Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Avatar AI China Raih Jualan Lebih RM30 Juta Dalam 7 Jam

Azizah Najib
Kredit: CNBC

Avatar AI China Raih Jualan Lebih RM30 Juta Dalam 7 Jam

BEIJING, 23 Jun – Avatar kecerdasan buatan (AI) di China kini membuktikan keupayaan luar biasa sebagai pempengaruh digital apabila berjaya menjana jualan lebih tinggi daripada manusia sebenar.

Dalam satu sesi penstriman langsung selama lebih tujuh jam di platform Youxuan milik Baidu, dua avatar digital berjaya meraih jualan mencecah 55 juta yuan (kira-kira RM32.9 juta). Avatar tersebut mewakili Luo Yonghao, antara penstrim popular di China, dan rakan hosnya, Xiao Mu.

Menurut Baidu, sesi ini jauh lebih berjaya berbanding cubaan pertama Luo sebulan lalu yang berlangsung selama empat jam dan merekodkan jumlah tempahan lebih rendah.

Kejayaan ini juga merupakan kali pertama Luo menggunakan teknologi manusia digital untuk menjual produk secara penstriman langsung.

“Kesan manusia digital ini betul-betul menakutkan saya. Saya agak terpinga-pinga,” katanya menerusi akaun Weibo.

Avatar AI tersebut dibangunkan menggunakan model AI generatif Baidu yang mempelajari gaya percakapan, jenaka dan gerak tubuh mereka daripada lima tahun kandungan video.

Wu Jialu, ketua penyelidikan di Be Friends Holding iaitu syarikat lain milik Luo, menjelaskan bahawa ini merupakan detik penting bagi industri penstriman dan avatar digital di China.

“Ini adalah detik DeepSeek untuk keseluruhan industri manusia digital dan penstriman langsung di China,” ujarnya.

DeepSeek merupakan pesaing kepada OpenAI dan menggemparkan pelabur global pada Januari lalu dengan mendakwa mampu menandingi ChatGPT pada kos lebih rendah dan pendekatan sumber terbuka.

Wu berkata, penggunaan avatar digital mampu menjimatkan kos operasi kerana tidak memerlukan studio fizikal atau pasukan produksi besar. Malah, avatar digital boleh bersiaran tanpa henti tanpa perlu berehat.

“Kami sebelum ini agak skeptikal terhadap penstriman manusia digital,” tambahnya.

Namun kini, Baidu dilihat menawarkan produk manusia digital terbaik di pasaran, berbeza dengan lima atau enam tahun lalu ketika industri ini masih di peringkat awal.

Wu turut menegaskan cabaran terbesar bukan lagi dari aspek teknologi, sebaliknya pematuhan peraturan dan keperluan platform. Avatar digital perlu dilatih supaya mematuhi peraturan pengiklanan, selain setiap platform mungkin mempunyai garis panduan berbeza.

Sebagai contoh, Douyin kini mengenakan sekatan terhadap penggunaan teknologi ini, terutama jika avatar tidak berinteraksi secara aktif dengan penonton.

Walaupun penampilan digital Luo yang seterusnya belum diumumkan, Wu menjangka ia akan diadakan tidak lama lagi. Malah, beliau percaya avatar digital mampu melakukan penstriman dalam pelbagai bahasa untuk menembusi pasaran global.

Sumber: CNBC

BACA: Mat Saleh Bantu Lelaki Terkandas Tepi Jalan, Tunda Motor Ke Tempat Selamat

BACA: Benarkan Penumpang Kemudi Bot, Pengusaha Bot Akan Dikenakan Tindakan – Maritim Malaysia