak, ketika sedang mengemas barang.
Perkara itu dikongsikan Rozi menerusi Threads @rozisangdewi, sambil mengimbau kembali kisah berkenaan yang pernah diceritakannya beberapa bulan lalu ketika melakukan siaran langsung bersama Siti Nurhaliza.
“Beberapa bulan lalu, saya ada cerita perkara ini sewaktu live bersama Siti Nurhaliza. Hehehe.. tengah kemas-kemas, saya jumpa semula surat daripada mendiang Chester (Linkin Park) 21 tahun yang lalu.
“Surat ni sampai ke bilik hotel saya & Siti Nurhaliza dan saya simpan sampai sekarang,” katanya.
Lebih menarik, surat yang ditulis Chester itu ditujukan secara khusus kepada Siti dan berkaitan dengan topi yang merupakan pemberiannya kepada penyanyi berkenaan.
Dalam surat tersebut, Chester menulis:
“Dear Ms. Siti Nurhaliza Binte Tarudin,
Please try to wear the cap tonight when you are on stage, thank you.
Chester/Linkin Park”
Tak pakai topi pemberian Chester
Mengimbau kembali kejadian tersebut, Rozi menjelaskan Siti tidak memakai topi pemberian Chester itu kerana ia tidak sesuai dengan penampilannya pada malam persembahan.
Menurutnya, jika diteliti semula, Siti ketika itu mengenakan baju kebaya labuh bersama seluar ketika membuat persembahan lagu Seindah Biasa.
“Siti Nurhaliza tak pakai topi tu sebab tak sesuai dengan penampilan. Kalau check semula, Siti Nurhaliza pakai baju kebaya labuh & seluar, buat persembahan lagu Seindah Biasa,” katanya.
Apabila ditanya mengenai keberadaan topi tersebut selepas 21 tahun, Rozi mengakui dia sendiri tidak pasti sama ada ia masih berada di rumah lama atau sudah tiada.
“Kalau tanya mana topi tu? Dah 21 tahun, maybe kat rumah lama atau memang dah tak ada dah. Lama sangat ni,” katanya.
Rozi turut menegaskan bahawa perkongsian tersebut sekadar untuk mengimbau kembali kenangan lama dan tidak mempunyai tujuan lain.
Mengimbau sahaja, tiada tujuan lain,” katanya.
Surat tersebut kini menjadi antara kenangan yang tersimpan daripada satu peristiwa lebih dua dekad lalu, ketika Siti Nurhaliza menerima pemberian daripada mendiang Chester Bennington dan diminta memakainya ketika membuat persembahan.

