Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan meletakkan calon-calon sendiri bertanding dalam PRN Negeri Sembilan dan semua calon akan menggunakan simbol BERSATU.
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata keputusan itu dibuat ekoran tindakan PAS yang melakukan rundingan dengan Barisan Nasional (BN).
Dalam kenyataan yang dikongsikan di Facebook, BERSATU meluahkan rasa kesal terhadap tindakan PAS yang mengadakan rundingan dengan BN tanpa melibatkan parti anggota Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, rundingan itu juga dibuat tanpa persetujuan Majlis Tertinggi PN.
BERSATU juga kecewa dengan keputusan-keputusan unilateral PAS yang bertentangan dengan kepentingan PN.
"Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan PAS untuk memberikan kemenangan kepada BN dalam PRN Johor dan kini PRN Negeri Sembilan tidak pernah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi PN dan jelas bertentangan dengan kepentingan PN sebagai sebuah gabungan politik nasional yang menawarkan alternatif kepada BN dan PH.
"Oleh kerana Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi Perikatan Nasional telah ditangguhkan bagi tempoh masa yang tidak pasti dan BERSATU tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan pembahagian kerusi PN, BERSATU akan meletakkan calon-calon BERSATU bertanding dalam PRN Negeri Sembilan dan semua calon BERSATU akan menggunakan simbol BERSATU.
"BERSATU juga mengambil maklum hasrat beberapa buah parti politik yang ingin menggunakan simbol BERSATU dalam PRN Negeri Sembilan.
"Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU telah meneliti perkara ini dan bersetuju untuk memberikan mandat kepada Presiden BERSATU untuk memberikan kebenaran kepada calon dari parti-parti lain untuk menggunakan simbol BERSATU," ujarnya.
Muhyiddin berkata PN yang dipimpin oleh PAS telah menyimpang dari matlamat dan dasar perjuangan PN, yang antara lain, mempertahankan ciri-ciri Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang berbilang kaum, agama, kelas sosial dan wilayah.
"Kenyataan-kenyataan pemimpin PAS mutakhir ini mengundang kesangsian rakyat, terutamanya anak-anak muda, mengenai komitmen PN untuk terus mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai kaum dan agama yang stabil, aman dan harmoni," ujarnya.
Tambahnya lagi, BERSATU sebagai sebuah parti pribumi yang inklusif mendukung nilai-nilai Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan ciri-ciri kepelbagaian kaum, agama, budaya dan adat resam yang selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.
Ia penting untuk memastikan Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara yang aman, stabil, makmur dan harmoni.
"Justeru, BERSATU mengambil pendirian untuk kekal sederhana dan progresif serta memperjuangkan dasar-dasar yang menyokong kemajuan ekonomi dan prihatin terhadap kebajikan rakyat.
"Dengan iltizam untuk menawarkan khidmat yang terbaik kepada rakyat di Negeri Sembilan, saya dengan ini menyeru semua pengundi Negeri Sembilan untuk menyokong dan mengundi calon-calon BERSATU dalam PRN Negeri Sembilan," katanya.