Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Boleh Uji Kelajuan Internet, Aplikasi MCMC Nexus Rasmi Dilancar
Aplikasi MCMC NEXUS yang telah dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dilancarkan secara rasmi hari ini
Melalui pengumuman MCMC di Facebook hari ini, aplikasi ini dibina untuk membantu pengguna menguji kelajuan Internet serta menilai prestasi rangkaian sebenar di kawasan masing-masing.
"Data yang dikumpulkan adalah anonim tanpa maklumat peribadi dan akan membantu mengenal pasti kesesakan, liputan lemah serta isu kualiti perkhidmatan bagi penambahbaikan yang lebih besar," tulis MCMC.
Menurut MCMC lagi, aplikasi tersebut menandakan satu langkah penting dalam memperkasa rakyat dan industri melalui pendigitalan, selaras dengan aspirasi negara ke arah ekonomi digital yang inklusif, berdaya tahan dan mampan.
Aplikasi itu telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Teo berkata, setiap data yang dikumpulkan itu akan dimanfaatkan bagi menambah baik kualiti dan liputan rangkaian pada masa akan datang, lapor Bernama.

"Lebih penting, aplikasi ini akan memberi peluang kepada rakyat untuk menyumbang data berkaitan kualiti rangkaian di kawasan masing-masing.
"MCMC Nexus juga bukan sekadar aplikasi, sebaliknya menjadi pemacu penting masa depan digital Malaysia termasuk menyokong pembangunan bandar pintar dan penyampaian Internet berkualiti tinggi," ujarnya.
Selain itu, aplikasi ini akan diperkenalkan secara berperingkat dan telah menerima sambutan menggalakkan dengan 51,415 muat turun telah dibuat sejak Februari 2025.
Di samping itu, Teo turut berkata keberkesanan sistem ini turut dibuktikan melalui pengoperasian Pusat Pemantauan Rangkaian MCMC Nexus yang memantau kestabilan rangkaian semasa acara besar sepanjang 2025.
"Ia termasuk Pameran Maritim dan Aerongkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA 2025), Sidang Kemuncak ASEAN serta sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia," katanya.

Pada masa yang sama, platform ini turut memperkasakan perniagaan, memperluas akses pendidikan digital dan memupuk inovasi merentas sektor.
Orang ramai boleh memuat turun aplikasi MCMC Nexus ini di Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery secara percuma.