Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bekas Pegawai Cawangan Khas, Blossom Wong Meninggal Dunia

Blossom Wong Meninggal
Kredit: Asia News Network

Bekas Pegawai Cawangan Khas, Blossom Wong Meninggal Dunia

Bekas pegawai Cawangan Khas, Wong Kooi Fong, yang juga dikenali sebagai Blossom Wong atau the spy in a cheongsam, meninggal dunia pada usia 87 tahun.

Menurut The Straits Times, berita duka itu disahkan oleh anaknya, Dr Christina Blossom Welch, pada Jumaat.

“Beliau meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Jenazahnya telah dibawa pulang ke rumah untuk urusan pengebumian,” katanya.

Difahamkan, Wong dimasukkan ke HKL selepas mengalami serangan angin ahmar.

Christina berkata, upacara penghormatan terakhir untuk ibunya akan diadakan pada 3 dan 4 Mei di Nirvana 2, Kuala Lumpur, sebelum pengebumian dijalankan pada 5 Mei.

Kredit: Asia News Network

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu bersara daripada pasukan polis pada 1993 selepas lebih 36 tahun berkhidmat.

Kerjayanya sebagai pegawai polis wanita sebelum ini menarik perhatian media dan beliau dikenali kerana keberaniannya mengendalikan beberapa operasi berisiko tinggi, termasuk tugasan penyamaran.

Sebagai pegawai Cawangan Khas, beliau menjalankan tugas secara penyamaran ketika era pemberontakan komunis dan kemudiannya berkhidmat di Jabatan Siasatan Jenayah (CID), di mana beliau terlibat dalam operasi membanteras kegiatan maksiat di Kuala Lumpur.

Beliau seterusnya berkhidmat dalam unit “Black Cats” CID, yang ditugaskan untuk menumpaskan sindiket pelacuran dan kegiatan maksiat yang beroperasi di ibu negara.