Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

AS Buka Dua Pangkalan Tentera Di Greenland

AS Buka Pangkalan Tentera Di Greenland
Kredit: AFP

Amerika Syarikat (AS), Denmark dan Greenland telah menandatangani perjanjian pertahanan baharu yang membolehkan Washington membina dua pangkalan tentera baharu di wilayah Artik itu.

Bagaimanapun, Greenland kekal berada di bawah kedaulatan Denmark, sekaligus meredakan ketegangan antara ketiga-tiga pihak itu yang berlarutan sejak lebih setahun lalu, lapor BBC.

AS Buka Dua Pangkalan Tentera Di Greenland

Presiden AS, Donald Trump berkata pembinaan pangkalan tentera baharu itu akan dimulakan dengan segera di beberapa lokasi yang dianggap sesuai.

Beliau berkata demikian sebelum majlis menandatangani perjanjian berkenaan yang berlangsung sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen pula menyifatkan perjanjian tersebut sebagai perkembangan yang baik untuk AS, Denmark dan Greenland, selain memberi manfaat kepada Eropah serta Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen turut menyambut baik perjanjian itu dan menyifatkannya sebagai situasi yang menguntungkan ketiga-tiga pihak.

Ketiga-tiga pemimpin itu kemudiannya menandatangani perjanjian tersebut dalam satu majlis yang dilihat menutup ketegangan berhubung Greenland.

Greenland menjadi tumpuan AS berikutan kedudukannya yang strategik dari sudut pertahanan serta kekayaan sumber mineral yang dimilikinya.

Kenyataan Trump sebelum ini bagaimanapun mengundang bantahan daripada penduduk Greenland, rakyat Denmark dan beberapa pemimpin Eropah.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka memberi amaran bahawa kenyataan tersebut boleh menjejaskan hubungan antara Eropah dan AS serta mencetuskan kemerosotan hubungan transatlantik yang lebih serius.

Perjanjian baharu itu merupakan pindaan dan kemas kini terhadap perjanjian pertahanan antara Denmark dan Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai pada 1951.

Menerusi perjanjian berkenaan, AS dibenarkan membuka dua kawasan pertahanan tambahan di Narsarsuaq dan Mestersvig, masing-masing terletak di bahagian selatan dan timur Greenland.

Narsarsuaq sebelum ini digunakan sebagai lapangan terbang awam dan pangkalan tentera ketika Perang Dunia Kedua.

Lokasi itu turut mempunyai akses ke perairan dalam serta landasan yang panjang, malah jurutera tentera AS dilaporkan baru-baru ini menjalankan tinjauan di kawasan berkenaan, menurut US Northern Command kepada BBC.

Berbeza dengan Narsarsuaq, Mestersvig merupakan kawasan terpencil yang kurang membangun dan kini digunakan oleh unit kereta luncur anjing tentera laut Denmark.

Bagaimanapun, butiran mengenai pembinaan dan operasi kedua-dua kawasan pertahanan itu masih belum dimuktamadkan.

Perjanjian tersebut menetapkan bahawa segala aspek teknikal dan kaedah pelaksanaannya perlu dipersetujui bersama oleh AS, Denmark dan Greenland.

Ini bermakna AS tidak boleh membuat keputusan berkaitan pengaturan keselamatan di Greenland secara bersendirian kerana kelulusan Denmark dan Greenland masih diperlukan.

Ketika ini, AS sudah mengendalikan Pangkalan Angkasa Pituffik di barat laut Greenland.

Perjanjian baharu itu turut membenarkan Washington memodenkan serta memperluaskan aktiviti ketenteraannya di pangkalan berkenaan.

Selain itu, mana-mana negara yang bukan anggota NATO tidak dibenarkan membina kemudahan ketenteraan berpenghuni atau tanpa penghuni di Greenland, termasuk mengekalkan kehadiran anggota tenteranya secara berterusan di wilayah tersebut.

Walaupun larangan terhadap kehadiran ketenteraan negara bukan anggota NATO kini dinyatakan dengan jelas dalam perjanjian itu, kemasukan tentera dari negara yang bukan sekutu ke Greenland sememangnya dianggap tidak mungkin berlaku sejak awal.

Bagaimanapun, tiada wilayah Greenland yang akan diserahkan kepada AS menerusi perjanjian itu sebaliknya ia mengiktiraf kedaulatan dan keutuhan wilayah Denmark, selain hak Greenland untuk menentukan masa depannya sendiri.

Sumber:BBC
Intipati
  • AS, Denmark dan Greenland menandatangani perjanjian pertahanan baharu sempena Perhimpunan Agung PBB.
  • Perjanjian itu membenarkan dua kawasan pertahanan tambahan di Narsarsuaq dan Mestersvig.
  • Greenland kekal bawah kedaulatan Denmark, manakala pelaksanaan memerlukan persetujuan ketiga-tiga pihak.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan