Anak Hadapi Masalah Rabun? Pakar Dedah Tip Penjagaan Yang Betul
Umum mengetahui mata merupakan salah satu anggota badan yang perlu dijaga dengan baik. Ia digunakan untuk membantu melihat sesuatu perkara, memudahkan setiap tugasan dilakukan dan sebagainya.
Hal ini kerana, kerosakan pada bahagian mata mungkin menyebabkan penglihatan kita terhad dan terbatas.
Masalah seperti rabun sememangnya memerlukan penjagaan khas terutama bagi golongan kanak-kanak yang masih muda.
Jika tidak dijaga dengan baik pada usia muda, kebarangkalian untuk ia rabun dengan lebih teruk juga meningkat. Oleh yang demikian, ikuti perkongsian dari Hello Doktor di bawah ini.
Memahami maksud myopia
Apa maksud myopia (miopia)?
Miopia atau juga dikenali sebagai rabun jauh adalah keadaan di mana seseorang individu tidak dapat melihat objek yang jauh dengan jelas, tetapi tiada masalah untuk melihat jelas objek yang dekat.
Apa yang menyebabkan masalah rabun jauh ini berlaku adalah keadaan bola mata anda yang terlalu panjang atau mempunyai kornea yang melengkung dan terlalu mencuram.
Ia adalah masalah penglihatan yang sering berlaku pada kanak-kanak berusia sekitar 6 hingga 14 tahun.
Faktor risiko yang boleh menyebabkan miopia terjadi termasuklah:
Genetik: Sejarah keluarga yang pernah mengalami miopia
Etnik: Kumpulan etnik Asia Timur, terutamanya etnik Cina banyak mengalami kes miopia
Aktiviti jarak dekat yang berpanjangan: Kanak-kanak yang menggunakan komputer atau telefon pintar dalam tempoh masa yang lama lebih cenderung untuk mengalami miopia
Tidak melakukan aktiviti di luar rumah: Kajian menyatakan kanak-kanak yang tidak meluangkan masa di luar rumah boleh meningkatkan risiko rabun jauh
Intervensi untuk kawalan miopia dalam kalangan kanak-kanak
Pemakaian cermin mata adalah salah satu cara penjagaan mata yang paling popular untuk menangani masalah miopia dalam kalangan kanak-kanak selain penggunaan kanta lekap dan juga pembedahan lasik.
Cermin mata untuk rabun jauh boleh digunakan sepanjang masa atau hanya apabila diperlukan supaya anak anda dapat melihat objek yang jauh dengan lebih jelas.
Namun begitu, sebenarnya ada juga cara penjagaan mata kanak-kanak yang rabun dengan menggunakan kanta lekap untuk menggantikan fungsi cermin mata yang sedia ada.
Memakai kanta lekap dapat membantu anak anda untuk melihat dengan lebih jelas dan memperlahankan perkembangan rabun jauh mereka.
“Ujian klinikal MiSight® 1 day selama 7 tahun adalah kajian kanta lekap lembut yang paling lama dalam kalangan kanak-kanak dan telah membuktikan kemampuannya untuk memperlahankan perkembangan rabun jauh pada kanak-kanak secara signifikan,” jelas Penyelidik Utama dalam ujian klinikal MiSight® 1 day di Universiti Aston, Profesor Nicola Logan.
“Penglibatan kami dalam WCPOS V mencerminkan komitmen kami untuk menangani kes rabun jauh di Asia melalui intervensi awal dan rawatan berasaskan bukti,” kata Pengurus Besar Pengurusan Rabun Jauh Asia Pasifik di CooperVision, Shila Gupta.
Bagaimana pula cara penjagaan mata yang betul?
Menurut Perunding Oftalmologi Pediatrik & Jabatan Strabismus Dewasa Pusat Mata Nasional Singapura (SNEC), Dr. Ng Wei Yan, kanak-kanak yang mengalami masalah miopia kebiasaannya akan mengalami tanda-tanda seperti berikut:
Objek yang jauh kelihatan samar dan kabur
Kerap sakit kepala
Sering menggosok mata
Mengecilkan mata untuk melihat dengan lebih jelas
Menurutnya lagi, cara cara menjaga kesihatan mata dengan mengamalkan gaya hidup sihat juga penting untuk mengurangkan masalah kanak-kanak rabun jauh.
Berikut adalah cara penjagaan mata anak yang anda boleh cuba:
1. Banyakkan aktiviti luar rumah bersama anak
Galakkan kanak-kanak menghabiskan lebih banyak masa di luar rumah. Kajian menunjukkan bahawa cara penjagaan mata ini dapat membantu memperlahankan perkembangan rabun jauh.
2. Kurangkan masa penggunaan skrin si kecil

Hadkan masa penggunaan skrin seperti komputer, tablet dan telefon pintar anak anda. Pastikan mereka berehat setiap 20 minit selepas menggunakan gajet.
3. Mengekalkan jarak pandangan yang betul

Pastikan anak anda memegang buku, telefon atau tablet pada jarak yang selesa (lebih kurang 30-40 cm dari mata) untuk mengelakkan ketegangan mata.
4. Dapatkan pencahayaan yang baik
Pastikan anak anda mempunyai pencahayaan yang baik ketika membaca atau melakukan tugasan sekolah. Elakkan mereka daripada membaca dalam keadaan yang terlalu gelap atau terlalu terang.
5. Lakukan pemeriksaan mata kanak-kanak secara berkala

Bawa anak anda berjumpa dengan pakar mata secara berkala untuk pemeriksaan mata. Pemeriksaan mata ini penting untuk memantau perkembangan rabun jauh dan menyesuaikan rawatan yang diperlukan.
Kesimpulan
Mata yang sihat dan penglihatan yang jelas sangat penting untuk perkembangan pembelajaran anak anda. Jadi, bawalah anak anda untuk menjalani pemeriksaan mata kanak kanak secara berkala untuk memastikan masalah penglihatan serta penyakit mata dapat dikesan dan dirawat pada peringkat awal.

