Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bertemu Jordan, Messi Bermula Di Bangku Simpanan Pada Aksi Terakhir Kumpulan

Messi
Kredit: AFP

Bertemu Jordan, Messi Bermula Di Bangku Simpanan Pada Aksi Terakhir Kumpulan

Lionel Messi akan memulakan aksi terakhir peringkat kumpulan Argentina menentang Jordan pada Ahad dari bangku simpanan, kata jurulatih Lionel Scaloni.

"Messi akan bermula sebagai pemain simpanan esok dan akan diturunkan kemudian. Kami akan mengumumkan kesebelasan utama esok," kata Scaloni dalam sidang media pada Jumaat menjelang perlawanan di Stadium AT&T.

Argentina sudah pun mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik selaku juara Kumpulan J selepas menewaskan Algeria dan Austria.

Juara dunia 2022 itu dijadualkan bertemu naib juara Kumpulan H, Cape Verde, pada Jumaat depan di Miami.

"Keputusan mengenai siapa yang akan diturunkan esok bukan dibuat berdasarkan lawan yang bakal kami hadapi pada pusingan seterusnya," tambah Scaloni.

Messi kini merupakan satu-satunya penjaring gol Argentina dalam kejohanan itu selepas meledak lima gol dalam dua perlawanan pertama, sekali gus memecahkan rekod jaringan terbanyak dalam sejarah Piala Dunia lelaki dengan 18 gol.

Bintang Inter Miami CF itu menjaringkan hatrik ketika menentang Algeria sebelum menambah dua lagi gol ketika berdepan Austria.

Prestasi cemerlang itu turut meletakkan Messi di tangga teratas dalam perebutan Anugerah Kasut Emas sebagai penjaring terbanyak kejohanan.

Sebelum Piala Dunia bermula, Messi dilaporkan mengalami kecederaan ringan pada hamstring kiri yang sedikit menjejaskan persiapannya.

Kredit: AFP

Penjaga gol Emiliano Martínez mungkin menjadi satu-satunya pemain utama yang dikekalkan dalam kesebelasan utama, manakala beberapa muka baharu dijangka diberi peluang beraksi.

Nico Paz, yang membuat penampilan sulung di Piala Dunia sebagai pemain gantian menggantikan Messi ketika menentang Algeria, dijangka memulakan perlawanan kali ini.

"Harapan kami adalah pasukan akan terus bermain dengan cara yang sama. Itulah yang akan kami cuba lakukan.

"Jordan ialah lawan yang baik dan kami tidak memandang mudah mereka. Kami akan cuba memperbaiki beberapa aspek daripada perlawanan lalu, tetapi dengan niat yang sama iaitu menguasai bola dan mendominasi lawan," kata Scaloni.

Kredit: ESPN

Selepas menentang Jordan, Argentina akan berlepas ke Miami untuk menghadapi aksi pusingan 32 terbaik.