Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Cabutan Bertuah Sah Dari Sudut Syarak Jika Penuhi Lima Syarat, Kata Mufti Terengganu

MUFTI
Mufti Terengganu, Dr. Syed Hadzrullathfi Syed Omar

Cabutan Bertuah Sah Dari Sudut Syarak Jika Penuhi Lima Syarat, Kata Mufti Terengganu

Jabatan Mufti Negeri Terengganu menjelaskan penyertaan dalam program cabutan bertuah adalah harus di sisi syarak, namun pelaksanaannya mestilah mematuhi syarat tertentu dan bebas daripada unsur yang bercanggah dengan hukum Islam.

Menerusi surat rasmi yang dikeluarkan Mufti Terengganu, Prof. Dr. Syed Hadzrullathfi Syed Omar, penjelasan itu dibuat bagi menjawab pertanyaan berhubung trend semasa jualan dan promosi yang menawarkan cabutan bertuah, termasuk yang dijalankan menerusi platform digital.

Menurut beliau, pihaknya mengambil maklum peningkatan penganjuran cabutan bertuah yang semakin mendapat sambutan masyarakat sama ada secara fizikal mahupun dalam talian.

Katanya, sesuatu cabutan bertuah hendaklah bebas daripada unsur perjudian (maysir), ketidakpastian melampau (gharar), penipuan (ghish), eksploitasi pengguna serta pengambilan harta secara batil.

Beliau berkata, hasil penelitian terhadap pandangan para fuqaha dan keputusan badan-badan fatwa semasa mendapati cabutan bertuah boleh dihukum harus sekiranya memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan.

Antara syarat tersebut ialah peserta tidak dikenakan sebarang bayaran tambahan khusus untuk menyertai cabutan, harga produk atau perkhidmatan kekal pada harga pasaran dan tidak dinaikkan bagi menampung kos hadiah.

Selain itu, pembelian produk bukan bertujuan utama untuk merebut peluang memenangi hadiah, hadiah disediakan sepenuhnya oleh pihak penganjur menggunakan sumber dana yang sah serta terma dan syarat pertandingan dinyatakan secara jelas, telus dan adil.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sekiranya peserta diwajibkan membayar yuran tambahan, membeli kupon khas atau menanggung kos tertentu sebagai syarat penyertaan, amalan tersebut berpotensi mengandungi unsur perjudian yang diharamkan syarak.

Menurutnya lagi, perkara sama turut terpakai sekiranya harga sesuatu produk dinaikkan secara tidak munasabah bagi membiayai hadiah yang ditawarkan kepada peserta.

Beliau berkata, setiap program cabutan bertuah, khususnya yang melibatkan promosi digital dan pemasaran moden, perlu dinilai berdasarkan mekanisme pelaksanaannya, sumber pembiayaan hadiah, syarat penyertaan serta implikasinya terhadap pengguna.

Sehubungan itu, beliau berpandangan garis panduan khusus berkaitan pelaksanaan cabutan bertuah patuh syariah perlu diperluaskan kepada masyarakat dan pihak penganjur supaya aktiviti promosi yang dijalankan tidak menimbulkan keraguan daripada sudut hukum.

Sebagai panduan, Jabatan Mufti Negeri Terengganu turut melampirkan Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah yang diperakukan menerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-84 bagi membantu masyarakat Islam memahami pelaksanaan cabutan bertuah yang menepati syariat.