Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ambil Masa Setahun Untuk Siap, Ini Kisah Di Sebalik Pembuatan Kiswah Kaabah

Kisah Di Sebalik Pembuatan Kiswah Kaabah
Kredit: SPA

Ambil Masa Setahun Untuk Siap, Ini Kisah Di Sebalik Pembuatan Kiswah Kaabah

'Kain' yang menyelubungi Kaabah bukan sekadar lambang kemegahan seni Islam, malah menjadi simbol penghormatan terhadap Baitullah yang sentiasa dipelihara.

Menariknya, Kiswah Kaabah kini ditukar setiap kali menjelang 1 Muharam, menandakan permulaan tahun baharu Hijrah bagi umat Islam.

Tradisi yang berlangsung saban tahun itu bukan sahaja mencerminkan kesinambungan warisan Islam yang berusia ratusan tahun, malah turut menjadi detik penuh bermakna yang dinantikan oleh jutaan umat Islam di seluruh dunia.

Namun, disebalik kemegahan peristiwa tersebut, tentu ada kisah menarik di sebaliknya.

Bagi yang belum tahu, kain kiswah ini mengambil masa yang cukup lama untuk dihasilkan. Malah, tenaga kerja yang diperlukan untuk menghasilkannya juga begitu ramai.

Hari ini, SK akan kongsikan kisah di sebalik pembuatan kiswah Kaabah ini.

Ditenun oleh 150 tukang mahir selama 11 bulan

Penggantian tahunan Kiswah Kaabah bukan sekadar tradisi simbolik, sebaliknya merupakan usaha berskala besar yang diselaraskan secara teliti, melibatkan kemahiran pertukangan, teknik moden serta warisan Islam yang telah berakar umbi sejak sekian lama.

Kiswah Kaabah dihasilkan oleh kira-kira 150 tukang mahir Arab Saudi yang mengambil masa hampir 11 bulan untuk menyiapkan penutup suci tersebut.

Karya ini terdiri daripada 47 kepingan sutera hitam mewah yang dipasang secara manual dengan tangan dan dihiasi dengan sulaman ayat-ayat suci al-Quran.

Sulaman itu menggunakan benang perak bersadur emas 24 karat, dengan 30 ayat al-Quran diukir dengan teliti pada beberapa panel berbeza. Kiswah yang siap mempunyai berat sekitar 1,410 kilogram, sekali gus mencerminkan saiz dan kehalusan pembuatannya.

Kredit: SPA

Sebelum disiapkan sepenuhnya, Kiswah Kaabah melalui tujuh peringkat utama iaitu penyahgaraman air, pencucian sutera, tenunan, percetakan, sulaman, pemasangan dan pemeriksaan akhir.

Selepas itu, ia dibawa ke Masjidil Haram menggunakan treler khas yang direka bagi memastikan keadaannya kekal terpelihara sebelum dipasang pada Kaabah.

Terhasil dari 7 lapisan

Walaupun Kiswah Kaabah kelihatan seperti satu kain hitam yang tunggal, sebenarnya ia terdiri daripada beberapa lapisan kain berbeza yang dipilih dengan teliti, masing-masing mempunyai fungsi struktur dan hiasan tersendiri.

Lapisan utama di bahagian luar diperbuat daripada sutera hitam, yang memberikan Kiswah rupa ikoniknya. Di bawahnya, terdapat sutera hitam bersulam yang dihiasi dengan corak Islam dan ayat-ayat suci al-Quran yang rumit.

Kredit: SPA

Di bahagian dalam, kapas berwarna “sugar-coloured” digunakan untuk memberikan kekuatan struktur dan sokongan, manakala kapas putih pula berfungsi sebagai pengukuhan tambahan.

Unsur hiasan dan fungsi lain pula menggunakan sutera merah dalam motif tertentu, sutera hijau di belakang tirai pintu Kaabah, serta sutera hijau bercorak untuk lapisan dalaman termasuk yang berkaitan dengan ruang-ruang suci.

Kesemua tujuh jenis kain ini bergabung untuk membentuk keseimbangan antara estetika, ketahanan dan ketepatan kejuruteraan, memastikan Kiswah Kaabah kekal indah serta kukuh sepanjang tahun.

Motif Islam: Samadiyat dan Qanadil

Kredit: SPA

Kiswah Kaabah bukan sekadar hasil seni tekstil yang luar biasa, malah merupakan kanvas kepada ekspresi seni Islam yang sarat dengan makna spiritual dan budaya. Antara motif yang paling menonjol ialah reka bentuk Samadiyat dan Qanadil.

Motif Samadiyat ialah corak geometri dan flora yang berulang, disulam menggunakan benang emas dan perak. Ia biasanya diletakkan pada bahagian empat penjuru Kaabah, dan turut memuatkan ayat-ayat daripada Surah Al-Ikhlas, sekali gus mengukuhkan mesej tauhid melalui seni hiasan yang halus dan mendalam.

Kredit: SPA

Sementara itu, motif Qanadil (lampu gantung) pula diletakkan di bawah jalur sulaman utama Kiswah. Ia mengandungi inskripsi ayat-ayat al-Quran dalam khat Arab yang indah, berfungsi sebagai titik tumpuan visual kepada jemaah yang melakukan tawaf, di samping menambah nilai simbolik dan estetika yang mendalam.

Setiap elemen ini direka dengan teliti melalui proses reka bentuk, cetakan, tenunan, serta sulaman manual dan mesin yang sangat halus.

Para tukang mahir kemudian memasang setiap komponen pada Kiswah dengan penuh ketepatan menggunakan benang bersadur emas dan perak di atas kain sutera hitam.

Sejarah Kiswah

Kredit: SPA

Pembuatan Kiswah Kaabah berakar umbi daripada pembangunan berterusan selama lebih satu abad di bawah kepimpinan Saudi.

Tradisi era moden Saudi bermula pada 1345 AH (Selepas Hijrah), apabila Raja Abdulaziz bin Abdulrahman Al Saud mengarahkan pengeluaran kain litup untuk Kaabah, yang dilapik dengan kain felt dan fabrik yang tahan lama.

Setahun kemudian, pada 1346 AH, bengkel khusus pertama untuk menghasilkan Kiswah telah ditubuhkan di Ajyad, Makkah.

Sejak itu, pemerintah Saudi yang berturut-turut telah mengawasi evolusi Kiswah

Kredit: SPA
  • Di bawah Raja Saud bin Abdulaziz (1375–1384 AH): Pengeluaran dan pemeliharaan diteruskan di bawah pengawasan negara.

  • Semasa pemerintahan Raja Faisal (1384–1395 AH): Kemudahan tersebut telah dipertingkatkan dan dimodenkan.

  • Di bawah Raja Khalid (1395–1402 AH): Keupayaan pengeluaran diperkukuhkan lagi.

  • Semasa pemerintahan Raja Fahd (1402–1426 AH): Kilang tersebut melalui peningkatan teknologi yang besar.

  • Di bawah Raja Abdullah (1426–1436 AH): Kompleks Raja Abdulaziz di Umm al-Joud menjadi hab pusat untuk pengeluaran.

  • Di bawah Raja Salman: Kemajuan lanjut dalam bahan, teknik, dan teknologi terus mempertingkatkan proses tersebut.

Hari ini, Kiswah dihasilkan di kemudahan bertaraf dunia yang menggabungkan pertukangan tradisional dengan ketepatan moden, memelihara warisan yang diwarisi turun-temurun.