Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Annuar Musa Luah Hasrat Mahu Kembali Dalam Arena Politik
KUALA LUMPUR — Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, menyatakan hasrat untuk kembali dalam arena politik tanah air semula.
Annuar berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini di akaun Facebook rasminya berhubung perkara tersebut selepas dipecat UMNO sejak dua bulan lalu.
Tambahnya, beliau telah menabur bakti dalam parti politik itu sejak tahun 1979 (43 tahun lalu).
“Sejak tahun 1979 (43 tahun lalu) saya menjadi ahli parti politik tertentu dan berkhidmat kepadanya. Sehinggalah saya dibuang dari parti tersebut Disember lalu.
“Kini sudah tiga bulan saya tidak berparti. Masa tersebut saya gunakan untuk bermuhasabah dan memerhatikan arus dan pola politik negara,” katanya.
Jelas Annuar, beliau komited dalam meneruskan perjuangannya dan memilih parti yang dianggap sesuai dengan jiwanya.
“Tiba masanya kini untuk saya memikirkan secara serius untuk kembali semula meneruskan perjuangan politik secara berparti.
“Dengan memilih parti yang sesuai dengan jiwa perjuangan saya dan parti yang benar-benar berjuang menegakkan syiar agama serta membela bangsa dan negara.
“Semoga ada parti yang sudi menerima saya untuk berkhidmat sebagai ahli biasa mereka. Kepada Allah saya berserah,” maklumnya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan bahawa tiga nama pemimpin telah dilucutkan keahliannya termasuk Tan Sri Annuar Musa selepas hasil mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, lapor Bernama.
Tambah Ahmad Maslan, selain Annuar Musa, dua nama lain adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran Datin Seri Fatimah Kassim dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau Datin Seri Shamsiah Yassin.
Pelucutan keahlian itu dibuat di bawah Fasal 10.6 Perlembagaan UMNO. Kesemua pemimpin itu didapati telah melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO berhubung tata etika ahli.
“Tiga orang telah dilucutkan keahlian – Datin Seri Fatimah Kassim, Datin Seri Shamsiah Yassin dan Tan Sri Annuar Musa berkuatkuasa serta merta. Surat (pelucutan keahlian) akan diserahkan,” katanya sewaktu Program Khatan Perdana Anjuran Masjid Kampung Jawa Ulu.
Sumber: Facebook Tan Sri Annuar Musa