Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ada Anak Tentera Mempunyai Autisme, Ini Insentif MINDEF Kepada Anggota
Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin pada 11 Mac 2026 telah mengumumkan Program ‘Cakna Autisme Angkatan Tentera Malaysia (ATM)’, iaitu inisiatif yang akan dilaksanakan bermula tahun 2026.
Program ‘Cakna Autisme ATM’ ini merupakan kerjasama dengan salah satu anak syarikat di bawah MINDEF iaitu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
“Kita memilih untuk melaksanakan program ini kerana menyedari bahawa autisme merupakan satu keadaan yang menjejaskan perkembangan, khususnya dari segi komunikasi dan interaksi sosial individu. Terutamanya dalam kalangan anak-anak anggota tentera.

“Kita tidak boleh membiarkan anggota-anggota kita menghadapi perkara ini secara bersendirian.
“Oleh itu, kita berpandangan bahawa intervensi awal perlu dilaksanakan bersama Pharmaniaga Berhad, sebuah syarikat yang berkaitan dengan sektor kesihatan,” ujar beliau ketika hadiri Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan Bersama Pengamal Media di Hotel DoubleTree by Hilton.
Tambah Yang Berhormat Menteri Pertahanan lagi, program tersebut dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai tanda-tanda awal autisme, selain menyediakan saringan awal secara sukarela dan laluan rujukan bagi intervensi awal. Difahamkan, ia juga memperkukuhkan institusi keluarga.

“Program ini dilaksanakan dalam tiga fasa. Yang pertama ialah melibatkan kesedaran dan pendidikan yang disediakan oleh pakar-pakar untuk memberi ceramah dan bahan maklumat.
“Manakala fasa kedua merangkumi saringan awal serta penilaian profesional, maklum balas kepada ibu bapa dan fasa terakhir ialah memberi tumpuan kepada rujukan serta sokongan,” kata beliau lagi.
Di samping itu, MINDEF menyasarkan kira-kira 500 hingga 800 keluarga ATM akan menerima manfaat melalui program yang akan dilaksanakan pada tahun ini.
Dalam masa sama, Yang Berhormat berharap inisiatif ini dapat mengurangkan cabaran serta bebanan yang dihadapi oleh keluarga ATM yang mempunyai anak menghidap autisme.

Di penghujung majlis, Dato’ Seri Mohamed Khaled turut menyaksikan penyerahan cek cura daripada Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad, Datuk Zulkifli Jafar kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman bagi pihak Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM).
Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak Pharmaniaga Berhad kepada 90 pelajar dan 14 warden STAY ATM dalam menyokong usaha memperkasa kebajikan dan pendidikan anak-anak warga ATM.