Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Adakah Perlu Mandi Wajib Selepas Keguguran? Ini Jawapan Mufti WP
Anak merupakan salah satu anugerah yang paling berharga yang dihadiahkan oleh Allah SWT kepada setiap pasangan yang telah mendirikan rumah tangga.
Oleh itu, apabila menerima berita kehadiran bayi di dalam rahim, setiap pasangan pasti akan lebih cakna dengan setiap rutin atau tingkah laku yang dilakukan bagi mengelakkan perkara tidak diingini.
Namun Allah sebaik-baik perancang, kadang kala berlaku perkara yang tidak terduga kepada ibu hamil sehingga menyebabkan keguguran.
Bila bercakap mengenainya, timbul juga persoalan sama ada seseorang wanita perlu atau tidak melakukan mandi wajib selepas keguguran.
Untuk mengupas persoalan ini dengan lebih terperinci, Mufti Wilayah Persekutuan tampil memberikan jawapan.
Assalammualaikum, Doktor mengesahkan bahawa saya mengalami keguguran janin pada usia kandungan minggu ke 15.
Situasi ini perlu kepada prosedur perubatan yang dilakukan untuk membersihkan rahim Dilation and Curettage (D&C). Setelah selesai prosedur tersebut, dan darah berhenti, adakah saya perlu mandi wajib. Mohon pencerahan SS Mufti. Terima kasih
Wanita yang mengalami keguguran sama ada yang keluar itu berbentuk segumpal darah atau seketul daging mahupun janin yang kelihatan rupa kejadian manusia itu dianggap melalui proses wiladah ( kelahiran) yang menyebabkan mandi wajib selepas darah nifas berhenti berdasarkan pandangan muktamad.
Hal ini kerana nifas merupakan salah satu sebab yang perlu kepada mandi wajib.
Bagi memastikan rahim benar - benar kosong, wanita yang keguguran perlu menjalani prosedur cuci rahim (D&C) bagi pengeluaran keseluruhan janin dari kandungan mengikut kaedah yang disarankan oleh pakar perubatan yang berautoriti.
Prosedur ini sangat penting bagi mencapai maksud nifas iaitu kelahiran setelah kosongnya rahim daripada kehamilan atau segumpal darah (‘alaqah) atau ketulan daging (mudghah)
Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga,sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.
Sebab-sebab yang mewajibkan mandi
Para ulama fiqh telah menjelaskan beberapa keadaan yang mewajibkan seseorang Muslim untuk melakukan mandi wajib. Berikut merupakan sebab-sebab yang perlu mandi wajib:
Kematian
Haid
Nifas
Wiladah walaupun kering darah (tidak basah)
Junub dengan masuknya hasyafah (kepala zakar) atau kadarnya ke dalam faraj
Keluar mani dengan cara yang biasa atau apa-apa cara.
Keguguran yang mewajibkan mandi
Nifas merupakan sebab yang mewajibkan mandi. Persoalannya, adakah darah yang keluar akibat keguguran boleh dikategorikan sebagai nifas dan juga termasuk dalam konsep wiladah (kelahiran)? Oleh itu, perkara yang perlu diperhalusi ialah definisi nifas itu sendiri menurut mazhab Syafie.
Dari segi bahasa nifas ialah wiladah (kelahiran), manakala nifas menurut syarak ialah darah yang keluar daripada rahim wanita disebabkan kelahiran setelah kosongnya rahim daripada kehamilan atau segumpal darah (‘alaqah) atau ketulan daging (mudghah) dan darah itu keluar sebelum berlalu masa 15 hari selepas bersalin. Selepas tempoh tersebut tidak dihukumkan nifas
Berdasarkan definisi tersebut, jelas menunjukkan nifas itu bukan sekadar akibat kelahiran bayi yang sempurna, malahan melibatkan keluar bentuk janin mengikut fasa tumbesaran janin / embrio dalam rahim yang berperingkat. Firman Allah SWT:
ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أَنشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ ۚ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ
Maksudnya: “Kemudian Kami ciptakan air benih (nutfah) itu menjadi menjadi segumpal darah (‘alaqah). Lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging (mudhgah); kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.”
(Surah al-Mu’minun: 14)
Ulama berbeza pandangan berkaitan berkaitan mandi wajib bagi wanita yang keguguran berdasarkan bentuk janin sama ada segumpal darah (‘alaqah) atau seketul daging (mudhgah) atau bentuk janin yang kelihatan rupa manusia . Perbezaan pandangan fuqaha ini dinyatakan dalam Kitab al-Majmu`:
وَلَوْ أَلْقَتْ عَلَقَةً أَوْ مُضْغَةً فَفِي وُجُوبِ الْغُسْلِ الْوَجْهَانِ الْأَصَحُّ الْوُجُوبُ ذَكَرَهُ الْمُتَوَلِّي وَآخَرُونَ وَقَطَعَ الْقَاضِي حُسَيْنٌ وَالْبَغَوِيُّ بِالْوُجُوبِ فِي الْمُضْغَةِ وَخَصَّ الْوَجْهَيْنِ بِالْعَلَقَةِ
“Dan jika seorang wanita keguguran dalam bentuk ‘alaqah (segumpal darah) atau mudghah (ketulan daging), terdapat dua pandangan mengenai kewajiban mandi. Pandangan yang lebih sahih ialah mandi wajib, sebagaimana yang disebut oleh al-Mutawalli dan ulama lain. Al-Qadi Husain dan al-Baghawi menegaskan kewajiban mandi untuk mudghah, manakala mereka membezakan kedua-dua pandangan bagi ‘alaqah.
Justeru, menurut pandangan muktamad dalam mazhab Syafi‘i menyatakan wanita yang mengalami keguguran tetap perlu mandi wajib walaupun yang keluar hanyalah dalam bentuk segumpal darah.
Hal ini turut ditegaskan oleh Imam al-Nawawi yang menyatakan bahawa keguguran yang berbentuk ketulan tersebut termasuk dalam hukum nifas, sebagaimana yang disebut dalam kitab Raudhah al-Talibin:
وَسَوَاءٌ فِي حُكْمِ النِّفَاسِ، كَانَ الْوَلَدُ كَامِلَ الْخِلْقَةِ أَوْ نَاقِصَهَا أَوْ مَيْتًا وَأَلْقَتْ مُضْغَةً أَوْ عَلَقَةً. وَقَالَ الْقَوَابِلُ: إِنَّهُ مُبْتَدَأُ خَلْقِ آدَمِيٍّ، فَالدَّمُ الْمَوْجُودُ بَعْدَهُ نِفَاسٌ.
Maksudnya: “Dalam hukum nifas, sama ada anak yang lahir itu dalam bentuk penciptaan yang sempurna atau yang tidak sempurna atau mati atau gugur dalam bentuk ketulan daging atau segumpal darah dan apabila berkata para bidan: ‘Sesungguhnya ini adalah permulaan penciptaan manusia.’ Maka darah yang mengalir selepas kelahiran itu adalah nifas.”
Justeru, sekiranya bidan atau doktor pakar mengatakan bahawa segumpal darah atau ketulan daging yang keluar itu adalah peringkat permulaan janin, maka darah yang keluar selepasnya itu adalah nifas.
Selain itu, pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafi’i menyatakan bahawa sekiranya wanita itu bersalin tanpa darah sekalipun, wanita itu tetap dikira berhadas besar dan dan diwajibkan mandi junub.
Perkara ini juga dijelaskan oleh Imam Ibn Qasim dalam Fath al-Qarib al-Mujib:
(والوِلادة)
المصحوبة بالبلل موجبة للغسل قطعا. والمجردة عن البلل موجبة في الأصح
Maksudnya : “Dan kelahiran ( wiladah) yang disertai dengan kebasahan mewajibkan mandi (junub) menurut sepakat para ulama Syafi'iyyah" . Sedangkan kelahiran yang tidak disertai kebasahan turut diwajibkan mandi menurut pendapat yang muktamad.
Wanita yang mengalami keguguran, walaupun yang keluar hanya berbentuk ‘alaqah (segumpal darah) atau mudghah (segumpal daging), tetap dikategorikan berada dalam keadaan nifas dan wajib mandi wajib setelah darah berhenti.
Bagi memastikan rahim benar-benar kosong daripada sisa kehamilan, prosedur pembersihan rahim perlu dilakukan mengikut saranan pakar perubatan agar keseluruhan kandungan dikeluarkan.
Hal ini selaras dengan konsep nifas, iaitu keluarnya darah selepas rahim kosong daripada kehamilan, sama ada berupa ‘alaqah atau mudghah.