Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Anwar Akan Bertemu Loke, Dengar Pandangan Tawaran Peletakan Jawatan

anwar
Kredit: Bernama

SHAH ALAM, 20 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertemu dengan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dalam masa terdekat, bagi mendengar pandangan beliau sebelum membuat keputusan berhubung tawaran peletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.

Anwar berkata beliau telah dimaklumkan sendiri oleh Loke mengenai perkara itu dan memahami keputusan berkenaan dibuat susulan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Dia dah maklum pada saya. Saya belum sempat bincang apa-apa lagi. Saya kena dengar pandangan dia, tetapi saya faham sebab dia ni orang yang ada prinsip dan dia memang daripada awal konsisten bantah peraturan yang boleh beri gambaran, seolah-olah kita ini lemah atau longgar terhadap amalan rasuah.

“Terutama bila kita ambil tindakan yang banyak yang lain, termasuk perasuah-perasuah kecil. Jadi lebih baiklah saya jumpa dia, dengar pandangan dia dan baru saya boleh bagi keputusan,” katanya kepada media selepas Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Selangor International Trade Centre (SITC), di sini hari ini.

Semalam, Loke menawarkan diri meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, susulan pendirian DAP berhubung isu pengampunan bersyarat terhadap Najib.

Beliau berkata surat peletakan jawatan itu akan dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam masa terdekat.

Ditanya bilakah pertemuan itu akan diadakan, Anwar berkata perkara itu mungkin berlangsung selepas beliau dan Loke masing-masing pulang daripada lawatan ke Shanghai, China.

“Dia baru mesyuarat semalam. Dia dah maklum pada saya, dia akan bawa surat dan bincang dengan saya. Saya kata tak apalah, bila ada ruang...pasal hari ini saya di sini, kemudian akan ke Melaka, jadi esok tak salah saya dia ke Shanghai dan saya ke Shanghai pada hari Selasa atas perbincangan dengan Premier Li Qiang,” kata beliau.

Ditanya sama ada perkembangan itu akan membawa kepada rombakan Kabinet dalam masa terdekat, Anwar berkata: “Satu-satulah.”

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Jumaat, memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara, Jumaat lepas.


Sumber:BERNAMA
Intipati
  • Anwar akan bertemu Anthony Loke sebelum memutuskan tawaran peletakan jawatan beliau.
  • Loke menawarkan diri meletakkan jawatan susulan pendirian DAP mengenai pengampunan bersyarat Najib.
  • Pertemuan itu mungkin berlangsung selepas Anwar dan Loke pulang daripada lawatan ke Shanghai.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan