Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sebuah bas yang membawa rombongan jemaah haji dari Probolinggo, Indonesia mengalami kemalangan di Jabal Magnet, Madinah, pada Selasa.
Menurut laporan Detik Jatim, kesemua jemaah disahkan selamat walaupun bahagian hadapan bas dilaporkan remuk akibat kemalangan tersebut.
Ketua Petugas Penyelenggara Ibadah Haji (PPIH) Surabaya, As'adul Anam, menjelaskan kronologi kejadian tersebut.
Ujarnya, insiden berlaku ketika rombongan sedang mengikuti aktiviti ziarah ke Jabal Magnet dan percetakan Al-Quran yang dianjurkan oleh salah satu Kelompok Bimbingan Ibadah Haji (KBIH) Probolinggo.

“Jadi mereka dari KBIH mengadakan aktiviti ziarah, kemudian terdapat sebuah kenderaan yang tiba-tiba keluar dari sisi jalan, menyebabkan bas tidak dapat mengawal kenderaan lalu berlakunya pelanggaran itu,” kata Anam.
Walaupun tiada korban jiwa, lima jemaah dilaporkan mengalami kecederaan ringan. Dua daripada mereka sempat dibawa ke hospital di Arab Saudi untuk mendapatkan rawatan perubatan.
“Terdapat dua yang dibawa ke hospital di Arab Saudi dan keadaan mereka juga sudah baik," katanya lagi.
Menurut Anam, keadaan para jemaah kini beransur pulih. Pihak penganjur juga terus memantau keadaan dua jemaah yang masih menjalani prosedur pentadbiran serta pemerhatian perubatan.

PPIH Surabaya turut menggesa semua jemaah dan penganjur aktiviti supaya meningkatkan kewaspadaan, terutama ketika mengikuti aktiviti di luar rangkaian ibadah utama di Tanah Suci.
“Kami menggesa agar semua pihak lebih berhati-hati, khususnya dalam aktiviti di luar rangkaian ibadah utama, serta sentiasa memberi perhatian kepada aspek keselamatan dan mematuhi arahan petugas,” katanya.