Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Awal Pagi Dah Mengantuk, Rupanya Anda Salah Pilih Menu Sahur
Baru jam 9 pagi, namun mata sudah terasa berat dan badan mula hilang fokus di hadapan skrin komputer.
Sedangkan beberapa jam sebelum itu, anda sudah bangun untuk bersahur seperti biasa.
Kebiasaannya, waktu tidur yang singkat akan menjadi alasan utama.
Sebelum menyalahkan tempoh rehat malam semata-mata, ada baiknya anda menilai semula apa yang diambil ketika sahur.
Jika hidangan sahur anda ialah nasi putih dalam kuantiti banyak bersama lauk yang manis atau berkuah pekat, kemudian ditambah pula minuman manis berais, tidak mustahil rasa mengantuk itu sebenarnya berpunca daripada pilihan makanan sendiri.
Tanpa sedar, tubuh memberi reaksi terhadap lonjakan dan penurunan gula dalam darah yang membuatkan anda berasa lesu dan mengantuk lebih awal daripada sepatutnya.
Justeru, hari ini SK ingin kongsikan mengapa makanan tersebut membuat anda mengantuk pada awal pagi, menurut Public Health Malaysia.
Nasi putih yang banyak dan minuman manis adalah karbohidrat ringkas berskala Indeks Glisemik (GI) tinggi. Sebaik sahaja ia masuk ke perut, ia ditukar menjadi gula dengan sangat pantas.
Paras gula dalam darah anda akan mencanak naik secara mengejut (sugar spike). Pankreas akan merembeskan insulin yang banyak untuk menyerap gula ini.
Akibatnya, beberapa jam kemudian paras gula anda akan menjunam teruk secara mendadak (sugar crash). Masa paras gula jatuh inilah, otak anda kehilangan tenaga dan mata menjadi layu.

Lebihan karbohidrat ringkas ini juga akan memudahkan sejenis asid amino bernama Tryptophan masuk ke dalam otak anda dengan lebih cepat.
Di dalam otak, asid amino ini akan ditukar menjadi Serotonin dan kemudiannya Melatonin, iaitu hormon yang mengawal rasa mengantuk.
Anda sendiri yang memaksa otak menghasilkan ubat tidur pada awal pagi.

Jika anda bersahur dengan kopi manis atau teh pekat, anda sedang memasukkan agen diuretik ke dalam badan. Ia akan memaksa ginjal membuang air melalui kencing dengan lebih kerap.
Apabila badan kurang air pada awal pagi, aliran darah ke otak menjadi perlahan.
Otak yang kekurangan oksigen akan membuatkan anda berasa lesu dan menguap tanpa henti.

Tukar strategi hidangan anda. Kurangkan saiz karbohidrat ringkas (nasi putih). Lebihkan protein seperti telur rebus, dada ayam panggang, atau ikan.
Tambahkan serat dari sayur-sayuran dan gunakan karbohidrat kompleks seperti oat atau roti bijirin penuh (wholemeal).
Protein dan serat lambat dicerna, jadi ia akan melepaskan tenaga secara perlahan-lahan ke dalam darah anda dari pagi hingga ke petang.
Air? Wajib air kosong sahaja. Tinggalkan kordial dan air manis.
