Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

AIM25 Kembali Dengan Kategori Baharu, Ganjaran Lebih Besar & Pengiktirafan Berterusan Terhadap Kecemerlangan Muzik Malaysia

KATEGORI

AIM25 Kembali Dengan Kategori Baharu, Ganjaran Lebih Besar & Pengiktirafan Berterusan Terhadap Kecemerlangan Muzik Malaysia

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dengan bangganya mengumumkan penganjuran Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25), iaitu anugerah muzik paling berprestij dan lama bertahan di Malaysia, yang terkenal atas pengiktirafan kecemerlangan seni dan pemantapan standard industri sejak 1993.

Meraikan Jubli Peraknya, AIM25 akan berlangsung pada 26 September 2026 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), menandakan julung kalinya majlis anugerah ini diadakan di Sarawak. Majlis ini disokong penuh oleh Kementerian Komunikasi menerusi Geran Digital Content Fund melalui MyCreative Ventures, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Sarawak (MTCP) menerusi Geran Acara Pelancongan, manakala TVS bertindak sebagai Penyiar Rasmi dan Rakan Kongsi Penganjur AIM25.

Sempena edisi Jubli Perak ini, AIM25 terus berkembang seiring dengan landskap muzik Malaysia yang dinamik dan pelbagai dengan pengenalan dua kategori anugerah baharu yang mencerminkan identiti budaya negara yang kaya serta evolusi ekspresi muzik.

Lagu Borneo Terbaik 

Mengiktiraf karya muzik cemerlang yang meraikan kekayaan budaya, bahasa, tradisi dan identiti unik Sabah dan Sarawak. Kategori ini menghormati lagu-lagu yang mencerminkan semangat, warisan dan ekspresi kreatif kontemporari masyarakat pelbagai kaum di Borneo.

Lagu Perayaan Terbaik 

Menghormati karya muzik yang menangkap kegembiraan, nilai dan tradisi perayaan-perayaan di Malaysia. Kategori ini meraikan lagu-lagu yang telah menjadi sebahagian penting dalam perayaan berbilang kaum negara sambil mempromosikan perpaduan dan kesepaduan antara masyarakat.

Pengenalan kategori-kategori ini mencerminkan komitmen berterusan AIM untuk mengiktiraf kepelbagaian industri muzik Malaysia sambil meraikan identiti budaya unik dan tradisi muzik yang membentuk landskap kreatif negara.

Selain memperkenalkan kategori anugerah baharu, AIM25 turut menandakan edisi paling signifikan setakat ini menerusi sokongan kerajaan yang dipertingkatkan dan kerjasama strategik yang menegaskan kembali kepentingan industri muzik Malaysia sebagai penyumbang utama kepada ekonomi kreatif negara.

Kementerian Komunikasi Perkukuh Sokongan untuk AIM25 dengan Dana Pengiktirafan di bawah Dana Kandungan Kreatif (DKK) Sebanyak RM950,000 

Bagi memperkukuh pembangunan industri muzik tempatan, Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Kreatif yang diuruskan oleh MyCreative Ventures Sdn. Bhd. (MyCreative Ventures) telah meningkatkan peruntukan DKK untuk AIM25 sebanyak RM250,000, menjadikan jumlah keseluruhan kepada RM950,000, berbanding RM700,000 yang diperuntukkan bagi AIM24.

Daripada jumlah tersebut, pemenang bagi 15 kategori anugerah akan menerima geran DKK berjumlah RM50,000 setiap satu, iaitu Lagu Terbaik, Artis Baharu Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik, Video Muzik Terbaik, Lagu Electronic Pop/Dance Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Lagu Hip Hop Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Lagu Runut Bunyi (OST) Terbaik dalam Filem/Drama. Sementara itu, pemenang bagi kategori Album Terbaik akan menerima geran DKK berjumlah RM200,000.

DKK merupakan antara inisiatif kerajaan dalam membantu dan menggalakkan pengamal industri kreatif dalam penghasilan, penerbitan dan penyebaran kandungan kreatif yang berdaya cipta tinggi serta berupaya dipasarkan di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Inisiatif ini sekaligus menunjukkan kesungguhan dan komitmen kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dalam memupuk pertumbuhan industri kreatif termasuk industri muzik yang berpotensi besar sebagai salah satu tonggak utama pertumbuhan ekonomi jingga.

Peningkatan peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengiktiraf kecemerlangan seni, menggalakkan kreativiti dan inovasi, serta memperkasa industri kreatif sebagai penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi negara. Pada masa yang sama, ia merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan besar para penggiat industri muzik dalam memperkaya khazanah seni dan budaya negara.

MTCP Sarawak Sokong AIM25 dengan Geran RM1 Juta 

AIM25 turut disokong oleh geran RM1 juta daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Sarawak (MTCP), yang menegaskan komitmen Sarawak dalam memperkukuh industri kreatif Malaysia serta memposisikan negeri ini sebagai destinasi utama seni, budaya dan hiburan.

Kerjasama ini turut menandakan detik penting apabila AIM meraikan edisi Jubli Peraknya di Kuching, Sarawak buat julung kalinya, mencerminkan visi bersama antara RIM dan MTCP Sarawak untuk mengangkat industri muzik Malaysia sambil mempamerkan Sarawak sebagai hab yang dinamik bagi acara kreatif dan budaya berskala besar.

"AIM25 amat bermakna kerana kita meraikan Jubli Perak anugerah muzik paling berprestij di Malaysia. Sepanjang 24 edisi yang lalu, AIM terus mengiktiraf dan menghormati bakat, kreativiti serta dedikasi cemerlang para penggiat muzik kita, sambil turut berevolusi seiring dengan landskap industri muzik Malaysia yang sentiasa berubah.

Kami merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi atas sokongan berterusan terhadap AIM menerusi Digital Content Fund bernilai RM950,000, kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Sarawak (MTCP) atas geran pelancongannya, serta kepada TVS kerana bekerjasama dengan kami sebagai Penyiar Rasmi dan Rakan Kongsi Penganjur AIM25 serta kepada CATS FM selaku Rakan Radio Rasmi AIM25.

Bersama-sama, kerjasama ini akan membantu kami menyampaikan satu sambutan yang benar-benar tidak dapat dilupakan bagi kecemerlangan muzik Malaysia serta memberi inspirasi kepada pertumbuhan berterusan industri muzik kita," kata Rosmin Hashim, Pengerusi RIM & AIM.

Kriteria Kelayakan Dan Tempoh Penamaan Penamaan 

AIM25 terbuka kepada Lagu/Album dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa India yang dikeluarkan di Malaysia antara 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025. Penyerahan penamaan bagi AIM25 akan dibuka pada 16 Julai 2026 dan ditutup pada 6 Ogos 2026. Borang penamaan berkaitan boleh dilengkapkan dan diserahkan di https://aim1.org.my/.

Kategori Anugerah 

Senarai lengkap tiga puluh tiga (33) kategori anugerah AIM25 adalah seperti berikut:

Kategori Utama

  1. ARTIS BAHARU TERBAIK

  2. VOKAL LELAKI TERBAIK

  3. VOKAL WANITA TERBAIK

  4. VOKAL KUMPULAN TERBAIK

  5. KUMPULAN (BAND) TERBAIK

  6. VOKAL DUO/KOLABORASI TERBAIK

  7. VIDEO MUZIK TERBAIK

  8. LAGU TEMA TERBAIK DALAM FILEM/DRAMA

  9. LAGU ROCK TERBAIK

  10. LAGU POP TERBAIK

  11. LAGU RAP/HIP HOP TERBAIK

  12. LAGU POP ELEKTRONIK/DANCE TERBAIK

  13. LAGU TEMPATAN BAHASA INGGERIS TERBAIK

  14. LAGU TEMPATAN BAHASA CINA TERBAIK

  15. LAGU TEMPATAN BAHASA INDIA TERBAIK

  16. LAGU MELAYU TERBAIK DIPERSEMBAHKAN OLEH ARTIS ANTARABANGSA

  17. KOLABORASI TERBAIK OLEH ARTIS TEMPATAN DAN ARTIS/PENGGUBAH ANTARABANGSA

  18. LAGU NASYID TERBAIK

  19. LAGU ETNIK TERBAIK

  20. LAGU PERPADUAN TERBAIK

  21. LAGU TRADISIONAL TERBAIK

  22. LAGU BORNEO TERBAIK

  23. ALBUM TERBAIK TAHUN INI

  24. LAGU TERBAIK TAHUN INI

Anugerah Khas 

25. ANUGERAH SRI WIRAMA

Kategori Pra-Anugerah 

26. LAGU PERAYAAN TERBAIK 

27. KULIT ALBUM TERBAIK 

28. KEJURUTERAAN LAGU TERBAIK 

29. KEJURUTERAAN ALBUM TERBAIK 

30. SUSUNAN MUZIK TERBAIK DALAM SEBUAH LAGU 

31. LAGU PALING BANYAK DISTRIM 

32. VIDEO MUZIK RASMI PALING BANYAK DITONTON DI PLATFORM VIDEO UTAMA 

33. LAGU DENGAN VIDEO KREASI TERBANYAK DI TIKTOK

Penilaian Anugerah 

Seperti edisi-edisi AIM yang terdahulu, penamaan akan dinilai oleh panel juri terdiri daripada pengamal industri muzik yang berkelayakan tinggi serta pakar terkemuka dari pelbagai disiplin dalam industri muzik tempatan, diketuai oleh Ketua Hakim yang dilantik, Ajai. Skor para juri akan dijumlahkan dan diaudit oleh juruaudit bebas sebelum keputusan diumumkan. Penerima Anugerah Sri Wirama akan ditentukan oleh Ahli Majlis RIM. Keputusan Lima (5) Calon Terakhir AIM25 dijangka diumumkan pada September 2026.

TVS Dilantik Sebagai Penyiar Rasmi dan Rakan Kongsi Penganjur 

AIM25 Sebagai Penyiar Rasmi dan Rakan Kongsi Penganjur AIM25, TVS akan membawa anugerah muzik paling berprestij di Malaysia kepada penonton seluruh negara sambil bekerjasama dengan RIM dalam menyampaikan edisi Jubli Perak AIM yang bersejarah dari Kuching, Sarawak.

"TVS berbesar hati dinamakan sebagai Penyiar Rasmi dan Penganjur Bersama AIM25. Sejak penubuhannya sebagai peneraju media di Sarawak, TVS sentiasa dipandu dengan misi untuk memupuk perpaduan nasional menerusi budaya, hiburan dan sumber maklumat yang dipercayai; selari dengan nilai-nilai yang diperjuangkan oleh AIM bagi industri muzik Malaysia. Edisi Jubli Perak ini, yang julung kalinya diadakan di Sarawak, merupakan detik membanggakan bagi kami sebagai stesen penyiaran tempatan yang akan membawa sambutan muzik Malaysia ini kepada penonton di seluruh negara.

Selain acara pada malam anugerah, TVS akan menerbitkan rancangan Hits 122 Edisi AIM2, yang bakal ditayangkan mulai 18 Julai 2026 dan disiarkan setiap hari Sabtu jam 8:30 malam. Rancangan selama 13 episod ini akan membina keterujaan ke arah AIM25 dengan turut memaparkan kisah anak seni tempatan serta industri muzik tanah air. Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan RIM, Kementerian Komunikasi serta Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Sarawak dalam menganjurkan edisi AIM yang bersejarah. Saksikan semuanya di TVS 122 menerusi MYTV, Unifi TV dan Astro, atau strim di TVS Inspire," kata Mohamad Sardon Zainal, Ketua Pegawai Media TVS.

CATS FM Rakan Radio Rasmi AIM25

"CATS FM gembira dapat menyertai perjalanan bersejarah ini sebagai Rakan Radio Rasmi AIM25. Sebagai radio yang membesar bersama masyarakat Sarawak, kami faham betapa bermaknanya detik ini apabila anugerah muzik paling berprestij negara memilih Kuching sebagai tuan rumah buat julung kali. Menerusi gelombang CATS FM, kami akan membawa semangat dan cerita AIM25 terus ke telinga pendengar, dari Kuching ke seluruh Sarawak dan Malaysia, sekali gus turut menjadi sebahagian daripada detik bersejarah buat industri muzik tanah air." ujar Haji Mohamad Fadzli Bin Daud , Pengurus Program CATS FM

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.aim1.org.my.

Ringkasan AI
  • AIM25 dijadualkan berlangsung di BCCK, Kuching pada 26 September 2026.
  • Dua kategori baharu diperkenalkan, iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik.
  • Kementerian Komunikasi menyediakan DKK RM950,000, manakala MTCP Sarawak memberi geran RM1 juta.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan