Buku Pun Kena Deep Clean? Ini Cara Betul Jaga Koleksi Anda
Buat pengumpul buku, bila kali terakhir anda lap atau bersihkan buku dan rak anda di rumah?
Haa, jangan tak tahu, buku pun perlukan penjagaan. Walaupun nampak bersih di luar, habuk sebenarnya boleh berkumpul di celah halaman dan pada kulit buku tanpa kita sedar.
Jadi, kalau anda seorang kaki buku atau suka mengumpul novel, inilah masa terbaik untuk beri sedikit perhatian kepada koleksi kesayangan anda.
Kenapa Buku Pun Kena Deep Clean?
Mungkin ramai yang sangka, habuk cuma buat rak buku nampak kotor. Tapi hakikatnya habuk yang dibiarkan terlalu lama sebenarnya boleh meninggalkan kesan pada kulit dan halaman buku!
Lebih membimbangkan, habuk boleh menarik kehadiran serangga macam silverfish atau kutu buku yang memang suka makan kertas.
Bukan itu sahaja, lipas juga tertarik dengan buku berhabuk dan boleh tinggalkan najis yang menyebabkan kotoran kekal pada buku!
Sebab itu pembersihan buku dan rak itu penting sebab masa inilah anda boleh periksa sama ada terdapat tanda-tanda serangan serangga atau kelembapan.
Berapa Kerap Buku Perlu Dibersihkan?
Jadi, buku sebenarnya perlu dibersihkan selalu ke?
Sebenarnya tak. Tiada jadual tetap untuk bersihkan buku. Kalau rumah anda cepat berhabuk atau rak buku terletak berhampiran dengan tingkap, mungkin anda perlu membersihkannya dengan lebih kerap.
Menurut pakar pemulihan buku, membersihkan koleksi sekali setahun sudah memadai bagi kebanyakan orang.
Mulakan Dengan Kosongkan Rak
Sebelum membersihkan buku, keluarkan semuanya terlebih dahulu dari rak.
Selain memudahkan proses mengelap, ini juga peluang untuk anda mengasingkan buku yang sudah tidak dibaca dan boleh didermakan kepada orang lain.
Selepas itu, bersihkan rak buku menggunakan pencuci yang sesuai mengikut material rak. Kalau guna semburan atau pencuci cecair, pastikan rak betul-betul kering sebelum menyusun semula buku anda.
Cara Membersihkan Buku Tanpa Merosakkannya
Ingat, buku diperbuat daripada kertas. Jadi jangan gosok terlalu kuat seperti membersihkan meja atau lantai.
Peralatan Yang Diperlukan
Berus berbulu lembut
Kain mikrofiber atau kain penarik habuk (pilihan)
Vakum dengan penapis HEPA dan muncung berus lembut (pilihan)
Langkah Membersihkan Buku
Sapu perlahan bahagian kulit hadapan menggunakan berus lembut dalam satu arah sahaja.
Bersihkan bahagian tulang belakang buku (spine) dan kulit belakang.
Beri perhatian pada bahagian atas buku kerana di situlah habuk paling banyak terkumpul.
Selak beberapa helaian secara perlahan untuk memastikan tiada habuk atau serangga tersembunyi di celah halaman.
Walaupun ada yang menggunakan vakum kecil untuk membersihkan buku, pakar sebenarnya lebih mengesyorkan berus lembut kerana lebih selamat dan mengurangkan risiko mencalarkan kulit atau tepi buku.
Macam Mana Nak Hilangkan Kotoran Pada Kulit Buku?
Kalau kulit buku sudah ada kesan hitam atau kotoran degil, jangan terus capai tisu basah atau pencuci serba guna.
Sebaliknya, cuba cara ini:
Parut sedikit pemadam putih sehingga menjadi serbuk halus.
Taburkan pada bahagian yang kotor.
Gosok perlahan secara membulat.
Akhir sekali, sapu keluar sisa pemadam menggunakan berus lembut.
Kalau buku anda menggunakan kulit (leather), jangan sesekali gunakan pencuci kulit yang biasa digunakan untuk kasut atau beg kerana ia boleh merosakkan permukaannya.
Cara Pastikan Buku Tahan Lebih Lama
Selain membersihkannya secara berkala, beberapa tabiat kecil ini juga boleh membantu memanjangkan jangka hayat koleksi anda.
Jangan Susun Terlalu Padat
Buku perlukan sedikit ruang untuk bernafas.. Kalau disumbat terlalu rapat, kulit buku mudah bergesel dan tulang belakangnya boleh rosak apabila ditarik keluar.
Tarik Buku Dengan Cara Yang Betul
Elakkan menarik buku menggunakan bahagian atas tulang belakangnya. Sebaliknya, pegang keseluruhan badan buku dan tarik perlahan supaya tidak merosakkan jahitan atau kulitnya.
Jauhkan Daripada Cahaya Matahari
Pendedahan kepada cahaya matahari secara berterusan boleh menyebabkan kulit buku pudar, manakala buku berkulit leather pula menjadi kering dan mudah retak.
Vakum Lebih Baik Daripada Menyapu
Kalau rak buku berada berhampiran lantai, gunakan vakum berbanding penyapu. Menyapu hanya membuatkan habuk berterbangan sebelum kembali hinggap pada buku.
Jangan Makan Sambil Membaca?
Ramai pasti susah nak ikut nasihat ini.
Membaca sambil menikmati secawan kopi atau mengunyah snek memang satu kombinasi yang sukar dipisahkan.
Namun, tumpahan makanan atau minuman bukan sahaja meninggalkan kesan pada halaman, malah boleh menarik serangga datang “menjamah” buku anda.
Jadi, kalau tak boleh tinggalkan kopi ketika membaca, sekurang-kurangnya pastikan cawan diletakkan pada jarak yang selamat. Lagi satu, elakkan jadikan buku kesayangan sebagai alas biskut!

