Artemis II: Kenali Empat Angkasawan Sertai Misi NASA Keliling Bulan
NASA menyasarkan pelancaran empat angkasawan pada bulan ini menaiki roket setinggi bangunan 32 tingkat bagi misi selama 10 hari mengelilingi bahagian jauh bulan, lapor CBS News.
Misi Artemis II akan menjadi penerbangan berawak pertama NASA ke bulan sejak Apollo 17 sejak 53 tahun lalu, sekali gus menandakan langkah penting dalam usaha Amerika Syarikat kembali meneroka angkasa lepas.

Selain itu, NASA menyifatkan misi berkenaan sebagai batu loncatan kritikal ke arah matlamat jangka panjangnya, termasuk mendaratkan semula angkasawan di permukaan bulan.
Ia sekaligus mewujudkan kehadiran berterusan di sana serta menggunakan bulan sebagai pintu masuk kepada misi masa depan ke Marikh.
Empat angkasawan yang akan melakukan penerbangan solo mengelilingi bulan juga hadir menyaksikan detik bersejarah berkenaan.
Ini empat angkasawan sertai misi NASA
CBS News melaporkan Reid Wiseman dilantik sebagai komander misi. Kru beliau terdiri daripada juruterbang Victor Glover serta dua pakar misi, iaitu Jeremy Hansen dan Christina Koch.
Koch, Wiseman dan Glover masing-masing pernah merasai pengalaman angkasa lepas menerusi Stesen Angkasa Antarabangsa.
Manakala Hansen pula, seorang juruterbang pejuang berpengalaman dari rakan kongsi angkasa Kanada, belum pernah mengorbit sebelum ini.

Misi Artemis II bertujuan meletakkan asas bagi misi-misi Artemis masa depan yang akan membawa rakyat Amerika kembali ke bulan dan menubuhkan stesen angkasa lunar.
Empat angkasawan Artemis II akan mengelilingi bahagian jauh bulan menaiki kapsul Orion, pada ketinggian kira-kira 5,000 batu dari permukaannya sebelum kembali ke Bumi.
Difahamkan, misi ini juga berperanan menguji sama ada roket, sistem sokongan hayat dan kawalan kru berfungsi seperti yang direka.
Bagi kru, persiapan ini mengambil masa hampir tiga tahun. Mereka menjalani latihan di simulator serta mempelajari cara hidup dan bekerja di dalam kapsul Orion yang sempit.
Kredit: NASAArtemis I, yang dilancarkan pada 2022 tanpa kru, merupakan penerbangan ujian sistem penuh bagi membuktikan roket dan kapsul bersedia untuk manusia mengelilingi bulan dan kembali ke Bumi.
Misi itu mendarat dengan selamat di Lautan Pasifik.
Namun begitu, pemeriksaan mendapati perisai haba kapsul mengalami kerosakan semasa kemasukan semula, walaupun bahagian dalamnya tidak terjejas.
SLS telah dipindahkan ke pelantar pelancaran
Selepas beberapa kali mengalami kelewatan, Presiden Donald Trump sebelum ini menetapkan sasaran untuk membawa rakyat Amerika kembali ke bulan menjelang 2028.
China pula merancang pendaratan di bulan pada 2030, menjadikan Artemis II komponen penting dalam perlumbaan angkasa abad ke-21.
Kredit: NASAKira-kira dua minggu lalu, roket Sistem Pelancaran Angkasa (SLS) seberat 3.5 juta paun yang lengkap dengan kapsul kru Orion telah dipindahkan dari bangunan pemasangan ke pelantar pelancaran di Pusat Angkasa Kennedy, Florida.
Roket itu bergerak perlahan sejauh kira-kira empat batu menggunakan pengangkut era Apollo, dengan kelajuan maksimum kurang daripada satu batu sejam.