Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pusat Perubatan Sunway Damansara Melakar Fasa Baharu Dalam Perkhidmatan Pakar & Penjagaan Pesakit Antarabangsa

Pusat Perubatan Sunway Damansara (SMCD), hospital tertiari keempat di bawah Sunway Healthcare Group (SHG), hari ini mencatat satu pencapaian penting menerusi Majlis Pelancaran Rasmi, susulan operasinya yang bermula pada Disember 2024.

Terletak di lokasi strategik di Kota Damansara, SMCD menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat di seluruh Lembah Klang, dengan memberi tumpuan khusus pada kawasan utara, barat laut dan barat.

Hospital ini ditubuhkan bagi menawarkan penjagaan kesihatan pakar berkualiti tinggi yang lebih mudah diakses oleh komuniti yang semakin berkembang, selain memenuhi keperluan pesakit tempatan, ekspatriat serta pelancong perubatan antarabangsa yang mendapatkan rawatan di Malaysia.

Menyempurnakan majlis tersebut, Menteri Besar Selangor YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari berkata bahawa penubuhan hospital swasta seperti SMCD menyokong pelan pembangunan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dalam usaha membangunkan sebuah negeri yang prihatin, berdaya huni, mampan dan berdaya tahan.

“Keperluan penjagaan kesihatan penduduk semakin kompleks. Populasi yang semakin menua, peningkatan kes penyakit tidak berjangkit serta permintaan yang semakin tinggi terhadap rawatan pakar memerlukan kita untuk terus meningkatkan kapasiti dan keupayaan sistem penjagaan kesihatan. Justeru, Kerajaan Negeri mengalu-alukan pelaburan yang mampu meningkatkan kapasiti penjagaan kesihatan serta memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti,” katanya.

Berucap pada majlis tersebut, Dato’ Lau Beng Long, Presiden Sunway Healthcare Group berkata, “Pusat Perubatan Sunway Damansara menghimpunkan rangkaian kepakaran dan subkepakaran yang komprehensif, disokong oleh teknologi perubatan diagnostik dan terapeutik canggih, termasuk penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta teknologi bantuan robotik. Seiring dengan perkembangan hospital ini, kami memberi tumpuan kepada usaha mengembangkan keupayaan tersebut serta mempertingkatkan pendekatan penjagaan multidisiplin, supaya pesakit dapat memperoleh akses kepada rawatan yang lebih kompleks dengan lebih dekat dengan kediaman mereka.

“Dalam fasa seterusnya, kami sedang menilai pembangunan SMCD, dengan kira-kira empat ekar tanah telah diperuntukkan bagi tujuan pengembangan pada masa hadapan. Perancangan tersebut merangkumi penubuhan Sunway Sanctuary, sebuah pusat khusus yang memberi tumpuan kepada kehidupan warga emas, serta sebuah Pusat Kanser dan Perubatan Nuklear.

“Pusat Kanser dan Perubatan Nuklear yang dicadangkan ini bertujuan menyediakan perkhidmatan diagnostik dan rawatan canggih, termasuk siklotron, tomografi pancaran positron-tomografi berkomputer (PET-CT), pemecut linear dan simulator tomografi berkomputer, selain Pusat Terapi Pancaran Proton yang bakal menjadi kemudahan pertama seumpamanya di Malaysia. Perancangan ini mencerminkan visi jangka panjang kami untuk membangunkan SMCD sebagai destinasi penjagaan kesihatan yang lebih komprehensif, sekali gus menyediakan akses kepada rawatan pakar dan berteknologi tinggi untuk rakyat Malaysia serta pesakit antarabangsa.”

Selain memperkukuh keupayaan klinikalnya, SMCD terus meningkatkan akses dan kemudahan untuk komuniti setempat. Laluan tanjakan baharu yang menghubungkan Persiaran Surian ke Jalan PJU 5/1 menyediakan akses yang lebih mudah ke SMCD dan Bandar Sunway Damansara. Sementara itu, jambatan penghubung ke Sunway Nexis menghubungkan pesakit, pengunjung dan komuniti sekitar dengan stesen MRT Surian, di samping kemudahan runcit, pilihan makanan dan minuman serta kemudahan gaya hidup yang berdekatan. Usaha ini selaras dengan komitmen berterusan hospital untuk mendekatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang canggih dengan komuniti setempat.

Seiring dengan pertumbuhan industri pelancongan perubatan Malaysia, SMCD turut berada pada kedudukan strategik untuk memenuhi keperluan pelancong perubatan berikutan lokasinya dalam sebuah kawasan perbandaran bersepadu. Kedudukan ini memberikan pesakit serta ahli keluarga yang menemani mereka, akses yang mudah kepada pelbagai kemudahan sokongan. Jaringan perhubungan yang baik turut memudahkan akses bagi pesakit antarabangsa, dengan Lapangan Terbang Subang terletak berdekatan hospital, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula boleh diakses secara terus melalui Lebuhraya Utara-Selatan.

Pusat Pesakit Antarabangsa hospital tersebut menyokong pesakit sepanjang perjalanan penjagaan kesihatan mereka, dengan bantuan jururawat dan penterjemah dalam urusan janji temu bersama pakar, penyelarasan rawatan, kemasukan ke hospital serta komunikasi. SMCD turut menyediakan perkhidmatan kepada komuniti ekspatriat yang menetap dan bekerja di Malaysia, dengan menawarkan akses terhadap rawatan pakar, perkhidmatan kesihatan pencegahan, pembedahan berteknologi tinggi, pemulihan serta rawatan multidisiplin di seluruh Lembah Klang.

Mengulas mengenai perkembangan hospital ini, Ketua Pegawai Eksekutif SMCD, Jasmine Lau Mooi Hun, berkata, “Dalam tempoh yang agak singkat, SMCD telah berkembang dengan pesat, bukan sahaja daripada segi skop perkhidmatan yang ditawarkan, malah daripada segi kepercayaan yang diberikan oleh pesakit, rakan kerjasama dan komuniti secara keseluruhannya.

“Perkembangan ini mencerminkan dedikasi warga kerja kami serta sokongan daripada rakan kerjasama dalam sektor penjagaan kesihatan dan pemegang taruh. Dalam fasa pertumbuhan seterusnya, kami kekal komited untuk memperkukuh keupayaan, meningkatkan pengalaman pesakit dan memperluas akses kepada penjagaan kesihatan pakar yang komprehensif untuk komuniti setempat.”

SMCD mencatatkan bulan pertama dengan EBITDA positif dalam tempoh sembilan bulan selepas memulakan operasi. Kejayaan ini mencerminkan prestasi operasi dan keupayaan klinikalnya yang kukuh, dengan SMCD mencapai tahap tersebut jauh lebih awal berbanding tempoh lazim dalam industri, iaitu antara tiga hingga lima tahun.

Berteraskan asas yang kukuh ini, SMCD akan terus memperluas rangkaian penjagaan kesihatannya. Perkhidmatan hospital ini akan dilengkapi dengan perkhidmatan rawatan pesakit luar di Pusat Pakar Sunway Damansara, yang terletak bertentangan dengan hospital, serta pembukaan Pusat Perubatan Tradisional Cina Sunway, yang dirancang pada suku pertama 2027.

Secara keseluruhannya, perkhidmatan ini akan membentuk ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih holistik dan bersepadu, di samping SMCD terus meningkatkan kualiti, kecekapan serta penyelarasan penjagaan bagi mencapai hasil kesihatan yang lebih baik.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Pusat Perubatan Sunway Damansara dan perkhidmatan yang ditawarkan, sila layari www.sunwaymedicaldamansara.com.my.

Intipati
  • SMCD dilancarkan rasmi selepas mula beroperasi pada Disember 2024 di Kota Damansara.
  • Hospital itu menumpukan perkhidmatan pakar kepada komuniti tempatan, ekspatriat dan pesakit antarabangsa.
  • Sunway Healthcare merancang pengembangan termasuk pusat warga emas, kanser dan perubatan nuklear.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan