AS Dakwa Tembak Jatuh Dron Milik Iran
WASHINGTON -- Amerika Syarikat (AS) mendakwa menembak jatuh sebuah dron Iran yang menghampiri secara 'agresif' kapal pengangkut pesawatnya di Laut Arab pada hari Selasa, lapor AFP.
Menurut jurucakap tentera AS, Insiden itu berlaku ketika kapal pengangkut pesawat tersebut berada kira-kira 800 kilometer dari pantai Iran.
"Sebuah jet pejuang F-35C dari Abraham Lincoln menembak jatuh dron Iran itu bagi mempertahankan diri serta melindungi kapal pengangkut pesawat dan anggota di atas kapal," kata jurucakap Komando Pusat AS, Kapten Tim Hawkins, dalam satu kenyataan.
Tambah Hawkins, tembakan itu dilakukan selepas dron Shahed-139 terus terbang ke arah kapal walaupun langkah meredakan ketegangan telah diambil oleh pasukan AS.
Beliau turut mengesahkan satu lagi insiden berasingan yang berlaku lewat Selasa, di mana dua bot Iran dan sebuah dron menghampiri kapal berbendera AS, M/V Stena Imperative, pada kelajuan tinggi dan mengancam untuk menaiki serta merampas kapal tangki itu.
Susulan itu, sebuah kapal pemusnah AS, USS McFaul, bertindak balas dengan sokongan Tentera Udara AS dan mengiringi kapal tangki tersebut, yang kini sedang bergerak dengan selamat.
Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini telah mengancam tindakan ketenteraan terhadap Iran.
Beliau berkata telah menghantar armada kapal perang ke Timur Tengah susulan protes anti-kerajaan di Iran yang ditangani dengan tindakan keras berdarah bulan lalu.
Menurut Trump, beliau berharap Washington dapat mencapai persetujuan dengan Tehran, namun turut memberi amaran bahawa perkara buruk akan berlaku jika perjanjian tidak dicapai.
Sementara itu, Iran menegaskan ia mahukan diplomasi sambil berjanji akan memberi tindak balas tegas terhadap sebarang pencerobohan.