Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ada Orang Tak 'Selera' Nak Buang Air Bila Di Tandas Awam? Ini Sebab & Cara Atasi

Buang Air
Kredit: ImageFX

Ada Orang Tak 'Selera' Nak Buang Air Bila Di Tandas Awam? Ini Sebab & Cara Atasi

Tabiat menahan kencing sememangnya diketahui tidak baik untuk diri sendiri.

Dalam sesuatu keadaan, seseorang itu terpaksa menahan kencing kerana ketiadaan tandas berdekatan terutamanya ketika memandu di lebuh raya ataupun tidak boleh buang air apabila di tandas awam.

Bagi segelintir individu, mereka mengalami paruresis atau sindrom pundi kencing malu, iaitu keadaan yang menyebabkan ketidakupayaan untuk membuang air kecil di tandas awam atau ketika berada dalam situasi yang tidak memberikan privasi mencukupi.

Justeru, SK hari ini akan berkongsi beberapa cara untuk mengatasi masalah kesukaran membuang air kecil tanpa privasi dengan lebih berkesan, menurut Hello Doktor.

Ada Orang Yang Tak 'Selera' Nak Buang Air Bila Di Tandas Awam! Kenapa?

Walaupun nampak lucu, paruresis boleh memberikan kesan negatif terhadap hidup seseorang seperti masalah ketika bekerja.

Penghidap sindrom pundi kencing malu mungkin tidak dapat bekerjasama ketika melakukan ujian air kencing.

Malah, mereka juga sukar untuk menaiki pengangkutan awam dan mungkin terpaksa berhadapan dengan masalah sosial setiap hari.

Disebabkan kondisi ini, penghidap paruresis hanya mampu membuang air kecil di rumah apabila tidak ada tetamu.

Malah, penyakit ini juga merupakan sejenis fobia aneh yang mempunyai kelaziman yang sama dengan fobia untuk bercakap di tempat awam. Ia juga dikenali sebagai pee-phobia atau fobia untuk membuang air kecil.

Sindrom pundi kencing malu boleh terjadi kepada lelaki atau wanita yang juga digelar retensi urin psikogenik kerana penghidapnya mempunyai rasa malu serta stres menggunung apabila perlu membuang air tanpa privasii.

Mari ikuti penjelasan kami di bawah untuk mengetahui punca serta cara mengatasi susah buang air kecil ini.

Paruresis, bukan disebabkan kondisi fizikal

Paruresis bukanlah sebuah kondisi fizikal malah, jika diperiksa, tidak ada apa yang rosak atau terjejas pada saluran urinari pesakit.

Selalunya, paruresis berlaku sebagai sebuah fobia sosial.

Sebagai contoh, pesakit mungkin mempunyai pengalaman buruk ketika diminta membuang air di tempat yang tiada privasi seperti terpaksa membuang air di hadapan jururawat atau perlu kencing di dalam cawan.

Malah, mereka amat risau dengan insiden tersebut sehinggakan mereka rasa resah untuk membuang air kecil di tempat awam.

Selain itu, individu yang pernah menjadi mangsa keganasan atau serangan seksual juga berupaya mengalami paruresis.

Bukan itu sahaja, mereka yang menghidap sindrom pundi kencing malu juga tidak mampu untuk membuang air kecil dengan normal tanpa privasi.

Rasa gelisah disebabkan perkara ini membuatkan otot sphincter pesakit tertutup rapat dan menyukarkan mereka untuk membuang air.

Simptom paruresis

Simptom paruresis mungkin berbeza dari satu individu ke individu yang lain.

Namun, dalam kes yang sederhana dan teruk, pesakit lebih terdorong untuk memastikan mereka membuang air dalam keadaan privasi total.

Malah, ada juga pesakit yang tidak boleh membuang air dengan aman jika perbuatan tersebut mengeluarkan sebarang bunyi.

Lebih teruk lagi, jika pesakit berada di tempat awam, mereka tidak boleh membuang air walaupun dipaksa.

Oleh sebab itu, mereka akan mengelak daripada minum air ketika keluar rumah supaya tidak perlu ke tandas.

Selain itu, ada juga pesakit yang akan cuba membuang air sebanyak mungkin di rumah sebelum keluar.

Masalah ini juga boleh mengganggu kehidupan sosial penghidap parerusis kerana ada sebahagian daripada mereka yang mengelak untuk keluar dari rumah kerana tidak mahu berhadapan dengan situasi ini.

Bagaimana ia akan pengaruh hidup pesakit?

Sukar untuk pesakit paruresis bercerita mengenai kondisi mereka.

Disebabkan sindrom ini berpunca daripada fobia masa lampau, ia merupakan sesuatu yang pahit untuk ditelan.

Mereka juga tidak dapat mengelak daripada rasa malu yang amat sangat mengenai kondisi mereka.

Oleh sebab itu, penghidap paruresis akan bertindak menyorokkan kondisi ini daripada ahli keluarga dan rakan-rakan mereka.

Komplikasi yang boleh berlaku adalah jangkitan salur kencing, kecederaan pada pundi kencing, menyebabkan darah dalam air kencing (Hematuria), dan keradangan pundi kencing.

Cara mengatasi susah buang air kecil!

Ada beberapa langkah yang boleh dilakukan sebagai cara mengatasi susah buang air kecil ini. Sebagai contoh, pesakit boleh:

Melakukan terapi

Terapi tingkah laku kognitif boleh membantu pesakit untuk mengawal pemikiran mereka mengenai penggunaan tandas awam.

Cuba bawa bertenang

Ada beberapa teknik yang boleh pesakit lakukan untuk bertenang dan relaks ketika membuang air di tempat awam seperti kawalan pernafasan.

Buka paip ketika membuang air

Walaupun nampak mudah, cara mengatasi susah buang air kecil ini mungkin dapat mengurangkan kegelisahan pesakit.

Mengambil ubat anti kegelisahan

Walau bagaimanapun, pengambilan ubat-ubatan merupakan langkah terakhir.

Kesimpulannya, ada banyak rawatan ataupun cara mengatasi susah buang air kecil ini.

Tetapi, apa yang penting, pesakit tidak seharusnya menyembunyikan kondisi ini daripada pengetahuan doktor.

Dengan rawatan seperti terapi dan sebagainya, pesakit sindrom pundi kencing malu boleh menjalani kehidupan yang normal seperti orang lain.