Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

"Bukan Murid Saya," KA Seloroh Lihat Netizen Kongsi Hasil Cuba Resipi

Azzwin
resipi ka
Kredit: Video orang awam
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Setiap kali tibanya bulan puasa, antara perkara yang paling dinantikan selain juadah berbuka sudah tentu perkongsian resipi daripada Khairul Aming.

Seolah-olah sudah menjadi tradisi tahunan, beliau tidak pernah gagal mencuri perhatian ramai. Bukan hanya nampak menyelerakan, malah menu yang dibawa mudah untuk dicuba di rumah.

Menariknya, ramai pengikut akan terus ke dapur untuk mencuba sendiri dengan berkongsi hasil masakan mereka di media sosial.

Namun, hasilnya tidak selalu 'menjadi'

Pada hari kedua berpuasa, KA telah memuat naik video resipi puding karamel dengan bahan-bahan yang ringkas.

Tidak lama kemudian, media sosial dibanjiri dengan video-video netizen yang gagal mencuba resipi tersebut.

Salah satu perkongsian yang mencuit hati datang daripada pengguna TikTok @mayakarenn_ yang memaparkan puding karamel tidak lagi kelihatan dalam loyang.

Gelagat lucu itu menarik perhatian ramai sehingga mengundang pelbagai jenaka tentang ke mana hilangnya puding tersebut, termasuk KA sendiri.

"Bukan murid saya," komen KA.

Selain itu, seorang pengguna TikTok @maniesan_ turut berkongsi percubaannya mengikuti resipi puding karamel tersebut.

Dalam video yang dikongsikan, wanita itu dilihat membalikkan loyang di atas pinggan seperti yang ditunjukkan dalam video resipi KA.

Sebaik sahaja loyang diangkat, rupa puding yang terhasil dilihat jauh berbeza daripada yang sepatutnya.

Menurut beberapa pengguna TikTok, hasilnya lebih menyerupai roti canai.

"Puding karamel kan? Bukan roti canai," seloroh seorang warga maya.

Seterusnya, seorang pengguna TikTok @chaaaaaaaaaa.__1 berkongsi hasil puding karamel yang bukan sahaja hancur, malah terlalu nipis.

Apa yang lebih menghiburkan, dia cuba memotong puding itu dengan pisau dan mendedahkan tahap kenipisan puding tersebut.

Gelagat itu terus mencuit hati ramai, sehingga KA sendiri berseloroh dalam komen.

“Kesabaran saya senipis puding awak,” ujar KA.

Ada juga 'pelajar' KA yang lulus

Walaupun ramai yang berkongsi kegagalan mengikuti resipi puding karamel itu, ada juga yang berjaya mencuba dengan jayanya.

Antaranya, pengguna @s.ssbto yang berkongsi momen manis di mana dia membalikkan puding di atas pinggan bersama ahli keluarganya.

Tidak seperti beberapa video lain yang berakhir dengan puding hancur atau nipis, hasilnya kelihatan kemas dan cantik.

Selain itu, video ini juga cukup menyentuh hati kerana memperlihatkan kehangatan keluarga yang berkumpul bersama. Masing-masing begitu teruja melihat puding yang berjaya disiapkan.

"Memang trend masak resipi KA ni mengeratkan silaturrahim keluarga terkini, baru (muncul) dan selamanya. Sebab dalam TikTok pun kita dah macam keluarga besar yang berjauhan, tapi buat video untuk berhubung,” ulas seorang warga maya.