Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lebih Takut Menyesal, Jurutera Tinggalkan Kerjaya Demi Kejar Impian

Jurutera Tinggalkan Kerjaya
Kredit: Fahmi Rozi

Bagi kebanyakan orang, pekerjaan yang stabil dengan pendapatan yang [baik] adalah impian dan ia sudah cukup untuk membuatkan seseorang untuk terus kekal dalam kerjaya itu.

Namun, tidak bagi pengusaha kafe senjabrew, Fahmi Rozi, 27, yang memilih untuk meninggalkan kerjaya sebagai jurutera perisian demi impiannya.

Jika dilihat dari luar, tiada keperluan mendesak buat Fahmi meninggalkan kerjayanya, namun jauh di sudut hati, dia tidak dapat membayangkan dirinya melakukan perkara yang sama untuk tahun-tahun akan datang.

Tidak ingin terus berada di zon selesa, Fahmi memilih untuk mengambil risiko dan mencuba sesuatu yang selama ini lebih dekat dengan impiannya, iaitu membina perniagaan sendiri.

Bersama dua rakannya, Izzat Hafizuddin, 25, dan Adina Hazli, 25, mereka kini mengusahakan sebuah senjabrew di Cyberjaya.

(Dari kiri) Pengasas, Fahmi Rozi dan Pengasas Bersama, Izzat Hafizuddin dan Adina Hazli

Keputusan ini mungkin kelihatan seperti satu langkah yang berisiko, tetapi bagi Fahmi, ada perkara yang lebih menakutkan iaitu tidak pernah mencuba langsung.

Daripada Jurutera Kepada Pengusaha Kafe

Fahmi merupakan graduan Universiti Malaya dalam bidang Sains Komputer dan telah bekerja selama hampir tiga tahun sebagai jurutera perisian, termasuk bersama sebuah syarikat dari Denmark.

Dia mengakui keputusan untuk meletak jawatan sebagai jurutera perisian bukanlah disebabkan ada sesuatu yang buruk berlaku di tempat bekerjanya.

Sebaliknya, dia cuma merasakan dirinya tidak mahu menghabiskan bertahun-tahun melakukan perkara yang sama tanpa pernah mengetahui apa yang boleh dicapainya di luar kerjaya tersebut.

“Memang kerja saya sebelum ini stabil. Ketika itu, saya berada di kedudukan yang sangat baik dan pendapatan saya agak tinggi.

“Saya rasa kerja itu okay, tetapi saya cuma tak nampak diri saya melakukan perkara yang sama untuk beberapa tahun akan datang.

“Saya rasa macam itu bukan apa yang saya mahu lakukan setiap hari. Jadi saya nak cuba sesuatu yang lain,” katanya ketika ditemui SK.

Jurutera Tinggalkan Kerjaya Demi Kejar Impian Dari Kecil

Pengasas, Fahmi Rozi

Minatnya pada perniagaan pula sebenarnya lebih dekat dengan bidang bakeri, namun kopi akhirnya dipilih sebagai langkah pertama kerana lebih mudah untuk dimulakan dari segi modal dan kemahiran.

“Pada awalnya, impian saya adalah lebih kepada bakeri tetapi sekarang saya tengok orang ramai lebih suka kopi. Jadi, sebab itu saya rasa kafe ini boleh jadi permulaan.

“Saya rasa sebab utama memilih untuk membuka kafe juga sebab halangan untuk masuk ke dalam bidang ini lebih rendah.

“Dalam erti kata lain, kita tak perlukan modal yang besar untuk bermula dan tak semestinya memerlukan kemahiran yang tinggi,” ujarnya.

Apa yang menarik perhatian Fahmi ialah peluang untuk mencipta sesuatu sendiri dan melihat reaksi pelanggan terhadap hasil yang diusahakan secara langsung.

“Tapi selain daripada itu, saya memang suka mencipta sesuatu dan dapatkan maklum balas. Jadi, bila kita cuba sesuatu, kita boleh dapat maklum balas dengan cepat.

“Kalau hasilnya bagus, kita tahu kita ada di jalan yang betul,” jelasnya.

Daripada situ, lahirlah senjabrew yang pada awalnya tidak pun bermula sebagai sebuah kedai kopi sepenuh masa.

Bermula Dengan Masa Yang Terhad

Nama senjabrew juga mempunyai kisahnya tersendiri.

Pada ketika itu, Fahmi, Izzat dan Adina masih bekerja sebagai jurutera perisian, menyebabkan mereka hanya mempunyai masa selepas waktu pejabat untuk mengusahakan perniagaan tersebut.

Mereka menjalankan operasi pada hujung minggu, bermula Jumaat malam hingga Ahad malam, dan nama senjabrew sendiri diambil daripada gabungan “senja” dan “brew”.

“Idea itu tercetus sebab kami hanya dapat membuka kedai pada hujung minggu, pada waktu malam.

“Saya dan rakan kongsi semuanya merupakan jurutera perisian, jadi satu-satunya masa kami boleh menguruskan perniagaan adalah selepas waktu bekerja iaitu dari malam Jumaat hingga malam Ahad.

“Sebab itu kami memilih nama senjabrew. Kami menyediakan kopi pada waktu senja, jadi nama itu diambil daripada waktu kami menjalankan operasi,” katanya.

Mereka pada awalnya melakukan soft launch dari rumah, namun sambutan yang diterima membuatkan mereka sedar bahawa lokasi kediaman bukan tempat yang sesuai untuk mengembangkan jualan.

Akhirnya, mereka mendekati Whisk Takers di Cyberjaya dan menyewa ruang bersama untuk meneruskan operasi.

Modal yang digunakan pula kurang daripada RM15,000 dan kebanyakannya dibelanjakan untuk peralatan, bahan seperti matcha serta stok perniagaan.

Kesemua modal itu datang daripada mereka sendiri tanpa pelabur luar, sekali gus bermakna setiap keputusan dan risiko yang diambil turut ditanggung bersama.

Bila Realiti Mula Menguji

Meninggalkan pekerjaan untuk membina perniagaan sendiri bagaimanapun bukan sekadar soal berani mengambil risiko kerana selepas berhenti, Fahmi perlu bergantung kepada wang simpanannya sendiri untuk menampung kehidupan.

Senjabrew masih berada di awal pembukaannya dan pendapatan bulanan hanya cukup untuk menanggung kos operasi seperti pekerja, sewa dan utiliti.

“Tak dinafikan cabaran terbesar kami adalah kewangan. Lebih-lebih lagi apabila membuka perniagaan baru, kita memang tak boleh jangka yang keuntungan akan banyak pada peringkat awal.

“Masing-masing ada tanggungan sendiri, termasuk kenderaan, ibu bapa dan keluarga. Jadi kewangan memang risiko terbesar kami,” katanya.

Fahmi juga berkongsi sepanjang menjalankan perniagaan itu, ada bulan di mana pendapatannya tidak mencukupi.

“Untuk meneruskan kehidupan, kami memerlukan beberapa ribu ringgit seorang setiap bulan. Tapi kami semua mempunyai simpanan sendiri jadi buat masa sekarang kami masih belum berhutang.

“Buat masa ini, kami menggunakan keuntungan kafe untuk cuba memastikan perniagaan ini terus berjalan lancar,” kongsinya.

Dalam masa yang sama, Fahmi dan rakan-rakannya perlu berdepan dengan pelbagai cabaran operasi, termasuk menguruskan stok, tenaga kerja dan keperluan di lokasi berbeza.

Keadaan itu akhirnya menyebabkan Fahmi sendiri pernah mempersoalkan keputusannya untuk berhenti kerja sekitar bulan kedua atau ketiga perniagaan tersebut.

Ketika beberapa perkara berlaku serentak dan dia mula tertanya-tanya sama ada senjabrew benar-benar berkembang atau sekadar berada di tempat yang sama, keraguan itu mula muncul.

Namun, keraguan tersebut bukan kerana dia merindui pekerjaan lamanya, sebaliknya kerana realiti membina sesuatu dari kosong ternyata jauh lebih berat daripada yang dibayangkan.

Keluarga Risau, Rakan Terus Menyokong

Keputusan Fahmi turut membuatkan keluarganya berasa bimbang kerana meninggalkan pekerjaan yang stabil bukanlah perkara kecil.

Dia mengakui ibu bapanya meminta Fahmi memikirkan keputusan tersebut dengan baik, malah sehingga kini dia masih menerima soalan sama ada sudah mendapatkan pekerjaan baru atau tidak.

Buat masa ini, jawapannya masih sama, iaitu Fahmi masih ingin mencuba dan mahu memberikan peluang kepada senjabrew untuk berkembang.

Dalam tempoh yang sama, Fahmi mampu terus mengejar impiannya susulan sokongan daripada rakan-rakan sebayanya.

Bagi Fahmi, sokongan daripada orang sekeliling penting kerana perjalanan membina perniagaan bukan sesuatu yang boleh dilalui seorang diri.

Membina Pasukan, Bukan Sekadar Mencari Pekerja

Pada awalnya, senjabrew hanya digerakkan oleh Fahmi, Izzat dan Adina, namun mereka menyedari bahawa lebih ramai tenaga diperlukan untuk memastikan operasi berjalan dengan lancar.

Dan bagi Fahmi, dia tidak terlalu melihat umur ketika memilih pekerja kerana selagi seseorang itu mampu melakukan tugas dan melayan pelanggan dengan baik, mereka wajar diberikan peluang.

Dia juga percaya pekerja bukan sekadar orang yang menerima arahan kerana mereka turut mempunyai pengalaman dan pandangan yang boleh membantu perniagaan berkembang.

Malah, Fahmi terbuka menerima teguran dan idea daripada pekerja, termasuk menggunakan resipi minuman yang dihasilkan oleh mereka sendiri.

Baginya, pemilik tidak semestinya sentiasa betul dan perspektif berbeza dalam sebuah pasukan sepatutnya diraikan.

Lebih Takut Dengan “What If” Daripada Kegagalan

Walaupun banyak perkara masih belum sempurna, Fahmi tidak melihat kemungkinan senjabrew gagal sebagai sesuatu yang perlu ditakuti sepanjang masa.

Sekiranya semuanya tidak menjadi, dia masih mempunyai pilihan untuk kembali bekerja dalam dunia korporat, dan itulah yang dianggapnya sebagai kemungkinan paling buruk.

Bagi Fahmi, keadaan itu masih lebih baik daripada menghabiskan hidup dengan persoalan tentang apa yang mungkin berlaku sekiranya dia tidak pernah mencuba.

“Kalau kafe ini tidak menjadi, saya rasa tidak mengapa. Bagi saya, lebih baik hidup dengan penyesalan daripada terus teranya-tanya ‘bagaimana kalau’.

“Apa yang kami lakukan sekarang sebenarnya adalah untuk meneroka persoalan ‘bagaimana kalau’.

“Kalau tak menjadi, tidak mengapa. Sekurang-kurangnya kami tidak menyesal kerana tidak pernah mencuba,” katanya.

Sebab itu, dia lebih rela mengambil risiko sekarang ketika masih muda daripada terus berada dalam keadaan selesa tetapi akhirnya menyesal kerana tidak pernah memberikan peluang kepada dirinya sendiri.

Baginya, kegagalan juga bukan bermaksud semuanya berakhir kerana seseorang masih boleh mencuba lagi atau memilih jalan yang berbeza.

Kejayaan Yang Mahu Ditinggalkan

Selepas melalui sendiri cabaran membina perniagaan, Fahmi mula melihat kejayaan daripada sudut yang berbeza.

Dia tidak hanya mahu melihat senjabrew berkembang dari segi keuntungan, tetapi mahu perniagaan itu memberi kesan kepada orang yang bekerja bersamanya dan komuniti di sekeliling.

Dalam masa yang sama, dia mahu senjabrew menjadi tempat yang membuatkan orang berasa selesa untuk datang, berehat dan meluangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan.

Bagi Fahmi, jika orang bercakap tentang senjabrew, mahu kembali ke sana dan menganggapnya sebagai tempat untuk berkumpul, itu sendiri sudah menjadi satu bentuk kejayaan.

Bagaimanapun, bagi mencapai kesan itu, Fahmi sendiri terpaksa mengorbankan masanya bersama keluarga dan orang terdekat.

Ada ketika dia pulang lewat pagi selepas menguruskan operasi dan berbincang bersama pasukan sebelum perlu kembali semula beberapa jam kemudian untuk membuka kedai.

Namun, semua itu tetap dirasakan berbaloi kerana sekurang-kurangnya dia kini tahu bahawa dia sudah mencuba.

Lebih penting, dia mahu senjabrew menjadi bukti bahawa tiga individu yang pada asalnya hanya bekerja sebagai jurutera perisian berani mengambil langkah keluar daripada kehidupan selesa untuk membina sesuatu yang mereka percaya.

Intipati
  • Fahmi Rozi meninggalkan kerjaya jurutera perisian untuk membina perniagaan kafe sendiri.
  • Senjabrew diusahakan bersama Izzat Hafizuddin dan Adina Hazli menggunakan modal sendiri.
  • Perniagaan itu masih mencabar, terutama dari segi kewangan, operasi dan sokongan keluarga.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan