Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Setiap kali tiba bulan puasa, bazar Ramadan menjadi lokasi tumpuan ramai. Pelbagai juadah menarik dijual dengan harga berpatutan.
Tidak kurang juga juadah yang jarang didapati pada hari-hari biasa.
Di sebalik kemeriahan itu, ada satu perkara kecil yang sering kita terlepas pandang iaitu label pada makanan yang dijual.
Sebahagian daripada kita mungkin menganggap kewujudan label ini satu perkara yang kecil. Namun, sekeping kertas ini sebenarnya lebih daripada itu.

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan WP Labuan (BKKMJKWPL), menerusi satu muat naik di laman Facebook, menyifatkan penggunaan label pada makanan dilihat sebagai satu amanah.
"Bagi kami, label itu bukan gaya tetapi tanggungjawab. Bukan hiasan tetapi kejujuran. Bukan renyah tetapi kepercayaan," maklum kenyataan tersebut.
Menerusi satu label makanan, pengguna dapat mengetahui pelbagai maklumat contohnya bahan masakan, jangka hayat makanan dan nombor untuk dihubungi jika berlaku sesuatu.
"Benda kecil di tangan penjual, tetapi impaknya besar untuk keselamatan orang ramai," ujar badan berkenaan.
Sementara itu, pihak BKKMJKWPL turut menyarankan agar label makanan digunakan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, khususnya kepada individu yang mempunyai alahan makanan.
Menerusi muat naik yang sama, BKKMJKWPL turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada peniaga kecil yang peka dengan label makanan.
"Anda hebat," puji badan tersebut.

Muat naik ini tidak hanya menarik perhatian warga maya, malah ramai yang turut berkongsi pandangan masing-masing berkenaan label makanan.
"Paling menarik ada pesanan sebelum makan, ‘lihat, hidu dan rasa’. Ya lah, kadang kita ni merakus saja tanpa tengok dulu," ujar warga maya.
"Sebagai orang yang ada lactose intolerance. Saya harap semua makanan ada label. Sakit perut, cirit, bloated kadang-kadang sangat mengganggu. Walaupun hanya ada sikit susu cair atau susu pekat dalam makanan," ulas seorang lagi.
"Sangat betul. Lagi satu, lebih gemar ada label dan nombor telefon supaya kalau sedap, senang lain kali nak cari untuk beli atau pesan lagi," kata yang lain.