Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Akmal Nasrullah Lancar Vlog, Kongsi Gerak Kerja Menteri Ekonomi

NASRULLAH
Tangkap layar video Facebook Akmal Nasir

“Nak tengok kerja saya? Lepas ini saya tunjuk.”

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bakal berkongsi lebih banyak mengenai gerak kerja dan tugasan hariannya sebagai menteri menerusi tayangan vlog atau in real life (IRL) di YouTube bermula hari ini.

Menurut Akmal Nasrullah, inisiatif itu merupakan respons sinis terhadap segelintir penyokong Pas yang sebelum ini mempersoalkan tugasnya sebagai Menteri Ekonomi selepas beliau mengkritik kenyataan yang disifatkan mengelirukan berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).

Katanya, antara komen yang diterima termasuk persoalan mengenai tugasnya sebagai menteri serta kritikan terhadap keterbukaannya mengulas isu semasa menerusi media sosial.

“Saya petik angka yang penat-penat diusahakan oleh pesuruhjaya-pesuruhjaya daripada laporan RCI, tetapi ia tetap dikatakan sebagai kenyataan ‘ceplos’.

“Inilah modus operandi, apabila tidak dapat menjawab dengan fakta, mereka memberi gelaran.

“Jadi, saya ada hadiah untuk penyokong Pas. Disebabkan mereka hendak sangat melihat kerja saya, jika sebelum ini saya hanya berkongsi video pendek, selepas ini saya akan berkongsi video yang lebih panjang menerusi vlog atau in real life di YouTube bermula hari ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, pihaknya sememangnya kerap berkongsi kandungan berkaitan aktiviti serta gerak kerja Kementerian Ekonomi menerusi pelbagai platform media sosial.

Menurutnya, antara perkara yang sering diketengahkan termasuk usaha memperkenalkan gaji premium bagi meningkatkan taraf hidup golongan muda, pembangunan ekonomi di negeri-negeri utara serta pengukuhan ekonomi kreatif atau ekonomi jingga.

Ujarnya, pelbagai agenda pembangunan negara turut dikongsikan kepada orang ramai menerusi platform berkenaan.

Dalam pada itu, Akmal berkata beliau lebih gemar menjawab sendiri isu yang dibangkitkan berbanding menyerahkan perkara tersebut kepada pihak lain.

“Kalau menteri tidak boleh menjawab, seronoklah ahli-ahli politik lain mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan orang ramai.

“Tetapi mungkin masih ada yang tidak berpuas hati. Jadi saya mengajak orang ramai menonton vlog saya di saluran YouTube Akmal Nasir,” katanya.

Jelasnya, episod pertama vlog tersebut memaparkan lawatannya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, termasuk usaha menyelesaikan isu berkaitan permohonan peningkatan kos bagi kerja-kerja menaik taraf kemudahan hospital berkenaan.

Intipati
  • Akmal Nasrullah bakal berkongsi gerak kerja hariannya sebagai Menteri Ekonomi menerusi vlog YouTube.
  • Beliau berkata inisiatif itu menyusul persoalan segelintir penyokong Pas mengenai tugasnya sebagai menteri.
  • Episod pertama memaparkan lawatan ke Hospital Sultanah Aminah dan isu naik taraf kemudahan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan