Bersama mencadangkan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar lima peratus serta menggantikan beberapa skim bantuan tunai dengan bantuan bulanan bersasaran dalam belanjawan bayangan yang dibentangkan parti itu.
Menurut Bersama, kadar GST lima peratus dicadangkan untuk dihadkan bagi tempoh 10 tahun akan datang bagi memberikan kepastian kepada isi rumah dan perniagaan, selain mengekang kesan cukai berkenaan terhadap inflasi pada masa depan.
“Berdasarkan anggaran Bersama, GST pada kadar 5% boleh menjana sekitar RM76.1 bilion, atau 3.3% daripada KDNK, berbanding RM59.4 bilion yang dijangka dikutip melalui SST pada tahun 2026.
“Ini menghasilkan tambahan hasil sekitar RM16.7 bilion,” katanya dalam dokumen belanjawan bayangan.
Bersama turut mencadangkan supaya skim Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) digantikan dengan pemberian RM200 sebulan kepada 60 peratus isi rumah terbawah (B60).
Selain itu, setiap kanak-kanak warganegara Malaysia berusia bawah 18 tahun dicadangkan menerima RM50 sebulan, dengan had sehingga lima orang anak bagi setiap isi rumah.
Cadangan itu bersamaan manfaat maksimum RM250 sebulan atau RM3,000 setahun bagi setiap isi rumah.
Dalam pada itu, Bersama mencadangkan kerajaan mengkaji kerangka perundangan, teknologi dan pentadbiran bagi Cukai Pembayaran Elektronik Runcit (REPT) antara 2027 hingga 2029.
“Tiada REPT akan dikenakan sepanjang tempoh pembangunan ini. Tertakluk kepada kebolehlaksanaan kerangka tersebut, REPT boleh mula dilaksanakan pada tahun 2030 pada kadar 0.5%,” katanya.
Menurut Bersama, REPT pada kadar 0.5 peratus berpotensi menjana kira-kira RM9.1 bilion setahun sebelum mengambil kira pengecualian dan perubahan tingkah laku.
Katanya, langkah-langkah yang dicadangkan itu antara lain berpotensi membantu Malaysia mengurangkan defisit fiskal dan mencapai lebihan belanjawan menjelang 2035, buat kali pertama sejak 1997.

