Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

5 Contoh Situasi Orang Ingat Normal Dalam Perkahwinan Tapi Sebenarnya Hint Awal Keganasan Rumah Tangga

Rumah Tangga

"Dia buat macam tu sebab dia sayang.", "Dia cuma risaukan saya.", "Biasalah suami isteri."

Ayat-ayat seperti ini sering digunakan untuk mempertahankan tindakan pasangan yang bersifat mengawal.

Namun pernahkah kita terfikir bahawa perkara yang dianggap normal itu sebenarnya mungkin merupakan satu bentuk keganasan rumah tangga?

Tanpa disedari, ramai wanita menggunakan alasan-alasan ini untuk menjelaskan tingkah laku pasangan yang sebenarnya bersifat mengawal dan memudaratkan. Lebih membimbangkan, ada mangsa yang hidup bertahun-tahun dalam situasi tersebut tanpa menyedari bahawa mereka sedang mengalami keganasan rumah tangga.

Walaupun ramai mengaitkan keganasan rumah tangga dengan penderaan fizikal, hakikatnya ia juga boleh berlaku dalam bentuk emosi, psikologi, kewangan dan digital. Ada kalanya, ia bermula dengan perkara yang kelihatan kecil sebelum berkembang menjadi situasi yang lebih serius.

Antara situasi yang sering dianggap biasa tetapi sebenarnya boleh menjadi petanda awal keganasan rumah tangga ialah:

Perlu Kongsi Lokasi Setiap Masa

Pada mulanya mungkin kelihatan seperti sikap mengambil berat. Pasangan bertanya di mana kita berada, dengan siapa kita keluar atau bila akan pulang ke rumah.

Namun apabila pasangan menuntut lokasi sepanjang masa, meminta bukti bergambar dan menjadi marah apabila lokasi tidak dikongsi, ia boleh menjadi petanda kawalan yang tidak sihat.

Sebagai contoh, seorang isteri keluar makan tengah hari bersama rakan sekerja. Sepanjang tempoh tersebut, suaminya meminta gambar lokasi, gambar bersama rakan-rakan dan bertanya setiap kali dia berpindah tempat. Apabila isteri lambat membalas mesej kerana sedang bekerja atau menghadiri mesyuarat, suami mula menuduhnya menyembunyikan sesuatu.

Apabila seseorang sentiasa berasa perlu melaporkan setiap pergerakan kerana takut dimarahi, ia bukan lagi sekadar sikap mengambil berat.

Tidak Dibenarkan Bertemu Keluarga Dan Rakan

Mengasingkan seseorang daripada sistem sokongan merupakan antara taktik yang sering digunakan oleh pelaku keganasan rumah tangga.

Pada mulanya, pasangan mungkin memberikan alasan seperti mahu meluangkan lebih banyak masa bersama atau tidak selesa dengan sesetengah rakan. Namun lama-kelamaan, hubungan mangsa dengan keluarga dan rakan-rakan menjadi semakin renggang.

Sebagai contoh, seorang wanita sering dimarahi setiap kali ingin pulang ke kampung berjumpa ibu bapanya. Pasangannya memberi pelbagai alasan seperti "keluarga awak tak suka saya" atau "awak dah ada keluarga sendiri sekarang". Setiap kali dia keluar bersama rakan-rakan, pertengkaran akan berlaku apabila pulang ke rumah.

Lama-kelamaan, wanita tersebut memilih untuk mengurangkan pergaulan dan menjauhkan diri daripada orang-orang yang rapat dengannya demi mengelakkan konflik.

Keadaan ini boleh menyebabkan mangsa kehilangan tempat untuk berkongsi masalah dan mendapatkan bantuan apabila berdepan situasi yang sukar.

Semua Wang Perlu Diserahkan

Keganasan kewangan sering berlaku tanpa disedari kerana ramai menganggap pengurusan kewangan keluarga adalah perkara biasa dalam rumah tangga.

Namun ia menjadi masalah apabila seseorang tidak mempunyai hak untuk mengurus atau menggunakan wang hasil titik peluh sendiri.

Sebagai contoh, setiap kali menerima gaji, seorang isteri perlu memindahkan keseluruhan wang ke akaun suaminya. Jika ingin membeli keperluan peribadi seperti pakaian, barangan penjagaan diri atau memberi duit kepada ibu bapanya, dia perlu meminta izin terlebih dahulu.

Dalam sesetengah keadaan, mangsa juga tidak dibenarkan mengetahui kedudukan kewangan keluarga atau mempunyai simpanan sendiri.

Apabila seseorang kehilangan kebebasan untuk membuat keputusan berkaitan kewangan mereka sendiri, ia boleh menyebabkan mereka menjadi terlalu bergantung kepada pasangan dan sukar keluar daripada hubungan yang tidak sihat.

Sentiasa Dihina Dan Dipermalukan

Kata-kata boleh meninggalkan kesan yang mendalam walaupun tidak menyebabkan kecederaan fizikal.

Kata-kata yang menjatuhkan maruah, memperlekehkan rupa paras, kebolehan atau membandingkan pasangan dengan orang lain boleh menyebabkan mangsa hilang keyakinan diri dan berasa tidak bernilai.

Sebagai contoh, setiap kali berlaku perselisihan faham, seorang suami sering mengatakan isterinya "tak pandai buat apa-apa", "tak cantik macam dulu" atau "orang lain lagi baik daripada awak".

Ada juga pasangan yang gemar memperlekehkan pasangan mereka di hadapan ahli keluarga atau rakan-rakan atas alasan bergurau.

Walaupun kelihatan seperti perkara kecil, penghinaan yang berlaku secara berterusan boleh memberi kesan besar kepada kesihatan mental dan emosi seseorang.

Telefon Dan Media Sosial Sentiasa Diperiksa

Dalam era digital hari ini, keganasan juga boleh berlaku melalui penggunaan teknologi.

Memaksa pasangan menyerahkan telefon, membaca mesej peribadi atau mengawal aktiviti media sosial bukanlah tanda kasih sayang, sebaliknya satu bentuk pencerobohan privasi dan kawalan.

Sebagai contoh, seorang wanita perlu menyerahkan telefonnya setiap malam untuk diperiksa oleh pasangan. Setiap mesej WhatsApp, komen di media sosial dan senarai kenalan diperhatikan. Jika terdapat mesej daripada rakan lelaki atau interaksi yang dianggap mencurigakan, dia akan disoal siasat dan dituduh berlaku curang walaupun tanpa sebarang bukti.

Situasi seperti ini boleh menyebabkan mangsa hidup dalam keadaan tertekan dan sentiasa berasa takut melakukan kesilapan.

Jangan Pandang Ringan Tanda-Tanda Awal Ini

Mungkin ada yang melihat situasi-situasi ini sebagai perkara biasa dalam sesebuah hubungan. Namun apabila sesuatu tindakan membuatkan seseorang hidup dalam ketakutan, kehilangan kebebasan atau sentiasa berasa bersalah, ia tidak boleh dipandang ringan.

Menurut Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), antara cabaran terbesar dalam menangani keganasan rumah tangga ialah apabila mangsa tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya sedang mengalami keganasan.

Atas sebab itu, Kempen Hentikan Keganasan Rumah Tangga 2026 dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pelbagai bentuk keganasan yang sering disalah anggap sebagai perkara biasa dalam hubungan.

Melalui Program Advokasi Kesejahteraan untuk Wanita @ Keganasan Rumah Tangga (AkuWanita@KRT), JPW turut memperluaskan usaha advokasi dan pendidikan bagi membantu masyarakat mengenali tanda-tanda awal keganasan, memahami hak mereka serta mengetahui saluran bantuan yang tersedia.

Selain meningkatkan kesedaran, usaha ini juga bertujuan menggalakkan lebih ramai mangsa tampil mendapatkan bantuan sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Cinta Bukan Tentang Ketakutan

Kasih sayang tidak seharusnya membuatkan seseorang hidup dalam ketakutan, kehilangan kebebasan atau sentiasa dipersalahkan.

Hubungan yang sihat dibina atas dasar saling menghormati, mempercayai dan menyokong antara satu sama lain. Jika sesuatu hubungan menyebabkan seseorang berasa tertekan, terkawal atau tidak selamat, ia bukan perkara yang harus dinormalisasikan.

Sekiranya anda atau seseorang yang anda kenali memerlukan bantuan, jangan berdiam diri.

Hubungi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-261 5999 untuk mendapatkan khidmat nasihat dan sokongan.

Rumah Tangga