Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ramai menyangka tidur hanyalah waktu untuk merehatkan badan.
Hakikatnya, kualiti tidur memainkan peranan besar terhadap kesihatan fizikal, emosi dan prestasi harian.
Malangnya, tekanan kerja, penggunaan telefon sebelum tidur serta gaya hidup tidak sihat menyebabkan ramai sukar mendapatkan tidur yang benar-benar berkualiti.
Jika anda sering mengambil masa lama untuk melelapkan mata atau bangun dalam keadaan masih letih, mungkin sudah tiba masanya untuk mengubah beberapa tabiat harian.
Berikut ialah beberapa langkah mudah yang boleh diamalkan untuk membantu anda tidur dengan lebih lena setiap malam.
1. Tetapkan waktu tidur yang konsisten
Tubuh manusia mempunyai 'jam biologi' yang berfungsi mengawal waktu tidur dan bangun.
Justeru, cubalah tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari termasuk hujung minggu. Tabiat ini membantu badan menyesuaikan kitaran tidur secara semula jadi.
Secara umumnya, orang dewasa disarankan mendapatkan sekurang-kurangnya tujuh jam tidur setiap malam, manakala kebanyakan individu tidak memerlukan lebih daripada lapan jam.
2. Jangan tidur ketika terlalu lapar atau terlalu kenyang
Perut yang kosong boleh membuatkan anda sukar melelapkan mata, manakala makan terlalu banyak sebelum tidur pula boleh menyebabkan ketidakselesaan.
Sebaiknya, elakkan hidangan berat dalam tempoh dua hingga tiga jam sebelum tidur. Jika lapar, ambillah snek ringan yang lebih sihat.
3. Kurangkan kafein, nikotin dan alkohol pada waktu malam
Ramai menganggap secawan kopi pada waktu malam tidak memberi kesan, namun hakikatnya kafein boleh kekal dalam badan selama beberapa jam.
Akibatnya, otak menjadi lebih sukar untuk berehat dan proses tidur terganggu.
Begitu juga dengan nikotin yang bersifat merangsang, manakala alkohol walaupun boleh menyebabkan rasa mengantuk pada awalnya, sebenarnya boleh mengganggu kualiti tidur pada lewat malam.
4. Jadikan bilik tidur lebih selesa
Persekitaran memainkan peranan penting dalam membantu seseorang tidur dengan lena.
Pastikan bilik berada pada suhu yang nyaman, gelap dan senyap. Jika cahaya dari luar mengganggu, gunakan langsir gelap atau penutup mata.
Selain itu, elakkan penggunaan telefon pintar, tablet atau komputer sekurang-kurangnya sejam sebelum tidur kerana cahaya biru daripada skrin boleh mengurangkan penghasilan hormon melatonin yang membantu proses tidur.
5. Wujudkan rutin yang menenangkan sebelum tidur
Daripada terus memegang telefon sehingga terlelap, cuba lakukan aktiviti yang lebih menenangkan.
Antaranya ialah membaca buku, mendengar muzik yang lembut, mandi air suam, melakukan regangan ringan atau latihan pernafasan.
Aktiviti sebegini membantu otak memahami bahawa sudah tiba masanya untuk berehat.
6. Bersenam secara konsisten, tetapi bukan sebelum tidur
Aktiviti fizikal membantu meningkatkan kualiti tidur serta menjadikan badan lebih cergas pada siang hari.
Namun, elakkan melakukan senaman berat terlalu hampir dengan waktu tidur kerana ia boleh meningkatkan degupan jantung dan membuatkan anda lebih sukar untuk lena.
Jika boleh, lakukan senaman pada waktu pagi atau petang.
7. Jangan bawa tekanan ke atas katil
Ramai yang berbaring sambil memikirkan tugasan kerja, bil atau pelbagai masalah lain.
Tekanan dan kebimbangan boleh mengaktifkan hormon stres yang menyukarkan otak untuk berehat.
Jika terlalu banyak perkara bermain di fikiran, cuba tuliskan senarai tugasan untuk hari esok atau lakukan teknik pernafasan dan meditasi ringkas bagi membantu menenangkan diri.
8. Hadkan tidur siang
Tidur seketika pada waktu tengah hari memang menyegarkan badan.
Namun, jika tidur terlalu lama atau terlalu lewat pada waktu petang, ia boleh menyebabkan anda sukar tidur pada waktu malam.
Sebaiknya, hadkan tidur siang kepada sekitar 20 hingga 60 minit sahaja.
Bila perlu berjumpa doktor?
Sesekali mengalami masalah tidur adalah perkara biasa.
Namun, jika anda kerap mengalami insomnia, sering terjaga pada waktu malam atau masih berasa letih walaupun sudah tidur mencukupi, sebaiknya dapatkan pemeriksaan daripada doktor.
Gangguan tidur yang berpanjangan mungkin berpunca daripada masalah kesihatan tertentu dan memerlukan rawatan yang sesuai.
Tidur berkualiti bukan kemewahan, tetapi keperluan
Tidur yang mencukupi bukan sekadar membuatkan badan berasa segar keesokan harinya.
Ia turut membantu meningkatkan daya ingatan, menguatkan sistem imun, mengurangkan risiko penyakit kronik seperti diabetes dan penyakit jantung, selain menjaga kesihatan mental.
Kadangkala, perubahan kecil seperti mengurangkan masa bermain telefon sebelum tidur atau menetapkan waktu tidur yang konsisten sudah cukup untuk memberikan perbezaan besar terhadap kualiti rehat anda.
Jadi, jika anda mahu bangun dengan badan lebih bertenaga dan minda lebih segar setiap pagi, mungkin sudah tiba masanya untuk mula memberi keutamaan kepada tidur yang berkualiti.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan