Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Asyik Kerabu Mangga Je, Ini Resipi Kerabu Santan Kerang & Ikan Bilis 'Wajib' Cuba

kerabu santan kerang
Kredit: @Che Sayang Kitchen via TikTok

Asyik Kerabu Mangga Je, Ini Resipi Kerabu Santan Kerang & Ikan Bilis 'Wajib' Cuba

Dalam kepelbagaian hidangan tradisional Malaysia, kerabu sememangnya terkenal sebagai pembuka selera kerana kombinasi rasa masam dan pedas.

Rasa masam yang menyegarkan itulah yang membuatkan selera terus terbuka, malah ada yang tidak sedar sudah menambah nasi berkali-kali.

Tidak hairanlah hidangan ini terus menjadi pilihan ramai dari dahulu hingga kini.

Hari ini, SK ingin kongsikan resipi kerabu santan kerang dan ikan bilis daripada @Che Sayang Kitchen di TikTok.

Bahan-bahan yang diperlukan

Menurut @Che Sayang Kitchen, antara bahan yang diperlukan ialah satu kotak santan dan ikan bilis yang telah digoreng disediakan untuk menambah rasa lemak dan rangup.

Kemudian, sediakan sedikit garam dan gula merah yang digunakan bagi menyeimbangkan rasa masin dan manis dalam hidangan.

Selain itu, taugeh dan kacang botol dimasukkan sebagai sayuran utama untuk memberikan tekstur yang segar dan rangup.

Kredit: @Che Sayang Kitchen via TikTok

Sediakan satu paket kerisik ditambah bagi menambahkan aroma serta rasa lemak yang lebih pekat.

Hirisan tomato pula digunakan untuk memberi rasa sedikit masam yang menyegarkan.

Akhir sekali, sediakan cili padi dan cili merah digunakan untuk menambahkan rasa pedas, manakala hirisan bawang merah dan serai dimasukkan bagi menaikkan aroma.

Cara-cara menyediakan kuah dan lauk

Untuk menyediakan kerabu santan, @Che Sayang Kitchen menjelaskan bahawa anda perlu memanaskan santan terlebih dahulu bersama sedikit garam sebelum mencampurkan gula dan kerisik.

Mula-mula, tuangkan santan ke dalam kuali dan masukkan sedikit garam. Panaskan seketika sambil dikacau perlahan, kemudian tutup api.

Selepas itu, masukkan sedikit gula merah dan kacau sehingga larut serta sebati lalu ketepikan santan tersebut seketika.

Kredit: @Che Sayang Kitchen via TikTok

Bagi kerang pula, anda boleh menggunakan kerang sejuk beku, namun penggunaan kerang segar akan memberikan rasa yang lebih enak. Rebus kerang sehingga masak dan ketepikan.

Seterusnya, goreng ikan bilis dalam minyak panas sehingga berwarna keemasan.

Tidak perlu menggoreng terlalu kering, memadai sehingga teksturnya rangup dan berwarna perang keemasan.

Cara-cara menyediakan kerabu santan

Seterusnya, @Che Sayang Kitchen dalam videonya menyediakan sebuah mangkuk besar lalu memasukkan taugeh dan hirisan kacang botol.

Kemudian, tambahkan hirisan cili padi, cili merah, tomato, bawang merah dan serai ke dalam mangkuk yang sama.

Masukkan satu paket kecil kerisik serta kerang yang telah direbus tadi.

Kredit: @Che Sayang Kitchen via TikTok

Selepas itu, tuangkan santan yang telah dimasak ke dalam campuran bahan tersebut dan gaul sehingga semuanya sebati.

Perahkan dua biji limau kasturi dan gaul sekali lagi agar rasanya lebih seimbang dan segar.

Akhir sekali, taburkan ikan bilis goreng di atas kerabu dan hias dengan telur rebus yang dibelah dua.