Australia akan melarang pelajar antarabangsa membawa ahli keluarga untuk tinggal bersama mereka di negara itu menerusi rombakan sistem imigresen yang akan diumumkan Menteri Dalam Negeri Tony Burke, lapor Australian Broadcasting Corporation (ABC).
Larang bawa ahli keluarga
Dalam ucapan bertajuk “The work of managing the migration program: who arrives, who stays, who leaves”, Burke akan menggariskan beberapa perubahan bagi memastikan kerajaan mencapai sasaran mengurangkan migrasi bersih luar negara (NOM) daripada 300,000 kepada 225,000 orang menjelang 2028.
Burke sebelum ini merancang untuk mengumumkan dasar berkenaan enam minggu lalu, namun terpaksa menangguhkan ucapan di National Press Club (NPC) berikutan perselisihan antara menteri yang sedang menimbang pelbagai keutamaan.
ABC difahamkan pelan yang disemak semula itu telah mendapat sokongan Jawatankuasa Kajian Perbelanjaan Kabinet minggu ini menjelang ucapan Burke pada Khamis.
Kerajaan merancang mengurangkan NOM dengan mengehadkan jumlah visa sementara yang kini meningkat kepada tiga juta, memastikan pendatang meninggalkan Australia selepas visa mereka tamat bagi mengelakkan apa yang disebut sebagai “visa hopping”, selain mengehadkan keupayaan mereka membuat tuntutan perlindungan.
Walaupun jumlah pelajar antarabangsa dijangka tidak dikurangkan, mereka bagaimanapun secara efektif akan kehilangan peluang membawa keluarga ke Australia di bawah langkah berkenaan.
Sebanyak 337,427 visa pelajar diluluskan pada tahun kewangan lalu, dengan 45,991 daripadanya merupakan pemohon kedua yang dikategorikan sebagai tanggungan atau ahli keluarga.
Pelan kerajaan Parti Buruh itu mempunyai persamaan dengan dasar imigresen parti One Nation yang diumumkan minggu ini, termasuk langkah memperketat visa keluarga bagi pelajar dan pekerja mahir.
Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada kerajaan turut akan menyasarkan keluarga pekerja mahir.
Burke baru-baru ini menggunakan kuasanya untuk memperlahankan dengan ketara pemprosesan visa pekerja mahir dan visa keluarga yang dikemukakan oleh pemohon dari luar Australia.
Menjelang pengumuman pada Khamis, Burke memberitahu sesi Question Time bahawa beliau mahu melaksanakan rombakan sistem imigresen itu melalui pindaan undang-undang, namun akan menggunakan kaedah lain sekiranya tidak mendapat sokongan Parlimen.
“Semakin banyak pilihan yang tersedia, semakin baik kita dapat menyasarkan sistem ini,” katanya.
Beliau berkata pilihan terbaik adalah melalui perundangan sekiranya kerajaan berjaya mencapai persetujuan, namun masih terdapat langkah lain yang boleh digunakan sekiranya usaha itu tidak berhasil.
Kerajaan pertimbang ubah syarat visa bridging
Kerajaan turut mempertimbangkan perubahan terhadap visa bridging bagi menangani peningkatan jumlah pemegang visa berkenaan, termasuk kemungkinan menarik balik hak bekerja bagi pendatang sementara yang tuntutan perlindungannya telah ditolak oleh Jabatan Dalam Negeri.
Secara purata, sebanyak 1,580 tuntutan perlindungan dikemukakan di Australia setiap bulan, kebanyakannya oleh individu dari China, India dan Malaysia yang memasuki negara itu menggunakan visa pelajar atau visa pelawat.
Kira-kira 90 peratus tuntutan berkenaan ditolak. Bagaimanapun, pemohon mempunyai hak untuk merayu keputusan itu melalui Administrative Review Tribunal (ART) dan Mahkamah Persekutuan.
Proses rayuan berkenaan boleh mengambil masa sehingga lapan tahun dalam sesetengah kes.
Dalam tempoh itu, pemohon diberikan visa bridging yang membolehkan mereka terus tinggal dalam komuniti serta bekerja.
Keadaan tersebut menimbulkan kebimbangan kerajaan bahawa sebahagian pemohon mungkin sengaja memanipulasi sistem untuk kekal di Australia.
Kerajaan Parti Buruh sebelum ini turut mempertimbangkan perubahan terhadap layanan khas bagi pelancong backpacker dari Britain bagi menjadikan skim berkenaan kurang menarik.
Bagaimanapun, Perdana Menteri campur tangan dan menolak sebarang langkah yang boleh melanggar Perjanjian Perdagangan Bebas antara kedua-dua negara.
Dalam usaha mengurangkan kemasukan dari luar negara, Burke telah melaksanakan beberapa perubahan besar terhadap sistem imigresen, termasuk menangguhkan atau memperlahankan pemprosesan visa Working Holiday Maker pada Julai serta menyusun semula keutamaan pemprosesan visa pekerja mahir.
Perubahan di bawah Ministerial Direction 119 itu menyebabkan pekerja yang memohon visa mahir dari luar negara kini berada di penghujung senarai pemprosesan, sekali gus menyebabkan tempoh menunggu visa meningkat daripada beberapa hari kepada lebih setahun dalam sesetengah kes.

