Setiap orang mempunyai pilihan sendiri dalam menentukan arah tuju kehidupan, sama ada mahu kekal dalam zon selesa atau berani mengambil risiko untuk mengubah perjalanan hidup.
Begitulah kisah Head (Performance Acceleration & Governance) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nur Atikah Paimin yang mengambil keputusan untuk menukar haluan kerjaya daripada bidang kejuruteraan kepada kewangan dan perakaunan.
Berasal dari Gombak, Atikah merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik di luar negara dan selepas menamatkan pengajian, beliau memulakan kerjaya di TNB sebagai jurutera projek pencawang.
Berani Keluar Dari Zon Selesa, Nur Atikah Tinggalkan Kerjaya Jurutera Demi Menjadi Akauntan
Bercakap kepada SK, beliau berkata tugasnya ketika itu termasuk menyelia pembinaan pencawang baharu, termasuk di kawasan yang agak jauh dari bandar, selain menguruskan kontraktor dan memastikan kerja-kerja di tapak berjalan lancar.
Namun, tugas tersebut turut menuntut pengorbanan masa kerana kerja-kerja pembinaan pencawang elektrik lazimnya dilakukan pada waktu malam.
Keadaan itu menyebabkan Atikah ada kalanya perlu memandu seorang diri dari rumah ke lokasi pencawang pada awal pagi, termasuk ke kawasan yang agak terpencil.
Beliau mengakui pengalaman tersebut bukan mudah, malah mula memikirkan sama ada kerjaya berkenaan sesuai untuk diteruskan dalam jangka panjang.
“Dari segi masa, memang agak mencabar sebab kalau kita nak bina pencawang baharu, kerja perlu dilakukan pada waktu malam kerana bekalan elektrik perlu dihentikan sementara.
“Jadi selepas dua tahun bekerja, saya rasa saya perlu teroka benda baru,” katanya.
Atikah kemudian menyedari minatnya terhadap bidang kewangan dan perakaunan, lalu mengambil keputusan untuk meneroka laluan kerjaya baharu.

Keputusan itu bukanlah mudah kerana beliau tidak mempunyai asas dalam bidang perakaunan, malah tidak pernah mengambil mata pelajaran Prinsip Perakaunan ketika menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagaimanapun, beliau tetap memberanikan diri mengikuti program kelayakan profesional dalam bidang perakaunan, dan keputusan itu ternyata membuahkan hasil apabila beliau berjaya mengubah haluan kerjaya kepada bidang yang lebih diminati.
Namun begitu, perubahan besar dalam kerjaya tidak semestinya bermula dengan pertukaran bidang, sebaliknya boleh tercetus daripada pertemuan dengan individu yang mempunyai minat dan pemikiran sama.
Khairul Lepaskan Jawatan Jurutera Di Motorola Demi Bina Perniagaan Sendiri
Begitulah kisah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pandai, Khairul Anwar Mohamad Zaki yang sanggup meninggalkan kerjaya sebagai jurutera di sebuah syarikat terkenal demi mengejar impian membina perniagaan sendiri.
Bercakap kepada SK, Khairul berkata idea untuk memulakan perniagaan tercetus selepas beliau bertemu semula dengan rakan-rakan sekolah menengah ketika menghadiri reunion sekolah mereka.
Anak sulung daripada lima beradik itu ketika itu sudah bekerja sebagai jurutera penyelidikan dan pembangunan (R&D) di syarikat telekomunikasi serta elektronik, Motorola.
Namun, pertemuan tersebut membuka ruang kepada satu perancangan baharu apabila beliau bersama tiga rakannya mengambil keputusan untuk berhenti kerja hanya tiga hari selepas majlis berkenaan bagi memulakan perniagaan dalam bidang pendidikan.
“Kami ambil keputusan untuk berhenti kerja tiga hari selepas reunion tu untuk memulakan sesuatu bersama-sama.
“Kebetulan semuanya anak-anak cikgu. Jadi mungkin itu yang menyebabkan kami minat ke arah pendidikan. Daripada itu, kami mulakan syarikat pendidikan,” katanya.

Beliau percaya bahawa dengan membina sesuatu sendiri, beliau mempunyai peluang untuk menyumbang kepada masyarakat menerusi bidang yang diminatinya, berbanding bekerja di bawah orang lain.
Katanya lagi, walaupun hanya bekerja sebagai jurutera selama kira-kira dua tahun, pengalaman di Motorola banyak mengajarnya, terutama dalam aspek pengurusan yang dipelajari daripada bekas pengurusnya sebelum diterapkan dalam syarikat sendiri.
Khairul turut berkongsi bahawa beliau dan rakan-rakannya telah membangunkan syarikat lain sebelum akhirnya membangunkan aplikasi Pandai pada 2020.
Aplikasi Pandai adalah sebuah platform pembelajaran untuk murid sekolah rendah dan sekolah menengah yang selaras dengan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) Kementerian Pendidikan Malaysia.
Atas permintaan ramai, dua aplikasi sampingan iaitu Pandai Parent dan Pandai Teacher juga turut dibangunkan untuk membantu ibu bapa dan guru-guru menyokong dan memantau perkembangan pendidikan akademik anak-anak dengan lebih holistik.
Kini, aplikasi Pandai digunakan oleh lebih 1 juta murid sekolah. Malah, ia bukan sahaja digunakan oleh pelajar di Malaysia, tetapi turut digunakan di Brunei, selain pihak syarikat sedang melihat peluang untuk mengembangkan penggunaannya ke Indonesia.
Usaha tersebut turut mendapat pengiktirafan apabila Pandai menerima akreditasi sebagai perusahaan sosial daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), selain terpilih menyertai program pemecut syarikat pemula Y Combinator di Amerika Syarikat dan program 100x Impact Accelerator anjuran London School of Economics (LSE) di United Kingdom.
Bukan Sekadar Bergelar Doktor, Dr. Izza Terus Menimba Ilmu Demi Membantu Masyarakat
Sementara itu, ada juga individu yang memilih untuk menggunakan kepakaran dalam bidang sendiri bagi membantu masyarakat yang memerlukan, seperti pensyarah klinikal Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Izza Arsyika Abdul Rahim yang menggunakan kepakarannya dalam bidang perubatan.
Bercakap kepada SK, Dr. Izza berkata minatnya untuk menjadi seorang doktor mula berputik selepas bertemu dengan seorang pensyarah dari Turki.
Pertemuan tersebut menyemarakkan minatnya dalam bidang sains sehingga mendorong beliau mengubah cita-cita untuk menjadi seorang doktor.
Hasrat itu mula direalisasikan apabila beliau memperoleh keputusan 10A dalam SPM, sekali gus melayakkannya mengikuti program A-Level Perubatan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.
Beliau kemudian menerima tawaran biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Melaka-Manipal Medical College (MMMC).
Selepas menamatkan pengajian, Dr. Izza memulakan kerjaya sebagai pegawai perubatan siswazah atau houseman di Hospital Melaka selama dua tahun.
Ujarnya, beliau sangat bersyukur kerana sepanjang menjalani latihan tersebut, beliau dikelilingi rakan sekerja serta pegawai perubatan kanan yang sentiasa memberikan sokongan.
“Alhamdulillah, walaupun kita sering mendengar cerita bahawa tugas pegawai perubatan siswazah sangat mencabar dan memberikan tekanan, saya bertuah kerana mendapat rakan sekerja serta senior yang sangat menyokong,” ujarnya.

Sokongan rakan sekerja itu sekali lagi dirasainya apabila beliau berdepan situasi mencemaskan ketika cuba menyelamatkan seorang pesakit yang tiba-tiba kehilangan denyut nadi.
Menurutnya, beliau baru sahaja selesai bertugas syif panggilan (on-call), namun kejadian tersebut menyebabkan beliau tidak terus pulang ke rumah untuk berehat.
Tidak mahu berputus asa, Dr. Izza memanjat katil pesakit berkenaan untuk melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), namun pesakit tersebut tidak dapat diselamatkan.
Dr. Izza mengakui kejadian itu meninggalkan kesan mendalam dalam dirinya, namun sokongan rakan sekerja membantunya bangkit semula untuk meneruskan tanggungjawab sebagai seorang doktor.
“Sebagai seorang doktor muda berhadapan dengan kematian, itu merupakan momen yang menginsafkan.
“Tapi kita sentiasa ada senior yang membantu dan cuba menenangkan kita. Daripada situ, kita kena bangkit semula kerana kalau kita terlalu terikat dengan kesedihan, sebagai doktor kita akan susah untuk meneruskan tugas pada hari berikutnya,” katanya.
Tidak cukup dengan itu, beliau turut memilih untuk membantu masyarakat menerusi organisasi bukan berasaskan keuntungan, Hospitals Beyond Boundaries, yang menjalankan usaha membantu komuniti di Malaysia dan Kemboja.
Walaupun sudah bergelar doktor, beliau tidak pernah berhenti meningkatkan kemahiran dan pengetahuannya dalam bidang perubatan, malah mengambil keputusan mengikuti laluan parallel pathway untuk terus mengembangkan kepakarannya.
Membaca kisah tiga individu ini, jelas bahawa kejayaan mereka bukanlah kebetulan, sebaliknya hadir daripada keberanian mengambil risiko dan mencuba sesuatu yang baharu.
Ketiga-tiganya mempunyai perjalanan berbeza, namun masing-masing berani mengambil langkah besar untuk membina masa depan yang lebih baik dan mengembangkan potensi diri.
Namun, perjalanan mereka bukan bergantung pada usaha sendiri semata-mata kerana Yayasan Peneraju turut memainkan peranan dalam membantu mereka merealisasikan impian masing-masing.
Yayasan Peneraju Bantu Buka Laluan Kepada Peluang Kerjaya Lebih Baik
Ketiga-tiga individu ini merupakan alumni Yayasan Peneraju dalam bidang berbeza, namun berkongsi matlamat yang sama, iaitu mengembangkan potensi diri dan membuka lebih banyak peluang dalam kerjaya masing-masing.
SK berpeluang menemui mereka pada Persidangan Kepimpinan Yayasan Peneraju 2026 yang berlangsung di KLGCC Convention Centre pada Sabtu, 21 November 2026.

Persidangan tersebut menghimpunkan lebih 300 alumni, bakat, pemimpin industri dan rakan strategik bagi menggalakkan perkongsian pengalaman serta kepakaran dalam usaha membangunkan lebih ramai individu berpotensi.
Menerusi persidangan itu, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, memaklumkan bahawa Malaysia terus menunjukkan daya tahan meskipun berdepan keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
“Pertumbuhan mesti diterjemahkan kepada produktiviti yang lebih tinggi, pekerjaan dengan gaji yang lebih baik, perusahaan Malaysia yang lebih kukuh serta peluang yang lebih luas untuk meningkatkan kedudukan ekonomi,” kata beliau.
Sementara itu, Yayasan Peneraju menyasarkan pembangunan lebih 2,000 bakat Bumiputera dalam bidang reka bentuk cip semikonduktor front-end sepanjang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Selain pembangunan kemahiran teknikal, Yayasan Peneraju turut memberi perhatian kepada pembentukan kepimpinan menerusi Talent Bank bagi mengenal pasti bakat berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai Pemimpin Profesional, Pemimpin Perniagaan dan Pemimpin Komuniti.
Bertemakan ‘Xchange. Xperience. Xcellence.’, persidangan itu turut menampilkan forum kepimpinan bertajuk ‘Lead Beyond Differences’ yang menghimpunkan Pengerusi Manaf Gardner Associates, Datuk Dr. Nora Manaf, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis, Izza Izelan serta pelakon, penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Pixel Play Entertainment, Bront Palarae bagi berkongsi pandangan mengenai kepimpinan inklusif.

Persidangan tersebut turut mengetengahkan beberapa topik menarik yang telah memberikan manfaat kepada orang ramai menerusi sesi breakout room.
Antara topik yang dibincangkan termasuk Make Your Move: Career Decisions, Visibility & Building Your Own Path bersama The Careerlogist, Dr Az dan Pengurus Sumber Manusia merangkap Jurulatih Kerjaya, PakTam Nizam Ahmad.
Selain itu, sesi Lead With Heart: Emotional Intelligence, Authenticity & Resilience turut menampilkan Pengasas dan Naib Pengerusi Women Leadership Foundation, Datuk Zunaidah Idris serta pempengaruh, Reina Lum.
Sesi Building What’s Next: Entrepreneurship, Innovation & Turning Ideas Into Business pula menampilkan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif PlusVibes, Dr Madiha Fuad serta pengasas Charms Cosmetic Skincare, Syira Hussin.

Bercakap mengenai Yayasan Peneraju, ketiga-tiga individu yang ditemui SK berkata program anjuran organisasi itu banyak membantu mereka meningkatkan kemahiran serta membuka lebih banyak peluang dalam kerjaya masing-masing.
Dari Tajaan Pengajian Hingga Peluang Kerjaya, Alumni Kongsi Manfaat Yayasan Peneraju
Nur Atikah, yang juga merupakan Alumni Profesional Pensijilan Akauntan, berkata Yayasan Peneraju bukan sahaja membuka peluang untuk dirinya beralih bidang, malah meluaskan pengetahuan serta memberinya peluang membina jaringan menerusi pelbagai program dan aktiviti anjuran organisasi itu.
Menurutnya, Yayasan Peneraju turut memberikan banyak sokongan dan bantuan, terutama ketika beliau mula mengikuti program berkenaan tanpa sebarang asas dalam bidang kewangan atau perakaunan.
“Bagi pelajar yang tiada latar belakang perakaunan, Yayasan Peneraju bantu dengan memberikan tempoh peralihan selama dua bulan menerusi program yang dilaksanakan di Sunway University.
“Dalam tempoh peralihan ini, mereka beri kita belajar perlahan-lahan. Contohnya, mereka berikan pengetahuan dalam bidang perakaunan supaya kita tidak terlalu terkejut apabila mula bekerja di firma perakaunan,” katanya.
Sementara itu, bagi Khairul, Yayasan Peneraju membantu mengurangkan beban kewangan ketika beliau mula berminat untuk mendalami bidang sains data.
Katanya, Yayasan Peneraju telah menajanya mengikuti program sains data, sekali gus memberinya peluang mendalami bidang tersebut yang kemudiannya menjadi antara kemahiran berguna dalam membangunkan aplikasi Pandai.
“Saya betul-betul berminat dengan bidang sains data, cuma banyak program dan sijil bagi bidang ini mahal.
“Bila Yayasan Peneraju sediakan tajaan bagi program ini, saya rasa macam ini peluang yang besar. Sebab itu saya ambil di bawah organisasi ini,” katanya.
Khairul, yang juga merupakan Alumni Profesional Skil Data Scientist, berkata Yayasan Peneraju turut membantunya mengembangkan jaringan menerusi pelbagai acara anjuran untuk alumni.
“Yayasan Peneraju juga buat program untuk alumni. Jadi mereka hubungi semula alumni untuk sertai pelbagai program bagi membantu alumni lebih lanjut. Yang itu memang saya tak sangka,” katanya.
Selain itu, Khairul berkata Yayasan Peneraju turut membantu mempromosikan aplikasi Pandai ketika beliau masih belum mempunyai akses kepada media arus perdana.
Sejak mula beroperasi pada 2012, YP telah membangunkan lebih 100,000 individu Bumiputera dalam pelbagai sektor.
Bagi memperluas usaha tersebut, YP turut melancarkan Dana YP, sebuah dana awam bukan berasaskan keuntungan yang diwujudkan khusus untuk menyokong pembangunan bakat Bumiputera bagi memenuhi keperluan masa hadapan.
Untuk menyumbang kepada pembangunan masa depan negara, Pencipta Nilai (Value Creator), sila layari https://yayasanpeneraju.com.my/dana-yp.

