Sebanyak 12 gantri fizikal Sistem Penetapan Harga Jalan Raya Elektronik (ERP) di Singapura telah ditanggalkan atau diubah suai setakat Rabu, menjelang peralihan kepada sistem kutipan bayaran berasaskan satelit pada 1 Januari 2027.
Gantri yang telah ditanggalkan termasuk di Bencoolen Street, Geylang Bahru dan Republic Boulevard, selain beberapa lokasi di sekitar Lebuhraya Kallang-Paya Lebar serta sepanjang Dunearn Road.

Gantri berkenaan merupakan sebahagian daripada 62 gantri ERP yang tidak lagi beroperasi dan sedang ditanggalkan atau diubah suai secara berperingkat sejak kerja-kerja bermula pada Oktober lalu.
Baki 33 gantri masih beroperasi dan akan terus mengenakan bayaran kepada pengguna jalan raya sehingga 31 Disember 2026.
Penguasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) menjangkakan kesemua 95 gantri akan ditanggalkan atau diubah suai menjelang Jun 2027.
Bagaimanapun, bukan semua struktur gantri akan ditanggalkan sepenuhnya. Sebahagiannya akan dikekalkan dan digunakan semula untuk menempatkan peralatan yang menyokong sistem baharu, dikenali sebagai ERP 2, khususnya di kawasan yang mempunyai isyarat satelit kurang stabil.
LTA memaklumkan bahawa kerja-kerja berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira keadaan lokasi dan trafik bagi mengurangkan kesulitan kepada pengguna jalan raya.

Penanda dan papan tanda baharu diperkenalkan
Menerusi sistem ERP 2, teknologi navigasi satelit akan mengesan apabila sesebuah kenderaan melalui lokasi kutipan bayaran, sekali gus menghapuskan keperluan penggunaan gantri fizikal untuk mengutip caj.
Sebagai gantinya, simbol ERP berwarna biru berbentuk bujur akan dicat pada setiap lorong di lokasi kutipan bayaran, manakala papan tanda bertulis “ERP Charge Zone” akan dipasang bagi menandakan permulaan kawasan berkenaan.
Jalan utama dan jalan susur akan mempunyai dua simbol bagi setiap lorong, manakala lebuh raya akan dilengkapi tiga simbol bagi memudahkan pemandu melihat penanda tersebut ketika bergerak pada kelajuan lebih tinggi.

Selain itu, unit dalam kenderaan (On-Board Unit, OBU) turut akan memberikan amaran kepada pemandu sebelum memasuki kawasan kutipan bayaran, memaparkan kadar caj semasa serta mengesahkan jumlah bayaran yang dikenakan selepas kenderaan melalui kawasan berkenaan.
LTA berkata, penanda jalan dan papan tanda baharu itu akan diperkenalkan secara berperingkat di lokasi gantri yang masih beroperasi sebelum 1 Januari 2027 bagi membolehkan pengguna jalan raya membiasakan diri dengan sistem baharu tersebut.

