Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Buat Sendiri Di Rumah, Ini Resipi Kuih Tepung Pelita

Azzwin
tepung pelita
Kredit: @Che Sayang Kitchen via TikTok

Buat Sendiri Di Rumah, Ini Resipi Kuih Tepung Pelita

Setiap kali tiba bulan puasa, bazar Ramadan pasti menjadi tumpuan ramai untuk mencari juadah berbuka.

Namun begitu, tidak semua orang berpeluang sampai awal.

Ada yang terpaksa mengharungi kesesakan lalu lintas selepas waktu kerja, dan ada juga yang hanya sempat singgah ketika hampir waktu berbuka.

Apabila tiba di bazar, kuih yang diinginkan pula sudah habis dijual. Situasi ini memang biasa berlaku, terutamanya di kawasan yang sibuk dan padat dengan pengunjung.

Daripada rasa kecewa kerana tidak sempat membeli, apa kata cuba sediakan sendiri kuih kegemaran di rumah.

Justeru, hari ini SK ingin kongsikan resipi kuih tepung pelita yang anda boleh cuba sendiri di rumah.

Untuk makluman, resipi ini diambil daripada pempengaruh @Che Sayang Kitchen di TikTok

Bahan-bahan kuih tepung pelita

Bagi bahagian hijau, @Che Sayang Kitchen menyediakan lima helai daun pandan segar yang dicuci bersih dan dikisar bersama dua cawan air.

Selain itu, anda memerlukan satu cawan tepung beras, tiga perempat cawan gula, satu sudu air kapur dan sedikit pewarna hijau.

Seterusnya, sediakan tiga setengah cawan air untuk menghasilkan adunan hijau yang licin dan berwarna menarik.

Bagi bahagian putih pula, sediakan dua kotak santan yang dicampur dengan tiga cawan air.

Masukkan lima sudu besar tepung beras dan dua sudu kecil garam untuk menghasilkan adunan yang sebati dan bersantan.

Kredit: @Che Sayang Kitchen via TikTok

Acuan kuih tepung pelita

Menurut @Che Sayang Kitchen, anda boleh menggunakan bekas kecil atau besar untuk membuat kuih ini.

Jika mahu cara tradisional, boleh juga potong daun pisang kepada saiz petak dan gunakan kotak santan sebagai acuan.

Untuk memastikan acuan kemas, anda boleh kunci menggunakan stapler atau lidi dan gunting bahagian hujung daun pisang supaya hasilnya lebih rapi.

Kredit: @Che Sayang Kitchen via TikTok

Bahagian hijau kuih tepung pelita

Mula-mula, @Che Sayang Kitchen mengisar lima helai daun pandan bersama dua cawan air, kemudian tapis air pandan tersebut.

Campurkan air pandan yang telah ditapis dengan satu cawan tepung beras, tiga perempat cawan gula, tiga setengah cawan air, dan satu sudu air kapur.

Sekiranya tiada air kapur, anda boleh "skip" sahaja. Tambahkan juga satu penutup pewarna hijau untuk mendapatkan warna yang menarik.

Seterusnya, masak adunan ini di atas api perlahan sambil dikacau tanpa henti sehingga adunan menjadi pekat.

Sementara itu, sediakan acuan daun atau kotak santan dan taburkan sedikit gula di dasar acuan.

Masukkan adunan hijau yang telah masak ke dalam acuan tadi dan ratakan.

Kredit: @Che Sayang Kitchen via TikTok

Bahagian putih kuih tepung pelita

Bagi bahagian putih pula, @Che Sayang Kitchen mencampurkan dua kotak santan bersama tiga cawan air.

Masukkan lima sudu tepung beras dan dua sudu kecil garam, kemudian masak di atas api perlahan sambil dikacau sehingga adunan menjadi sedikit pekat.

Tuangkan adunan putih ini di atas lapisan hijau, biarkan sejuk sepenuhnya sebelum dihidangkan.

Akhirnya, kuih ini sedia dinikmati sebagai kuih berbuka.