Akui Malaysia Lebih Pakar, Indonesia Ajak Bangunkan Industri Semikonduktor
Kerajaan Indonesia dilapor menjemput Malaysia untuk berkolaborasi dalam membangunkan teknologi semikonduktor generasi baru di negara itu.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto, mengakui keunggulan dan kemajuan yang dicapai oleh Malaysia dalam sektor berkenaan.
Bagaimanapun, Airlangga berkata pasaran dalam teknologi semikonduktor generasi baru masih terbuka, sekaligus menawarkan peluang kerjasama melibatkan kedua-dua negara.
Indonesia ajak Malaysia berkolaborasi, bangunkan industri semikonduktor
“Malaysia memang lebih maju dalam industri semikonduktor. Tetapi dalam sektor teknologi semikonduktor generasi baru, pasaran masih lagi terbuka.
“Justeru, Indonesia berhasrat untuk mendapatkan bantuan daripada Malaysia untuk sama-sama terlibat dalam membangunkan industri ini,” katanya Sidang Kemuncak Ekonomi Indonesia (IEC).
Ujar Airlangga, kerjasama dengan Malaysia amat penting memandangkan negara itu sudah memiliki pengalaman yang luas dalam membangunkan ekosistem semikonduktor.
Dengan bantuan daripada kerajaan, beliau menegaskan bahawa Indonesia sebenarnya mempunyai potensi yang sangat besar dalam sektor berkenaan.
Malah, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto turut berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada usaha membangunkan industri semikonduktor sebagai sebahagian daripada Strategi Pengindustrian Negara.
Pembangunan dibahagikan kepada tiga fasa
Tambahnya, kerajaan sudah memulakan kerjasama dengan beberapa rakan kongsi menerusi tiga fasa pembangunan yang berjalan serentak, sekaligus menjimatkan masa penyelidikan.
Tiga fasa tersebut adalah pembangunan eksosistem syarikat pemula, transformasi industri dan penghasilan cip untuk memenuhi keperluan industri perkomputeran.
Dalam pada itu, Airlangga juga memberitahu bahawa pembangunan industri cip masa depan Indonesia turut memberi fokus kepada sektor automotif digital dan elektronik.
Menurutnya lagi, kerjasama di peringkat serantau adalah kunci utama untuk berdepan dengan persaingan sengit dalam industri cip di peringkat global.
Beliau juga berharap kerjasama yang dijalin dengan Malaysia akan menggalakkan aktiviti permindahan pengetahuan, mengukuhkan rantaian bekalan dan memberi nilai tambah kepada industri dalam negara.