Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Penduduk di sebahagian wilayah di China kini menghadapi bencana ribut, taufan, banjir dan tanah runtuh yang menyaksikan ribuan terpaksa dipindahkan dan 15 orang dilaporkan maut.
Namun sudah jatuh ditimpa tangga, mereka juga terpaksa berhadapan dengan ancaman lain iaitu ular berbisa.
Global Times melaporkan bahawa kira-kira 900 ekor ular termasuk ular tedung berbisa telah terlepas dari sebuah ladang di kampung di Hengzhou, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, selatan China.
Insiden itu berlaku selepas ladang terbabit rosak akibat banjir yang melanda wilayah berkenaan.
Menurut laporan media tempatan, beberapa penduduk turut dilaporkan dipatuk ular.
Sementara itu, kerajaan bandar tempatan memaklumkan kepada media bahawa anggota penyelamat telah digerakkan bagi menangani situasi tersebut.
Akibat kesan Taufan Maysak, Guangxi mengalami hujan lebat berterusan, dengan beberapa takungan air di Hengzhou, Nanning berdepan situasi kecemasan.
Terdahulu, beberapa pengguna media sosial memuat naik tangkap layar dan klip video yang mendakwa sebuah ladang ular di Kampung Dengwei, bandar Hengzhou, musnah akibat banjir, menyebabkan sejumlah besar ular terlepas.
Perkongsian itu turut memberi amaran kepada penduduk berhampiran supaya mengambil langkah berjaga-jaga.
Pengguna media sosial lain pula mendakwa beberapa penduduk kampung yang terperangkap telah dipatuk ular dan berdepan kekurangan bekalan perubatan serta rawatan, menurut CCTV.
“Kejadian itu berlaku pada pagi 6 Julai. Berdasarkan anggaran awal kami, kira-kira 800 hingga 900 ekor ular terlepas selepas ladang itu dihanyutkan air banjir.
"Setakat ini, seorang penduduk kampung telah dipatuk ular dan sedang menerima rawatan kecemasan di hospital,” kata ketua jawatankuasa Kampung Dengwei di pekan Yunbiao, Hengzhou, Wu Zhi, kepada Red Star News pada Selasa.
Wu berkata, bukan semua ular yang terlepas itu berbisa, sambil menambah sebahagian besar daripadanya merupakan ular air yang tidak berbisa.
Seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Shen dari pekan Yunbiao memberitahu CCTV bahawa ladang ular terletak di kawasan rendah dan juga di lereng bukit di seluruh pekan tersebut.
Susulan limpahan di Takungan Liulan dan Takungan Yunbiao, kawasan rendah ditenggelami air, menyebabkan ular dari beberapa ladang kecil terlepas ke kawasan sekitar.
Shen berkata, beberapa penduduk kampung yang terperangkap memang dipatuk ular, namun mereka tidak mendapatkan rawatan segera kerana masih terkandas.
Dalam pada itu, seorang penternak ular tempatan dikenali sebagai Lei pula memberitahu bahawa ladang ularnya terletak di kawasan lebih tinggi dan setakat ini tidak terjejas akibat banjir.
Ladang-ladang tempatan kebanyakannya menternak tiga jenis ular iaitu ular tedung, ular tikus raja dan ular air, dengan ular tedung merupakan spesies berbisa.
Lei menganggarkan ular dari ladang-ladang kecil yang berselerak di kawasan rendah mungkin terlepas dalam jumlah besar, namun menambah bahawa kebanyakan ular ternakan di kawasan itu hidup di hutan pergunungan dan berkemungkinan mati selepas terendam dalam air untuk tempoh yang lama.
Seorang kakitangan Biro Pengurusan Kecemasan Hengzhou memberitahu Global Times pada petang Selasa bahawa pihaknya maklum berhubung laporan sebuah ladang ular musnah dan penduduk kampung dipatuk ular, serta telah memaklumkan perkara itu kepada petugas barisan hadapan.
Anggota penyelamat telah dikerahkan untuk menangani situasi tersebut, namun belum ada perkembangan lanjut diterima.