Menunaikan solat merupakan kewajipan bagi setiap umat Islam, tidak kira ketika sedang bekerja atau di mana sahaja mereka berada.
Malah, ketika bekerja pun kita perlu meluangkan sedikit masa untuk menunaikan solat sebelum meneruskan tugasan.
Dalam hal ini, mempunyai majikan yang memahami dan menghormati kewajipan tersebut pastinya satu rezeki yang amat dihargai.
Begitu juga bagi mereka yang memberikan perkhidmatan dari rumah ke rumah, apabila pelanggan memberikan ruang untuk mereka menunaikan solat tanpa mengganggu tugasan yang perlu diselesaikan.
Dalam satu hantaran di Threads, seorang warga Jepun menerima pujian ramai selepas memberi kebenaran kepada dua orang kontraktor Muslim untuk menunaikan solat di kawasan rumahnya.
Menerusi hantaran @westmelon33, dia mengalami masalah dengan sistem elektrikal di rumahnya dan terpaksa memanggil kontraktor untuk membuat pemeriksaan.
“Hari ini, rumah saya mengalami masalah sistem elektrikal, jadi saya terpaksa panggil kontraktor elektrik.
“Kontraktor muda, Muslim dari Lebanon ini datang dan mereka siap bekerja sekitar pukul 1 petang,” katanya.
Katanya, sebaik selesai dengan kerja-kerja pembaikan, kedua-dua kontraktor tersebut telah menunaikan solat terlebih dahulu sebelum pulang.
Susulan itu, @westmelon33 berkata dia sangat senang hati melihat individu yang taat kepada agama masing-masing.
“Selepas selesai bekerja, mereka menunaikan solat di halaman rumah menghadap ke arah Mekah sebelum pulang.
“Mereka anak-anak muda yang sopan, jadi saya bercadang untuk minta mereka buat kerja seterusnya.
“Bila tengok orang yang begitu taat kepada agama mereka, saya sendiri rasa senang hati,” tulisnya.
Sementara itu, @westmelon33 juga telah memuat naik video kedua-dua kontraktor tersebut sedang menunaikan solat.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memuji @westmelon33 kerana memberi ruang dan kebebasan untuk kontraktor itu menunaikan solat.




