Betul Ke Bumi Akan Hilang Graviti Selama 7 Saat? Ini Jawapan NASA
Pelbagai peristiwa kosmik telah dikesan sejak ratusan tahun lalu. Hasil pemerhatian dan kajian yang dijalankan oleh ahli astronomi, kita dapat memahami kejadian-kejadian tersebut dengan terperinci.
Namun, tidak dapat dinafikan wujud juga pelbagai spekulasi atau teori konspirasi yang ditimbulkan oleh sesetengah pihak berkaitan kejadian alam semesta.
Dakwaan bumi hilang graviti 7 saat
Baru-baru ini tular satu dakwaan mengenai bumi yang akan kehilangan graviti selama tujuh saat pada 12 Ogos tahun ini.
Dakwaan tersebut turut menyatakan bahawa Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) telah membangunkan "Project Anchor" bagi menangani kerosakan dahsyat disebabkan oleh kejadian kehilangan graviti itu.
Malah, dakwaan itu juga mengatakan bahawa ia berpotensi menyebabkan 40 juta kematian akibat 'terjatuh' dan NASA membelanjakan $89 bilion dalam usaha mengatasi kerosakan tersebut.
Bagaimanapun, berita tular itu tidak benar. Graviti bumi tidak akan hilang selama tujuh saat dan "Project Anchor" tidak wujud.
Kejadian besar yang sebenarnya akan berlaku pada 12 Ogos ialah gerhana matahari penuh.
Menurut laman semakan fakta terkenal, Snopes, seorang jurucakap NASA menyangkal khabar angin tersebut.
Menerusi e-mel yang dihantar kepada Snopes, beliau berkata bumi tidak akan kehilangan graviti pada tarikh tersebut.
Jelasnya lagi, graviti bumi atau daya graviti keseluruhan ditentukan oleh jisimnya.
Hanya gerhana matahari penuh akan berlaku
"Satu-satunya cara bumi boleh kehilangan graviti ialah jika sistem bumi iaitu gabungan jisim teras, mantel, kerak, lautan, air daratan dan atmosfera kehilangan jisim.
"Gerhana matahari penuh tidak memberi sebarang kesan luar biasa terhadap graviti bumi," katanya.
Tambahnya lagi, tarikan graviti matahari dan bulan di bumi tidak memberi kesan kepada graviti keseluruhan bumi. Tetapi, ia memberi kesan kepada daya pasang surut dan itu telah diketahui serta boleh diramal beberapa dekad lebih awal.
Sementara itu, gerhana matahari penuh berlaku ketika bulan bergerak di antara bumi dan matahari sehingga menutupi matahari sepenuhnya.
Laluan gerhana ini akan merentasi Lautan Artik, Greenland, Iceland, Lautan Atlantik, Portugal dan utara Sepanyol.