Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pertemuan antara Austria dan Algeria di aksi terakhir Kumpulan J Piala Dunia 2026 mencetuskan pelbagai spekulasi apabila kedua-dua pasukan seri 3-3 sekali gus mara ke pusingan kalah mati.
Menurut laporan BBC, keputusan itu menghidupkan semula memori insiden kontroversi ‘Disgrace of Gijon’ pada Piala Dunia 1982 yang menyaksikan Austria dan Jerman Barat didakwa sengaja mengatur keputusan untuk melayakkan kedua-dua pasukan.
Dalam aksi di Kansas City awal pagi, kedua-dua pasukan hanya memerlukan keputusan seri untuk layak ke pusingan seterusnya, sekali gus menyingkirkan Iran.
Austria membuka jaringan menerusi Marko Arnautović pada minit ke-28 sebelum Algeria menyamakan kedudukan menerusi Rafik Belghali pada penghujung babak pertama.
Austria kembali di depan hasil jaringan Marcel Sabitzer pada minit ke-55, namun kapten Algeria, Riyad Mahrez sekali lagi menyamakan kedudukan lima minit kemudian.
Mahrez kemudian meledak gol kedua peribadi pada masa kecederaan untuk meletakkan Algeria di depan 3-2, keputusan yang ketika itu akan menyingkirkan Austria.
Bagaimanapun, drama tercipta pada minit ke-96 apabila Sasa Kalajdzic menjaringkan gol penyamaan untuk memastikan kedua-dua pasukan mara.
Keputusan itu bagaimanapun mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong Iran yang mendakwa aksi tersebut mencurigakan dan mendesak FIFA menjalankan siasatan.
Namun, jurulatih Austria, Ralf Rangnick menolak dakwaan bahawa keputusan itu dirancang.
“Dalam perlawanan yang berakhir 3-3 seperti ini, tiada siapa boleh anggap ia satu persetujuan, terutama selepas apa yang berlaku dalam 90 saat terakhir.
“Kalau tiga minit sebelum tamat ada orang cakap ini akan berlaku, saya rasa semua orang akan kata dia gila,” katanya seperti dilaporkan BBC.
Pengendali Algeria, Vladimir Petković turut menafikan sebarang konspirasi dan menyifatkan keputusan itu sebagai bukti bahawa “bola sepak menang”.
Austria kini dijadual bertemu Spain di pusingan 32 terbaik, manakala Algeria akan berdepan Switzerland.