Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

60 Peratus Daripada Dividen Simpanan Konvensional Perlu Disucikan - KWSP
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memaklumkan sebanyak 60% daripada dividen Simpanan Konvensional perlu disucikan dan disalurkan kepada Baitulmal bagi memastikan pematuhan Syariah.
Mungkin masih ramai yang belum mengetahui dan memahami tentang perkara ini dengan lebih jelas. Justeru itu, pihak KWSP tampil memberikan penjelasan lanjut mengenainya.
Menurut perkongsian dari pihak KWSP di laman X, Simpanan Shariah akan berkuat kuasa setiap 1 hari bulan berikutnya selepas pendaftaran pilihan atau bulan seterusnya sekiranya didaftarkan dalam tempoh tujuh hari terakhir bulan berkenaan.
Oleh yang demikian, dividen yang diterima oleh ahli bagi tahun tersebut terdiri daripada dividen Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah.
Penyucian dividen perlu dilakukan di atas dividen Simpanan Konvensional yang diterima.
Kadar penyucian pula adalah 60 peratus daripada dividen Simpanan Konvensional 2025 bagi ahli KWSP yang beragama islam dan yang masih belum membuat penukaran ke Simpanan Shariah.
Tambah KWSP lagi, penyucian dividen adalah sebahagian daripada kewajipan ahli bagi memastikan sumber pendapatan adalah patuh syariah.
Justeru, setiap ahli digalakkan untuk merujuk pandangan Majlis Agama Islam negeri masing-masing bagi mendapatkan kepastian lebih lanjut.
Sebagai contoh, misalnya jumlah dividen Konvensional anda pada tahun 2025 ialah RM1,000, maka ia perlu didarab dengan 60 peratus dan jumlah dividen yang perlu disucikan adalah sebanyak RM600.
Pada tahun 2016 dan ke bawah, penyucian dividen dikecualikan. Jadi, ahli beragama Islam dikecualikan daripada melakukan penyucian dividen sebelum wujudnya Simpanan Shariah.
Untuk memahami dengan lebih jelas, anda boleh melihat penjelasan lanjut dari pihak KWSP di bawah ini.
