Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) Allahyarham Prebet Siti Khadijah Sungip yang terkorban dalam insiden letupan bom tangan bulan lepas dinaikkan pangkat kepada Lans Koperal secara anumerta.
Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Azhan Md Othman telah menyerahkan Sijil Kelulusan Kenaikan Pangkat itu kepada ibu Allahyarham, Zaleha Said ketika mengadakan lawatan kebajikan ke kediaman keluarga berkenaan di Taman Sri Lambak, Kluang, Johor hari ini.
Menurut kenyataan Cawangan Komunikasi Strategik TDM malam ini, Azhan turut menyampaikan sumbangan peribadi serta bantuan daripada pelbagai pihak kepada bapa Allahyarham, Sungip Jais.
“Antara sumbangan yang diserahkan ialah daripada Yayasan Kolonel Yang Dipertua Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), kotak rezeki Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Insurans Kelompok Koperasi Tentera.
“Selain itu, ibu Allahyarham turut menerima pencen terbitan, pencen orang tanggungan dan Ex-Gratia orang tanggungan sebanyak RM1,682.60 setiap bulan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan, TDM akan sentiasa memastikan kebajikan warga dan keluarga pasukannya sentiasa terpelihara dengan menentukan waris menerima hak serta kelayakan mengikut peraturan perkhidmatan.
Dalam kejadian 16 Jun lepas, Siti Khadijah, 24, meninggal dunia akibat letupan ketika menjalani Latihan Membaling Grenad di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah.
Tragedi malang sewaktu sesi latihan tersebut turut meragut nyawa seorang lagi anggota iaitu Koperal Norazmi Abu Bakar.