Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

BERSAMA Tidak Bertanding PRN Negeri Sembilan

PRN Negeri Sembilan
Gambar: Rafizi Ramli /FB

BERSAMA Tidak Bertanding PRN Negeri Sembilan

Parti BERSAMA mengumumkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang akan bermula dengan proses penamaan calon pada Sabtu ini, 18 Julai 2026.

Dalam satu kenyataan, BERSAMA memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor, termasuk landskap politik Negeri Sembilan yang disifatkan berbeza berbanding PRN Johor baru-baru ini.

Menurut parti itu, persaingan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan dijangka lebih sengit, selain PH kini merupakan kerajaan negeri.

BERSAMA turut berpandangan bahawa keputusan PRN Negeri Sembilan berpotensi memberi kesan kepada beberapa isu lain yang berkait dengan pertembungan politik semasa. Ini termasuk konflik melibatkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Fokus PRN Melaka

Sehubungan itu, parti berkenaan memutuskan adalah lebih strategik untuk mengalihkan fokus kepada PRN Melaka yang dijadual berlangsung dalam tempoh beberapa bulan lagi.

"Oleh itu, BERSAMA tidak akan menyertai PRN Negeri Sembilan untuk memberi sepenuh tumpuan kepada PRN Melaka.

"Mesyuarat persediaan awal PRN Melaka akan diadakan pada hari Selasa, 21 Julai 2026 untuk mengenal pasti kerusi dan mula menyaring calon-calon, agar calon-calon dapat diumumkan lebih awal," menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan sama, parti itu akan mengadakan majlis penghargaan kepada sukarelawan dan calon-calon yang terlibat dalam PRN Johor pada Ahad, 19 Julai 2026, bermula jam 8.30 malam di Ibu Pejabat BERSAMA di Puchong.

Majlis tersebut akan diteruskan dengan acara tontonan bersama perlawanan akhir Piala Dunia bermula jam 12.30 tengah malam, Isnin, 20 Julai 2026.

BERSAMA turut menjemput ahli, sukarelawan serta orang ramai untuk menghadiri kedua-dua program berkenaan sebagai sebahagian daripada persiapan parti menjelang PRN Melaka.

Pada masa sama, parti itu merakamkan penghargaan kepada ahli dan sukarelawan yang telah bersedia untuk digerakkan ke PRN Negeri Sembilan walaupun masih keletihan selepas membantu kempen PRN Johor.

BERSAMA berharap tempoh persiapan yang lebih panjang akan membolehkan parti itu menghadapi PRN Melaka dalam keadaan lebih bersedia, di samping mengambil kira pelbagai pertimbangan strategik lain.

Mengakhiri kenyataan itu, BERSAMA mengucapkan selamat mengundi kepada seluruh pengundi di Negeri Sembilan dan menyatakan harapan untuk bertemu semula pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).