Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Amaran Hujan Lebat Di 9 Negeri, 1 Wilayah Malam Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di sembilan negeri dan satu Wilayah Persekutuan sehingga jam 9 malam ini.
Menerusi satu kenyataan, MetMalaysia berkata hujan lebat akan melanda seluruh negeri Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Selain itu, amaran turut melibatkan negeri Kedah iaitu di Kota Setar, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.
Di Perak pula, ia membabitkan daerah Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah dan Kampar.
Bagi negeri Pahang, hanya daerah Bentong dan Temerloh dijangka terlibat.
Begitu juga di Selangor, hujan lebat hanya melanda kawasan Hulu Langat. Manakala, di Negeri Sembilan pula melibatkan kawasan Jelebu.
Di Johor, hujan lebat diramal melanda daerah Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
Beralih ke Sarawak, ia melibatkan Sarikei (Pakan, Julau dan Meradong), Sibu (Sibu), Bintulu (Tatau dan Sebauh), Miri (Subis dan Marudi) dan Limbang.
Manakala di Sabah pula, daerah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort dan Nabawan), Pantai Barat (Putatan) dan Tawau (Tawau, Kunak dan Semporna) dijangka terlibat.
"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.