Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

BERSATU Persoal PAS Guna ‘Dua Set Peraturan’ Dalam PN

BERSATU
Kredit: Bernama

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mempersoalkan pendekatan PAS dalam mengurus dan mengendalikan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) ketika berdepan isu membabitkan parti komponen gabungan itu.

Menurutnya, pendekatan berkenaan seolah-olah mewujudkan dua set peraturan dalam PN, iaitu satu untuk PAS dan satu lagi untuk parti lain dalam gabungan tersebut.

Beliau berkata, tindakan PAS yang berunding secara bersendirian dengan pihak luar tanpa mandat atau pengetahuan parti anggota PN, selain membuat kenyataan serta mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) PN, dilihat tidak dikenakan tindakan sama.

“Jika PAS bertindak sendiri, secara unilateral berunding di belakang dengan pihak luar tanpa mandat dan pengetahuan parti anggota PN atau membuat kenyataan dan bertindak bertentangan dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) PN, ia nampaknya dihukum sebagai ‘halal’ dan dibolehkan.

“Tidak ada masalah untuk PAS kekal dalam PN walaupun selepas bertindak sendiri, bertentangan Perlembagaan PN dan melanggar keputusan MT PN,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tun Faisal berkata demikian susulan kenyataan Setiausaha PN, Datuk Takiyuddin Hassan yang dilaporkan berkata gabungan itu akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan beberapa isu, termasuk kedudukan BERSATU dalam PN selepas Muktamar PAS.

Takiyuddin sebelum ini dilaporkan berkata tiada alasan untuk BERSATU terus kekal dalam PN sekiranya parti itu tidak mahu bersama gabungan berkenaan, termasuk apabila BERSATU bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Mengulas perkara itu, Tun Faisal berkata penggunaan logo sendiri oleh BERSATU adalah selaras dengan Fasal 16 Perlembagaan PN yang membolehkan mana-mana parti anggota menggunakan logo sendiri sekiranya difikirkan perlu.

Jelasnya, keperluan tersebut wujud dalam PRN Negeri Sembilan, khususnya susulan tindakan PAS selaku Pengerusi PN yang menurutnya telah melanggar Perlembagaan PN serta menafikan hak BERSATU sebagai parti anggota.

“Dalam PRN Negeri Sembilan, sudah tentu keperluan itu wujud lebih-lebih lagi dalam konteks PAS sebagai Pengerusi PN telah melanggar Perlembagaan PN dan menafikan hak BERSATU sebagai parti anggota apabila tidak melibatkan BERSATU dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN pusingan kedua dan Mesyuarat Luar Biasa MT PN,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata keseluruhan Perlembagaan PN perlu dilihat terlebih dahulu sebelum isu penggunaan logo sendiri dijadikan alasan untuk mempertikaikan kedudukan BERSATU dalam gabungan berkenaan.

Menyentuh kenyataan bahawa BERSATU bukan parti pengasas PN dan boleh dikeluarkan daripada gabungan itu, Tun Faisal meminta mana-mana Exco kerajaan negeri daripada parti berkenaan menjelaskan kepada Takiyuddin mengenai sejarah penubuhan PN.

Beliau turut mempersoalkan pihak yang terlibat dalam merangka Perlembagaan dan lambang PN, menguruskan pendaftaran penubuhan gabungan itu serta menanggung pelbagai perbelanjaan sejak penubuhannya sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan PRN 2023.

“Jangan sampai sejarah PN juga diubah-ubah seperti mana ‘hukum PAS dalam PN’ yang boleh diubah dan berubah-ubah mengikut tafsiran mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Tun Faisal berkata jalan penyelesaian terbaik bagi merungkai kemelut berkenaan adalah dengan kembali kepada Perlembagaan PN.

“Sebenarnya penyelesaian kepada perkara ini mudah sahaja. Kembali kepada Perlembagaan PN. Cakap sahajalah bahawa BERSATU kekal sebagai parti anggota PN disebabkan peruntukan dalam Perlembagaan PN.

“Itu lebih mudah dan jelas berbanding mentafsirkan kononnya ‘secara teknikal’, ‘secara politik’, ‘jika mengikut Perlembagaan PAS’ dan pelbagai tafsiran semberono pemimpin-pemimpin PAS yang tidak disandarkan kepada Perlembagaan PN,” katanya.