Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) yang sekian lama menjadi platform mengiktiraf kecemerlangan pemain, jurulatih dan pasukan dalam arena bola sepak tempatan kini dijenamakan semula sebagai Liga M Awards.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dipersetujui pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Kedua bagi penggal 2025-2029 yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Ab Ghani Hassan.
Menurut MFL, penjenamaan semula itu bertujuan mewujudkan identiti yang lebih jelas dan tepat selaras dengan skop penilaian yang memfokuskan kepada saingan Liga Malaysia (Liga-M).
“Liga M Awards dilihat secara tepat sebagai anugerah yang mengangkat kecemerlangan individu dan pasukan dalam saingan Liga Malaysia, berbanding ABK yang secara umumnya merujuk kepada keseluruhan ekosistem bola sepak negara termasuk pasukan kebangsaan, pertandingan peringkat umur serta bola sepak wanita,” menurut kenyataan itu.
Selain penjenamaan semula, MFL turut memaklumkan bahawa Liga M Awards 2025-2026 dijadual berlangsung pada Ogos ini, berbeza daripada amalan sebelum ini yang diadakan sejurus selepas tamat saingan Liga Malaysia.
Katanya, perubahan jadual itu membolehkan Jawatankuasa Pemilih membuat penilaian yang lebih menyeluruh terhadap prestasi pemain dan jurulatih sepanjang satu musim penuh, bermula daripada perlawanan pembukaan Liga Super sehingga aksi terakhir musim, iaitu Perlawanan Akhir Piala Malaysia.
“Langkah ini juga memberikan peluang kepada aksi-aksi penting pada penghujung saingan termasuk jaringan gol, bantuan gol dan aksi menyelamat yang luar biasa dalam perlawanan berprofil tinggi untuk turut diambil kira dalam proses pemilihan,” menurut kenyataan itu.
MFL berkata, pendekatan baharu itu dijangka memberi gambaran yang lebih tepat terhadap prestasi sebenar setiap calon berdasarkan pencapaian mereka sepanjang musim.
Sebanyak 15 kategori anugerah akan dipertandingkan pada edisi sulung Liga M Awards, antaranya Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pemain Import Terbaik, Pemain Muda Terbaik serta Pemain Paling Bernilai (MVP).