Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Beasley Nyatakan Hasrat Berundur, Kekal Untuk Temasya Besar Tahun Ini - Mohammed Taufiq

beasley
Kredit: Bernama

Beasley Nyatakan Hasrat Berundur, Kekal Untuk Temasya Besar Tahun Ini - Mohammed Taufiq

PUTRAJAYA, 25 Jun (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari hari ini mengesahkan Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara John Beasley telah menyatakan hasrat untuk berundur secara terhormat.

Bagaimanapun, Mohammed Taufiq berkata Beasley pada masa sama bersetuju untuk terus kekal menerajui program elit negara hingga penghujung tahun ini bagi memastikan persiapan atlet menghadapi beberapa temasya utama tidak terjejas walaupun kontrak asalnya tamat pada 31 Jan tahun hadapan.

Beliau berkata jurulatih berpengalaman itu turut memberi bayangan sedia mempertimbangkan semula keputusannya sekiranya projek Akademi Azizulhasni dapat direalisasikan.

"Memang Beasley menyatakan hasrat untuk berundur secara terhormat tetapi kita memohon supaya beliau kekal sehingga selesai temasya besar dan penting pada tahun ini.

"Kita ada Sukan Komanwel, Sukan Asia dan beberapa kejohanan lain yang beliau telah kendalikan program itu selama ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 di Menara KBS, di sini.

Mengulas mengenai pelan peralihan, Mohammed Taufiq menjelaskan Beasley komited untuk membantu memastikan momentum kejayaan sukan berbasikal negara berterusan melalui penyediaan satu rangka tindakan.

"Beberapa persetujuan telah dicapai termasuk beliau akan menyediakan satu rangka tindakan pembangunan berbasikal. Beasley juga akan mencadangkan beberapa nama jurulatih pilihan yang pada pandangan beliau mampu menyambung legasi yang telah dibina," katanya.

Mohammed Taufiq berkata hasil perbincangan bersama Beasley menerusi wakil Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) menunjukkan semua pihak komited terhadap pembangunan atlet sebagai keutamaan.

Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya sentiasa terbuka menerima pandangan pelbagai pihak berhubung isu melibatkan persatuan sukan namun setiap keputusan harus dibuat secara telus mengikut prinsip tadbir urus yang baik.

Media sebelum ini melaporkan Beasley dijangka melepaskan jawatan lebih awal, iaitu pada penghujung tahun ini walaupun kontraknya hanya berakhir pada 31 Jan tahun depan susulan kekecewaan yang semakin memuncak terhadap beberapa isu dalaman sukan berbasikal negara.