Red Bull mengumumkan penyertaan Robin Räikkönen, anak kepada juara dunia Formula 1 2007, Kimi Räikkönen, ke dalam program pembangunan pelumba muda pasukan berkenaan.
Anak bekas juara dunia F1 sertai pasukan Red Bull
Robin yang baru berusia 11 tahun dan turut dikenali dengan nama panggilan ‘Ace’ itu akan mula bersama Red Bull secara rasmi pada 2027 bagi meneruskan perkembangan kariernya dalam sukan permotoran.
Red Bull sememangnya dikenali dengan program pembangunan pelumba muda yang melahirkan beberapa nama besar dalam Formula 1, termasuk Max Verstappen, Carlos Sainz dan satu-satunya pelumba rookie musim ini, Arvid Lindblad.
Sudah menyerlah dalam perlumbaan karting
Robin dilihat sebagai antara bakat muda paling menyerlah dalam generasinya selepas menunjukkan kemampuan menerusi beberapa kejuaraan karting.
Menerusi program berkenaan, bakat muda itu akan dibimbing secara berperingkat bagi mengembangkan potensinya sebelum melangkah ke peringkat perlumbaan yang lebih tinggi.
Kimi Räikkönen menyifatkan pemilihan anaknya itu sebagai satu perkembangan yang cukup membanggakan buat keluarga mereka.
“Kami semua sangat teruja dan gembira kerana Robin dipilih untuk meneruskan perjalanan perlumbaannya sebagai anggota Red Bull Junior Team.

“Laurent Mekies dan seluruh pasukan Red Bull sangat menyokong sepanjang perbincangan kami. Mereka menawarkan program yang menyeluruh untuk membangunkan dan membimbing Robin dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.
Menurut Kimi, program itu juga akan memberikan Robin pengalaman yang diperlukan untuk mengembangkan bakat semula jadinya, yang telah ditunjukkan menerusi penyertaannya dalam perlumbaan karting.
Kimi turut mengakui sejarah kejayaan Red Bull Junior Team menjadi antara faktor yang membuatkan penyertaan Robin dalam program itu begitu istimewa.
“Red Bull Junior Team telah mencatat kejayaan luar biasa selama bertahun-tahun. Antara bekas pelumbanya termasuk Sebastian Vettel dan Verstappen.
“Dengan penuh rendah hati, Robin menyertai program berprestij ini dan akan memberikan segala usaha untuk membalas kepercayaan yang diberikan Red Bull kepadanya,” katanya.
Red Bull mahu beri ruang untuk berkembang
Sementara itu, Prinsipal Pasukan Red Bull, Laurent Mekies, turut memuji kemampuan Robin dalam perlumbaan karting.
Menurutnya, kelajuan, kemahiran ketika berlumba dan bakat semula jadi yang dimiliki Robin menjadikannya antara pelumba muda paling berpotensi dalam kumpulan usianya.
“Robin sudah menunjukkan kemampuan luar biasa dalam karting. Kelajuan, kemahiran perlumbaan dan bakat semula jadinya telah meletakkannya sebagai antara pelumba muda paling menjanjikan dalam kumpulan usianya.
“Pada masa sama, dia turut mengagumkan kami dengan kematangan, ketenangan dan fokusnya ketika memandu,” katanya.
Mekies berkata, Red Bull tidak mahu meletakkan tekanan yang tidak perlu terhadap Robin memandangkan perjalanan dalam dunia permotoran masih panjang.
“Matlamat kami adalah untuk membangunkannya secara berperingkat tanpa meletakkan sebarang tekanan yang tidak diperlukan.
“Laluan dalam sukan permotoran adalah perjalanan yang panjang dan kami akan memberikan masa, sokongan serta sumber yang diperlukan untuk memaksimumkan potensinya,” katanya.
Mekies turut menegaskan bahawa Red Bull percaya bakat muda dapat berkembang dengan baik apabila mendapat sokongan, budaya dan persekitaran yang sesuai.
Dengan penyertaan dalam Red Bull Junior Team, Robin kini mempunyai peluang untuk mengikuti jejak langkah bapanya serta beberapa nama besar lain yang pernah melalui program pembangunan pelumba muda tersebut.

